NEGARA

Simbah petrol di tingkat tiga

Simbah petrol di tingkat tiga

WAN MOHD. NOR mendedahkan hasil siasatan bomba mendapati suspek menyimbah petrol pada rak tuala, rak kasut dan dinding asrama di aras tiga pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan bangunan tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur sengaja dibakar selepas siasatan mendapati suspek me­nyimbah cecair pe­trol pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk asrama di tingkat tiga sebelum menyalakan api.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kebakaran tersebut kemudian merebak ke siling dan membakar pintu masuk dan seluruh bilik asrama.

Jelas beliau, api merebak de­ngan cepat kerana suspek bertindak melepaskan gas daripada dua buah silinder gas petroleum cecair (LPG) yang diletakkan di hadapan pintu bilik asrama itu.

Oleh kerana api marak de­ngan cepat dan bahang semakin me­ningkat, mangsa yang sedang tidur tidak dapat menyelamatkan diri.


TONG gas (dalam bulatan) yang dipercayai diangkat oleh suspek dari tingkat bawah ke tingkat tiga asrama untuk membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur minggu lalu.


“Pasukan penyiasatan kebakaran JBPM telah menemui bahan bukti dalam insiden tersebut iaitu dua buah silinder gas LPG berwarna hijau berbelang merah di hadapan pintu masuk bilik asrama. Kedua-dua silinder tersebut telah kosong dan injap silinder juga dalam keadaan terbuka.

“Selain itu, Unit Pengesan bomba telah mengesan dan mengambil sampel kesan kebakaran di hadapan pintu masuk bilik asrama. Sampel tersebut dianalisa oleh pegawai kimia di Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur yang mendapati empat sampel berkenaan me­ngandungi cecair mudah me­nyala jenis petrol.

“Sampel cecair itu pula ditemui pada rak tuala, rak kasut dan dinding hadapan pintu masuk asrama itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Process time in ms: 31