TERKINI

Koperal Polis didenda RM20,000, penjara 6 bulan minta, terima rasuah

Koperal Polis didenda RM20,000, penjara 6 bulan minta, terima rasuah

21/09/2017 1:02pm


Roslin Md. Esa, 53, dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan dan denda RM20,000 selepas meminta dan menerima rasuah membabitkan nilai RM500 di Jalan Besar, Tanjung Rambutan tiga tahun lalu.


IPOH – Seorang anggota polis berpangkat Koperal dijatuhi hukuman penjara selama 6 bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah meminta dan menerima rasuah melibatkan jumlah RM500 daripada orang awam tiga tahun lalu.

Hakim S. Indera Nehru menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Roslin Md. Esa, 53, menukar pengakuan kepada bersalah.

Mengikut pertuduhan, Roslin didakwa meminta suapan berjumlah RM400 daripada Bedah Debok sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anaknya, Azrul Haffiz Che Azzmi yang ditahannya di Balai Polis Tanjung Rambutan.

Tertuduh turut didakwa menerima suapan berjumlah RM100 daripada individu sama dengan tujuan sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah gerai di Jalan Besar, Tanjung Rambutan di sini antara pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang 14 Mei 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Akhbar pada 21 Mac tahun lalu melaporkan, Roslin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas kedua-dua pertuduhan tersebut. - K! ONLINE

Process time in ms: 47