RENCANA UTAMA

Kesihatan mental remaja perlu diatasi

Kesihatan mental remaja perlu diatasi


KEMATIAN 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur baru-baru ini angkara perbuatan khianat.


MUNGKIN ramai yang tidak sedar bahawa selain daripada kesihatan tubuh badan, kesihatan mental juga amat penting bagi menjamin kualiti hidup yang baik.

Kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan tekanan perasaan bakal menggantikan penyakit kardiovaskular sebagai faktor penentu utama sama ada seseorang itu masih mampu untuk terus menjalani hidup secara waras atau tidak.

Malaysia juga tidak terkecuali apabila Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus populasi negara menghidapi pelbagai masalah mental. Ini adalah peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006.

Menguatkan lagi kajian berkenaan apabila baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kematian 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur dipercayai akibat perbuatan khianat dengan niat membalas dendam.

Hanya bermotifkan dendam dan didakwa di bawah pengaruh dadah menjadikan remaja terbabit nekad untuk mencederakan orang lain sebagai tanda membantah dan menunjukkan perasaan marah ke atas tindakan beberapa orang pelajar tahfiz di pusat berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh menyatakan, kejadian berkenaan berpunca daripada perselisihan faham selepas berlaku ejek-mengejek antara kumpulan remaja tersebut dengan beberapa pelajar tahfiz.

“Polis telah menangkap tujuh orang remaja berusia di antara 11 hingga 18 tahun sejak Jumaat lalu dan hasil ujian air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis ganja.

“Dua daripada mereka memiliki rekod lampau jenayah mencuri dan rusuhan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Kejadian itu benar-benar mengejutkan masyarakat apabila mekanisme bela diri remaja yang menggunakan dendam dalam melepaskan kemarahan mereka.

Sebenarnya masalah kesihatan mental sudah semakin membimbangkan di Malaysia. Jika dulu masalah mental pelajar adalah 1:10 pada tahun 2011 dan kini 1:5 bagi tahun 2016.

Pensyarah Kanan, Pusat Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, kemungkinan jumlah sebenar remaja yang mengalami masalah mental adalah jauh lebih tinggi cuma ianya tidak dilaporkan dan dirujuk kepada pakar kesihatan mental.

Tambahnya, ini kerana setiap hari ada sahaja berita tentang kes buli dan keganasan yang dilaporkan di media massa atau media sosial yang sudah tentunya ada perkaitan langsung dengan kesihatan mental pelaku.

Ubah sikap

“Remaja adalah rentan kepada masalah mental kerana pada peringkat umur ini mereka dianggap mengalami krisis identiti dan keliru. Dari sudut yang positif, mereka mudah memandang diri sendiri sebagai unik.

“Jika perkembangan diri mereka berlaku secara negatif, remaja menjadi keliru tentang diri mereka dan seolah-olah tidak boleh mengenali diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya lagi, kejadian yang berlaku di pusat tahfiz tersebut menunjukkan bagaimana mental remaja telah dirosakkan oleh ketagihan dadah sehingga boleh membuat satu keputusan nekad dengan membakar asrama tanpa berfikir dan menjangkakan risiko perbuatan tersebut.

“Oleh itu, semua pihak perlu lebih cakna tentang faktor-faktor risiko masalah mental seperti tekanan pelajaran, masalah personaliti, sikap antisosial, masalah keluarga, ketagihan dadah dan kurangnya aktiviti prososial.

“Masyarakat juga perlu mengubah sikap untuk tidak terus menghukum tanpa usul periksa sesuatu kejadian jenayah yang berlaku dan jangan menggunakan media sosial untuk menular sesuatu kejadian tanpa menyedari kesannya kepada individu dan keluarga yang terbabit,” tegasnya.

Dengan keseriusan masalah itu, tindakan yang menyeluruh dengan melibatkan semua pihak seperti institusi pendidikan, kekeluargaan, ahli akademik dan pihak badan bukan kerajaan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi menjalankan kempen pencegahan kesihatan mental di semua tempat sama ada di sekolah, rumah mahupun dalam komuniti.

Process time in ms: 47