DUNIA

Trump mahu hapus ‘Rocket Man’

Trump mahu hapus ‘Rocket Man’


REUTERS - TRUMP semasa menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung PBB ke-72 di Ibu Pejabat di New York kelmarin.


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Presiden Donald Trump memberi ­amaran kepada ‘Rocket Man’ iaitu Kim Jong-un bahawa Korea Utara akan dimusnahkan sepenuhnya jika me­ngancam Amerika Syarikat (AS) dan negara sekutunya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung PBB di sini kelmarin.

Trump dalam ucapan itu menegaskan bahawa tentera AS sentiasa diletakkan dalam keadaan siap siaga, sekali gus memberi isyarat bahawa beliau pada bila-bila masa bersedia menghantar senjata nuklear sama ada kepada ‘rejim pembunuh’ di Tehran serta meranapkan musuh-musuh AS dari Pyongyang hingga ke Caracas.

“AS memiliki kesabaran dan kekuatan sebenar,” kata Trump sambil menegaskan: “Jika kami dipaksa mempertahankan diri atau sekutu, kita tidak mempunyai pilihan selain memusnahkan sepenuhnya Korea Utara.”

“Rocket Man dalam misi membunuh diri dan rejim­nya, AS telah bersiap sedia menunaikan hasrat ini, tetapi­ kita berharap tidak perlu melakukannya,” kata beliau

Sepanjang 42 minit dalam ucapan itu, Trump dilihat agak berhati-hati dalam menjaga bahasa pertuturan­nya terhadap anggota persidangan dengan memberi amaran bahawa dunia sedang menuju ‘ke neraka’ serta mengisytiharkan sebarang urusan perdagangan dengan Korea Utara boleh membangkitkan kemarahan.

“Terus terang, apa yang dilakukan oleh Korea Utara ini memalukan AS, dan saya tidak fikir kamu mende­ngar yang terakhir ini,” umum Trump.

“Percayalah, inilah masa­nya bagi dunia untuk ber­sama-sama dengan kami bagi mendesak kerajaan Iran menamatkan tindakan yang boleh membawa kepada kematian dan kemusnahan,” katanya lagi.

Ucapan Trump itu disambut baik oleh para perwakilan Perhimpunan Agung ber­kenaan dengan sebilangan mereka bertepuk tangan.

Trump dalam ucapan tersebut bagaimanapun tidak menyentuh mengenai proses damai di Asia Barat, perubahan iklim dunia dan krisis di Myanmar, malah hampir tidak menyebut mengenai hubungan dengan China dan Rusia. – AFP

Process time in ms: 47