RENCANA UTAMA

Ponteng sekolah dorong gejala negatif

Ponteng sekolah dorong gejala negatif


PELAJAR yang kerap ponteng sekolah mudah terdedah kepada gejala negatif termasuk terlibat dalam aktiviti jenayah. – Gambar hiasan


TRAGEDI kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur yang berlaku pada minggu lalu sehingga mengorbankan 23 nyawa yang terdiri daripada pelajar dan guru sememangnya sangat menyayat hati.

Lebih menyedihkan apabila pihak polis yang melakukan siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan tujuh remaja nakal yang bertindak membakar pusat tahfiz berkenaan dendam.

Semuanya gara-gara siasatan lanjut termasuk oleh Kementerian Pendidikan pula mendapati enam daripada mereka pernah dikenakan tindakan buang sekolah antara tahun 2012 hingga 2016 gara-gara masalah disiplin.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula mendedahkan, ada antara mereka yang tidak hadir ke sekolah antara 139 hari daripada 192 hari persekolahan dalam setahun.

Malah katanya, tindakan ponteng sekolah selain berpeleseran dan bergaul dengan rakan-rakan yang bermasalah akan mendorong mereka untuk turut terlibat dengan gejala tidak sihat termasuk melakukan jenayah.

Jika dikaitkan dengan tragedi yang menimpa pusat tahfiz tersebut, tindakan jahat kumpulan remaja berkenaan yang kini dalam tahanan polis boleh dianggap sebagai kesan negatif terhadap tindakan mereka yang kerap ponteng sekolah dan berpeleseran.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, terdapat pelbagai faktor yang mendorong seseorang remaja untuk mengambil tindakan ponteng sekolah selain terlibat dalam aktiviti tidak sihat.

Jelas beliau, antara faktor yang mendorong kepada perkara tersebut ialah pengaruh ekologi seperti rumah, sekolah dan komuniti yang tidak mengambil peduli tentang aktiviti yang dilakukan oleh remaja berkenaan.

Alternatif

“Sebagai contoh, apabila keharmonian rumah tangga sudah tiada, anak-anak khususnya remaja akan mencari alternatif untuk menghindarinya termasuk keluar dari rumah sama ada mencari hiburan atau berpeleseran dengan rakan-rakan.

“Pada masa sama, apabila anggota masyarakat di sekeliling mereka pula membawa haluan masing-masing dan tidak mengambil berat soal kejiranan, ia akan memberi peluang yang lebih besar kepada remaja tersebut untuk melakukan perkara yang diingini termasuk ponteng sekolah dan berpeleseran,” katanya.

Jelas beliau lagi, apabila kumpulan remaja berkenaan sudah terbabit dengan aktiviti ponteng sekolah dan melepak, ia akan mendorong pula kepada berlakunya pelbagai gejala negatif termasuk terlibat dengan jenayah, penyalahgunaan dadah dan gengsterisme.

Menurut Fauziah, sifat remaja yang mempunyai daya tahan yang rendah dan rapuh juga turut menjadi faktor yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan gejala negatif sehingga mendorong untuk terlibat dengan aktiviti jenayah dan sebagainya.

Pendapat Fauziah itu turut disokong oleh penceramah bebas, Umar Muhammad Noor dengan menjelaskan, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran rumah tangga yang harmoni dan bebas daripada unsur-unsur negatif yang boleh memberi kesan buruk kepada anak-anak.

“Ibu bapa bertanggungjawab dalam membentuk keperibadian anak-anak. Jika mereka tidak mampu memberi didikan atas faktor kesibukan kerja, mereka wajib mengeluarkan perbelanjaan supaya anak-anak mereka boleh bersekolah dan menuntut ilmu.

“Selain pendidikan formal di sekolah, anak-anak juga harus dibekalkan dengan ilmu agama yang akan mendidik dan membentuk akidah dan akhlak mereka supaya menjadi insan yang berpegang kepada agama,” katanya.

Menghukum

Menurut Umar, sekiranya kanak-kanak dan remaja sudah dibekalkan dengan didikan agama, gejala negatif seperti ponteng sekolah, berpeleseran dan terlibat dengan aktiviti jenayah mungkin dapat dihindarkan.

Menyentuh mengenai remaja yang dikatakan terlibat dalam tragedi malang yang menimpa pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, kata beliau, anggota masyarakat tidak seharusnya terus menghukum dengan menyisihkan mereka daripada komuniti.

Sebaliknya kata Umar, remaja berkenaan harus diberi peluang untuk menginsafi perbuatan salah mereka itu dengan bertaubat kepada Allah.

“Yang bersalah tetap bersalah dan hukuman setimpal seharusnya diberikan sebagai pengajaran kepada mereka dan juga orang lain.

“Namun, Allah tidak pernah menutup pintu taubat buat hamba-hambanya selagi mana nyawa masih di badan.

“Disebabkan itu, berilah peluang kepada mereka untuk bertaubat dan mengubah sikap. Mudah-mudahan, mereka menjadi individu yang lebih baik dan berpegang teguh kepada ajaran Islam suatu hari nanti,” katanya.

Process time in ms: 47