RENCANA UTAMA

Masa depan bola sepak pantai Afghanistan

Masa depan bola sepak pantai Afghanistan


KEKURANGAN lokasi permainan membuatkan kanak-kanak ini terpaksa bermain dalam persekitaran yang penuh debu dan berbatu.


Bermain di atas pasir seperti di tepi pantai, sekumpulan kanak-kanak berumur seawal lapan tahun itu tidak ubah seperti pemain bola sepak profesional.

Dengan menyarung jersi pasukan Real Madrid dan Barcelona, masing-masing fokus menendang dan mengejar bola di satu lokasi di Stadium Ghazi, Kabul, Afghanistan itu.

Melihat kepada keletah mereka, ia sama sahaja seperti kanak-kanak di negara lain.

Namun, mereka sebenarnya sedang bergelut dengan masalah kekurangan tempat untuk berlatih dan bermain bola sepak pantai. Afghanistan merupakan negara yang tidak berpantai.

Majoriti daripada mereka tidak pernah melihat laut tetapi memasang impian yang besar untuk mewakili negara dalam pertandingan bola sepak pantai.

“Saya tidak pernah tahu tentang permainan bola sepak pantai sebelum saya memasuki kumpulan ini kerana saya tidak pernah pergi ke pantai.

“Kekurangan lokasi permainan membuatkan kami terpaksa bermain dalam persekitaran yang penuh debu dan berbatu. Namun, tidak mengapa kerana saya gembira dengan sukan ini,” kata Mudasir Yousufzai, 14, kepada AFP baru-baru ini.

Mudasir ialah salah seorang daripada kumpulan anak muda yang mengambil bahagian dalam satu skim sukan itu yang ditubuhkan enam bulan lalu untuk mencari bakat bola sepak pantai di Afghanistan yang kerap dilanda perang.

Skim berkenaan ditubuhkan oleh Hazratgul Baran, 28, seorang pemain untuk pasukan bola sepak pantai nasional yang mengagumkan di Afghanistan.

Pasukan itu menduduki tempat ke-10 di Asia dan ke-52 di dunia dalam sukan berkenaan meskipun kekurangan kemudahan dan pasir pantai.

“Ketika saya mula-mula menubuhkan skim ini, ramai yang bertanyakan bagaimana saya ingin mengajar sukan bola sepak pantai sedangkan kanak-kanak ini tidak tahu pantai?


Hampir 200 orang kanak-kanak yang kebanyakannya datang daripada keluarga miskin berlatih bermain bola sepak pantai di Stadium Ghazi, Kabul, Afghanistan.


“Pada mulanya memang sukar untuk menarik minat mereka kerana di Afghanistan juga amat terkenal dengan bola sepak jalanan namun, selepas Afghanistan memenangi pertandingan bola sepak pantai antarabangsa pertamanya dengan menewaskan Qatar pada tahun 2013, populariti bola sepak pantai telah melonjak naik,” tuturnya.

Kejayaan

Selepas Baran membantu pasukannya mencipta kemenangan ke atas Qatar, beliau menandatangani kontrak bersama sebuah kelab bola sepak pantai Brazil di Sao Paulo. Namun, tidak lama kemudian, beliau pulang ke kampung halamannya kerana komited untuk membangunkan bintang-bintang masa depan Afghanistan.

“Kebanyakan pemain kami adalah anak-anak jalanan yang tidak mempunyai peluang lain untuk menunjukkan bakat mereka kepada dunia.

“Saya pergi ke kawasan terpencil Kabul untuk mencari bakat ini. Jika mereka boleh bermain di atas jalan, mereka juga boleh bermain di pantai,” tambah Baran.

Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Bola Sepak Pantai Afghanistan, Ruhullah Rastagar berkata, pada mulanya permainan itu diilhamkan daripada negara-negara yang kekurangan lokasi memainkannya namun masih menunjukkan kemampuan mengagumkan seperti Switzerland.

“Namun saya berpendapat pada masa sekarang, Afghanistan telah melakukan lebih baik daripada kebanyakan negara yang mempunyai pantai.

“Kami telah mengalahkan pasukan yang sering berada di tangga tertinggi seperti Malaysia dan China. Sekiranya kita mempunyai sokongan yang mencukupi, saya yakin pasukan bola sepak pantai Afghanistan akan berada di puncak dunia tidak lama lagi,” tambahnya.

Kini, hampir 200 orang kanak-kanak yang kebanyakannya datang daripada keluarga miskin akan berlatih tiga kali seminggu di Stadium Ghazi. – AFP

Process time in ms: 47