INFINITI

Eksperimen kesan psikologi angkasawan di Marikh

Eksperimen kesan psikologi angkasawan di Marikh


Lapan penyelidik tinggal selama lapan bulan di kawasan gunung berapi di Hawaii, AS untuk mengkaji kesan psikologi angkasawan ketika di Marikh.


SELEPAS lapan bulan hidup terasing di kawasan gunung berapi di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) untuk merasai suasana seperti di planet Marikh, enam penyelidik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kembali kepada kehidupan biasa.

Pasukan penyelidik yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita itu dikuarantin di dataran yang luas di bahagian puncak gunung berapi aktif itu pada Januari lalu.

Ketika berada di situ, komunikasi mereka dengan dunia luar juga dilewatkan selama 20 minit, menyamai tempoh masa penghantaran sesuatu signal dari Marikh ke Bumi.

Kajian itu dilaksanakan untuk memahami dan menyelami kesan psikologi sekiranya angkasawan berada di ruang angkasa termasuk berada di Marikh bagi jangka masa panjang.

Data yang dikumpul akan membantu NASA untuk memilih kru yang mempunyai ciri-ciri tertentu dalam melakukan ekspedisi ke Marikh pada tempoh masa selama dua atau tiga tahun.

Penyelidik utama projek itu, Prof. Kim Binsted berkata, para penyelidik turut menyimpan catatan tentang perasaan mereka ketika berada di situ.

“Ini adalah misi kelima kami dan kami telah banyak belajar daripada lima misi ini. Kami menyimpulkannya kepada satu perkara iaitu konflik. Walaupun berada di dalam pasukan terbaik, konflik tetap akan timbul.

“Jadi apa yang penting adalah mempunyai kru ke angkasa yang benar-benar berdaya tahan dan dapat menyelesaikan konflik yang berlaku,” katanya.

Process time in ms: 31