TERKINI

AirAsia tawar diskaun bonanza 50 peratus bagi penerbangan ke Indonesia

AirAsia tawar diskaun bonanza 50 peratus bagi penerbangan ke Indonesia

22/09/2017 11:57pm

KUALA LUMPUR - AirAsia Bhd. menawarkan tawaran eksklusif sehingga 50 peratus diskaun bagi penerbangan ke Indonesia pada 'Wonderful Indonesia AirAsia Travel Fair 2017' selama tiga hari yang diadakan di IOI City Mall, Putrajaya, mulai hari ini.

Pameran pelancongan itu dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Indonesia dan AirAsia, dan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat penerbangan tambang rendah itu untuk memacu pelancongan ke Indonesia dan Malaysia.

Ketua Komersial AirAsia Bhd. Spencer Lee berkata, kepulauan Indonesia merupakan antara kebanggaan ASEAN dan syarikat berbangga untuk membawa pelancong ke 15 bandar yang berbeza di negara itu.

"Melalui pameran pelancongan ini, kami menyaksikan permintaan perjalanan yang positif antara Indonesia dan Malaysia dan kami berharap dapat meningkatkan lebih banyak ketibaan pelancong bagi kedua-dua negara dengan memanfaatkan rangkaian luas dan tawaran hebat kami," katanya dalam kenyataan.

Pengunjung boleh mendapatkan tambang eksklusif oleh AirAsia yang boleh didapati hanya bagi tempahan pada pameran pelancongan itu untuk tempoh perjalanan dari 1 Mac 2018 hingga 21 November 2018.

AirAsia menghubungkan Malaysia dengan Indonesia melalui lebih 350 kali penerbangan mingguan ke Banda Aceh, Bandung, Bali, Jakarta, Lombok, Medan, Pekanbaru, Palembang, Padang, Pontianak, Semarang, Solo, Surabaya, Makassar, dan Yogyakarta.

Antara laluan itu turut termasuk laluan unik seperti Kuching ke Pontianak, Kuala Lumpur ke Semarang, Kuala Lumpur ke Solo, Kuala Lumpur ke Makassar dan banyak lagi.

Selain beroperasi daripada hab utamanya di Kuala Lumpur, syarikat penerbangan itu turut membawa penumpang dari Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuching ke Indonesia dan baru-baru ini, menambah lebih banyak kekerapan ke beberapa laluan untuk memenuhi permintaan perjalanan yang meningkat bagi Indonesia dan Malaysia. - Bernama

Process time in ms: 32