TERKINI

Bomba dedahkan bukti pusat tahfiz sengaja dibakar

Bomba dedahkan bukti pusat tahfiz sengaja dibakar

21/09/2017 1:21pm


Wan Mohd Nor ketika sidang akhbar mengenai bukti yang diperolehi pihaknya berhubung kebakaran pusat tahfiz berkenaan. - Foto ihsan Bomba.


PUTRAJAYA - Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada Khamis lalu berpunca daripada perbuatan sengaja dibakar, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata kebakaran didapati bermula di pintu masuk bilik asrama aras tiga berdasarkan keterangan saksi, keterangan mangsa terselamat dan disokong dengan kesan kebakaran di hadapan pintu masuk seperti pengelupasan pada dinding berdekatan pintu, kehilangan jisim pada pintu, siling, almari dan rak kasut.

Kesan kebakaran pada dinding sekeliling pintu masuk bilik asrama juga menguatkan lagi bukti tempat bermulanya kebakaran di pintu tersebut, katanya.

"Kebakaran di pusat tahfiz berkenaan dipercayai disebabkan api yang dinyalakan menggunakan petrol yang dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama di aras tiga bangunan itu," katanya dalam sidang media di sini hari ini berhubung insiden kebakaran di pusat tahfiz itu.

Kebakaran itu meragut nyawa 23 orang melibatkan 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu.


Pelan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah. - Foto ihsan Bomba.


Wan Mohd Nor berkata kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras tiga berkenaan.

"Api marak dengan cepat disebabkan oleh gas LPG (gas cecair petroleum) yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabkan ia merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama.

"Tambahan pula, bahan mudah terbakar yang banyak di bilik asrama menyebabkan api cepat marak dan meningkatkan lagi bahang api mengakibatkan mangsa sedang tidur terkorban dalam masa singkat," katanya.

Wan Mohd Nor berkata pasukan penyiasatan kebakaran JPBM menemui bahan bukti iaitu dua silinder gas LPG berwarna hijau berbelang merah di hadapan pintu masuk bilik asrama.

Kedua-dua silinder ini juga sudah kosong dan injap silindernya dalam keadaan terbuka. - Bernama

Process time in ms: 47