VARIA

Desa Ponggok lokasi pelancongan terbaik

Desa Ponggok lokasi pelancongan terbaik

UMBUL Ponggok antara lokasi paling popular di Desa Ponggok.


DI pinggir kolam yang jernih airnya, Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati mengajak Ketua Desa Ponggok, Junaedhi Mulyono berswafoto.

“Kamu ketua desa yang hebat. Sebentar saya mahu mencari telefon bimbit saya agar boleh berswafoto bersama kamu,” kata bekas pengarah eksekutif bank dunia itu.

Beliau yang juga Pelaksana Tugas Bupati Klaten bersama wakil Gabenor Jawa Tengah, Heru Sudjatmoko turut melahirkan rasa kagum terhadap pengurusan ekonomi Desa Ponggok.

Terletak di Kecamatan Polanharjo, Kabupaten Klaten, Ponggok dianggap sebagai sebuah desa yang berjaya memanfaatkan dana yang diperuntuk pihak pemerintah dalam meningkatkan kesejahteraan penduduknya.

Menurut Kementerian Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi, desa tersebut menjadi salah satu lokasi pelancongan desa terbaik 2017 dan mempunyai Badan Usaha Milik Desa (BUMDes) terbaik 2016.

BUMDes Tirta Mandiri di Desa Ponggok berusaha untuk mengembangkan ekonomi di kawasan tersebut menerusi produk pelancongan seperti Umbul Ponggok, kios kuliner, kolam renang, Ponggok Ciblon dan kedai desa moden.

Umbul Ponggok merupakan sebuah kolam mata air yang terbentuk daripada Gunung Merapi dan Gunung Merbabu yang terletak di sebelah barat Desa Ponggok.

Kawasan ini sering menjadi lokasi pengunjung untuk mengambil gambar menarik di bawah air dengan pelbagai gaya seperti menunggang motosikal atau duduk di kerusi sambil mengendalikan komputer.

Menurut Junaedhi, Ponggok mula mendapat dana desa pada tahun 2015 sebanyak Rp300 juta (RM95,576) sebelum jumlahnya meningkat kepada Rp600 juta (RM191,153) pada tahun ini.

Pembangunan


BERGAMBAR di dalam air menjadi aktiviti wajib pelancong.


Pada tahun ketiga pelaksanaan dana desa itu, Ponggok sudah mampu menyusun Rencana Pembangunan Jangka Menengah Desa (RPJMDes) dan program pembangunan desa seperti tandas serta saluran air yang sempurna.

“Kami juga ada program satu rumah seorang pemegang ijazah sarjana muda. Kini terdapat seramai 43 orang di desa tersebut yang mempunyai ijazah itu.

“Dahulunya tanah di sini tidak ada pembeli walaupun dijual pada harga serendah Rp10,000 (RM3.19), namun kini nilainya sudah mencecah Rp4 juta hingga Rp5 juta (RM1,274-RM1,592),” kata Junaedhi.

Sri Mulyani turut kagum dengan kemampuan Desa Ponggok untuk mengurus dana desa bagi kemakmuran penduduknya dan berharap semakin banyak desa di Indonesia yang mencontohi Desa Ponggok yang berjaya membangunkan ekonomi dengan menggunakan peruntukan diberikan.

“Sekarang setiap desa mendapat peruntukan daripada pihak pemerintah, jika Ponggok boleh, desa lain juga mesti boleh (berjaya),” ujarnya.

BUMDes Tirta Mandiri berjaya merekodkan pendapatan sebanyak Rp10 bilion (RM3 juta) pada tahun 2016 dan mengunjurkan kepada Rp15 bilion (RM4 juta) tahun ini.

Jelas Menteri Kewangan itu, beliau juga mahu pihak pentadbiran Desa Ponggok berhati-hati dalam menjalankan program di kawasan berkenaan memandangkan usaha untuk mengekalkan pencapaian dan kejayaan adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

Keharmonian


SRI MULYANI berpuas hati dengan pembangunan di Desa Ponggok.


Beliau turut menasihatkan para pemimpin desa untuk mengekalkan keharmonian rakyat sekali gus menciptakan rasa saling memiliki sesama mereka.

“Ini semua adalah hasil daripada kerjasama semua dan ia perlu dipelihara,” tegasnya.

Selepas mampu memiliki entiti perniagaan bebas, Ponggok harus memastikan rancangan dalam RPJMDes mencerminkan komitmen agar kemakmuran penduduk dapat dijaga.

“Saya sedih jika ada desa yang maju tetapi dihancurkan oleh segelintir orang. Di peringkat negara, wilayah, kabupaten dan kecamatan, malah desa juga boleh terjadi. Tolong jaga Indonesia agar boleh menjadi sebagai negara yang makmur,” kata Sri Mulyani.

Beliau turut menjelaskan kepada rakyat mengenai pembaharuan semula peruntukan terutama kepada desa yang belum maju.

Sri Mulyani melakukan kiraan dana itu dengan mengambil kira peruntukan asas dan keutamaan diberikan kepada desa-desa yang terpencil, mundur serta maju.

“Sudah tentu kami berharap pemindahan peruntukan desa yang berjumlah kira-kira Rp800 juta (RM254,870) bagi setiap desa setahun diuruskan dengan baik. Kami bersama-sama dengan agensi lain akan terus menilai dana ini.

“Sekiranya ketua desa tidak hebat, nanti peruntukan keseluruhan Rp60 trilion (RM19 bilion) tidak akan memberikan sebarang hasil, kami tidak mahu lihat kemiskinan di Republik Indonesia.

“Ponggok sudah membuktikan masalah kemiskinan dapat dipulihkan dalam tempoh kurang lima tahun. Jika Ponggok boleh, mengapa tempat lain tidak,” tambah Sri Mulyani.

Rasuah


Ponggok Ciblon jadi tumpuan ramai pelancong.


Beliau juga mahu semua desa di Indonesia untuk mempelajari daripada desa-desa yang lain sama ada gagal atau berjaya dalam menguruskan bantuan daripada pihak pemerintah.

“Seperti yang kita tahu ada ketua desa ditangkap kerana rasuah. Hati manusia ada perasaan tamak. Wang untuk rakyat diambil dan dimakan sendiri, rasuah boleh terjadi di mana-mana,” ujarnya.

Beliau juga akan berusaha untuk mencegah penyalahgunaan dana desa dan ia memerlukan bantuan daripada pemerintah daerah dalam usaha bebas rasuah.

“Pemerintah akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan adil. Jika rakyat negara ini bekerjasama secara harmoni, maka hasrat untuk melihat Indonesia adil, makmur dan sejahtera pasti akan tercapai,” jelasnya.

Process time in ms: 109