RENCANA UTAMA

Enam tahun belajar asas tarian klasik India

Enam tahun belajar asas tarian klasik India



RENTAK tari itu cukup sempurna apabila ia turut digabungkan dengan emosi penari yang larut dalam hikayat penceritaan. Walaupun tidak mengeluarkan suara tetapi ekspresi wajahnya membuat penonton memahami perasaan yang cuba disampaikan.

Loceng kaki bergerak seiringan menambahkan lagi keasyikan muzik tradisional India manakala seluruh anggota tubuh badan penari seolah-olah berkomunikasi untuk menterjemahkan keresahan hatinya.

Begitulah keunikan yang ditampilkan oleh tarian bharatanatyam iaitu salah satu tarian klasik India sempena pementasan Koleksi Tari Klasik India anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Persembahan itu merupakan aktiviti di bawah program Panggung Seni Tradisional, JKKN yang mengangkat kesenian warisan di negara ini.

Koleksi tarian klasik India tersebut ditarikan oleh kumpulan TFA Inner Space Dance Company.

Salah seorang penari kumpulan tersebut, Mohammad Khairi Mokhtar, 28, begitu teruja mendalami ilmu tarian klasik India kerana ia sangat unik dan setiap proses yang dilalui sangat menyeronokkan.

“Saya mula belajar tarian klasik India yang dikenali sebagai bharatanatyam sejak 10 tahun yang lalu ketika mengikuti pengajian diploma dan ijazah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Sejak itu, saya jatuh cinta dengan tarian ini kerana ia cukup mencabar kemampuan diri seorang penari lantas memberi kepuasan setiap kali mempersembahkannya kepada penonton,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! pada program tersebut baru-baru ini.

Dia yang turut memiliki Ijazah Sarjana Seni Halus, Universiti Seni Kebangsaan Korea, Korea Selatan mengambil masa enam tahun untuk menguasai buah tari tersebut yang penuh dengan kehalusan dan kesenian tersendiri.

Hentak kaki

Pada peringkat awal anak ketiga daripada enam beradik itu berlatih menghentak kaki selama dua jam sehari.

Sebagai pemuda Melayu, Mohammad Khairi mengalami kesukaran untuk memahami bahasa Tamil sedangkan ia sangat penting bagi menjiwai tarian tersebut.

“Disebabkan halangan bahasa, saya cuba memahami muzik tersebut dengan tekun bagi menjiwai tarian itu.


Bharatanat yam memerlukan penari menunjukkan emosi menerusi mimik muka dan gerak tari.


“Guru-guru dan rakan-rakan membantu menterjemahnya ke dalam bahasa Melayu agar saya memahaminya,” tuturnya yang turut berkebolehan bermain alat muzik rebana dan cajon.

Tambah Mohammad Khairi, bharatanatyam merangkumi tarian dan seni bercerita yang penuh dengan emosi dan pergerakan maka, dia perlu faham jalan cerita tersebut.

Sempena persembahan Koleksi Tari Klasik India itu dia turut mempersembahkan dua lagi tarian tradisional tersebut iaitu kathak dan odissi dengan mengambil masa lima bulan untuk mempelajarinya.

Tarian popular

Sementara itu, Pengarah TFA Inner Space Dance Company, Umesh Shetty berkata, tarian klasik masyarakat India telah lama wujud serta merupakan yang tertua di dunia.

“Antara tarian yang popular ialah bharatanatyam, odissi, kuchipudi, kathak, sattriya, kathakali, mohiniattam dan manipuri.

“Setiap genre tari klasik ini mempunyai cerita dan drama tersendiri malah berasal dari wilayah yang berbeza di India.

“Persembahan tarian biasanya ditarikan di kuil-kuil sebagai salah satu ritual keagamaan Hindu,” terangnya.

Jelasnya lagi, di Malaysia terkenal dengan tarian bharatanatyam kerana kebanyakan orang India di sini berasal dari India Selatan iaitu tempat asal tarian tersebut.

Ujar Umesh, mempelajari seni tarian ini mengambil masa sangat lama dan rumit maka, bagi mendalami asas tarian sahaja memerlukan sehingga enam tahun.

Pada pementasan Koleksi Tari Klasik India baru-baru ini, penari telah mempersembahkan tiga jenis tarian iaitu kathak, odissi dan bharatanatyam.

Tarian kathak berasal daripada seni mempertahankan diri dan dipersembahkan sambil membawa pedang dan sapu tangan.

Seni tarian ini popular dalam kalangan etnik Khattak daripada suku kaum Pashtun di Pakistan dan timur Afghanistan yang dipersembahkan oleh para pahlawan Khattak sebelum pergi berperang.

Ia mempunyai lima gerak rutin yang melibatkan putaran, gerakan pinggul dan siku, membawa pedang atau sapu tangan.

Boleh ditarikan secara individu atau berkumpulan tanpa ada had jumlah penari.


Odissi dipercayai berusia 2,000 tahun.


Odissi pula merupakan tarian klasik India terkenal dari negeri Orissa yang dipercayai berusia hampir 2,000 tahun.

Dipercayai bahawa tarian odissi dicipta serta diilhamkan di kuil dan dianggap sebagai tarian kasih sayang, suci, kudus, dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan.

Disebabkan itulah odissi berkait rapat dengan agama dan alam semula jadi serta sering mengangkat kisah-kisah Dewa Krishna dalam persembahan.

Bharatanatyam merupakan salah satu genre tari klasik popular India. Ia penuh dengan emosi dan tradisi.

Terdapat pelbagai gerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari demi melengkapkan tarian warisan ini.

Tarian ini juga dikenali sebagai seni bercerita daripada sifat asalnya yang merupakan ekspresi menghambakan diri kepada tuhan-tuhan Hindu.

Interpretasi umum untuk nama bharatanatyam ialah bha (ekspresi) + ra (muzik) + ta (irama) + natyam (tarian).

Identiti

Sementara itu, seorang lagi penari Ng Xinying, 28, berkata, tarian klasik India mencabar stamina kerana perlu menguasai koordinasi lenggok badan, mata, kaki dan jari.

“Tarian klasik India sangat istimewa kerana mempunyai banyak rentak dan ekspresi muka yang berbeza, maka latihan tekun perlu dilakukan untuk memastikan gerak tari itu sempurna.

“Dalam setiap tarian, saya perlu menampakkan identiti masyarakat itu sendiri dan penghayatan yang penuh sangat penting bagi menjayakannya,” katanya yang turut menguasai tarian balet, tradisional dan Melayu.

Xinying yang juga merupakan pensyarah tari di Aswara bukan hanya menguasai tarian tradisional kaum India tetapi pada masa sama mempelajari budaya, pakaian, makanan dan sejarahnya.

Wanita Cina itu juga pandai menggayakan sari dan makan kari kerana pergaulannya dengan rakan-rakan kaum India sepanjang mempelajari seni tarian itu.

Process time in ms: 47