TERKINI

Lima pekerja warga asing melecur tong gas meletup

Lima pekerja warga asing melecur tong gas meletup

21/09/2017 3:21pm


Antara dua daripada lima pekerja asing tersebut yang melecur akibat letupan tong gas di tempat kerja mereka pagi tadi.


KUALA LUMPUR - Lima pekerja warga asing cedera parah akibat melecur selepas sebuah tong gas memasak meletup di sebuah kilang pembekal kopitiam terkenal di Jalan Subang 10, Subang dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata kejadian yang berlaku kira-kira 8 pagi itu turut mengakibatkan seorang pekerja patah kaki manakala dua lagi cedera ringan.

"Tujuh mangsa dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Serdang manakala seorang lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.

Difahamkan, tong gas memasak jenis domestik meletup di bahagian dapur kilang berkenaan sebelum mencetuskan api.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.04 minit pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit selepas itu.

Katanya 30 pegawai dan anggota bersama-sama empat jentera daripada balai bomba dan penyelamat Subang, Puchong, Zon Petaling dan Ibu Pejabat Selangor terlibat dalam operasi berkenaan. - Bernama

Process time in ms: 47