INFINITI

Keputusan opsyen rawatan sepantas tiga saat

Keputusan opsyen rawatan sepantas tiga saat



SETIAP kali mendengar perkataan Unit Rawatan Rapi (ICU), ramai yang terbayangkan pesakit-pesakit yang terlantar di katil dan tidak sedarkan diri.

Kebanyakan pesakit itu dipasang tiub yang disambungkan ke mesin-mesin perubatan.

ICU ialah sebuah jabatan khusus di dalam hospital yang menawarkan perubatan rawatan dan penelitian rapi. Hospital menetapkan pesakit-pesakit yang ditempatkan di ICU memerlukan perubatan tertentu, pemeriksaan terperinci dan pemantauan rapi.

Oleh demikian, di setiap hospital yang ada di negara ini, terdapat protokol atau syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh jururawat dan doktor.

Protokol yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu mempunyai langkah-langkah khusus yang wajib diguna pakai untuk merawat pesakit. Jika protokol tersebut tidak dipatuhi, ia boleh mendatangkan kemudaratan malah tindakan juga akan diambil.

Contoh protokol yang harus dipatuhi ialah mengawal paras glukos dalam darah pesakit.

Sebagai bantuan bagi memudahkan lagi proses protokol mengawal paras glukos dalam darah yang lazimnya lakukan secara manual oleh jururawat atau doktor, satu sistem aplikasi dikenali The Stochastic TARgeted (STAR).

Aplikasi STAR direka khusus bagi mengawal kandungan gula dalam darah pesakit, ia menepati spesifikasi protokol yang digunakan di dalam ICU bagi hospital-hospital di Malaysia.

Menurut Pengarah Inovasi dan Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dr. Normy Norfiza Abdul Razak, STAR direka untuk mendapatkan keputusan rawatan atau opsyen seterusnya bagi pesakit-pesakit di ICU dengan lebih pantas serta bertepatan.

“Pesakit di dalam ICU kerap mengalami tekanan yang disebabkan hiperglikemia atau glukos dalam darah meningkat walaupun tidak pernah memiliki sejarah diabetes.

“Peningkatan gula dalam darah boleh menyebabkan jangkitan kuman sehingga mendatangkan penyakit lain seperti serangan jantung, organ gagal berfungsi dengan baik atau lebih teruk kematian.

“Oleh demikian, amat penting untuk mengawal kandungan gula dalam darah bagi pesakit-pesakit ini,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Uniten, Bangi Selangor baru-baru ini.


NORMY NORFIZA (tengah) menyerahkan tablet kepada Mohd. Basri di ICU Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan, Pahang baru-baru ini.


Pada 2001, seorang penyelidik dari Britain, Van den Berghe pernah melakukan kajian terhadap rawatan mengawal glikemik dengan rapi. Hasil kajiannya itu mendapati mengawal glukos di dalam darah mampu mengurangkan kadar kematian pesakit sehingga 45 peratus.

Pertama kali

Sejak itu, pelbagai usaha mengenai kajian itu terus dijalankan oleh beberapa penyelidik termasuk Normy Norfiza sendiri yang memiliki Doktor Falsafah daripada Univerisity of Cantebury, New Zealand.

Aplikasi itu pertama kali beroperasi sepenuhnya pada 2010. Ia telah digunakan di Belgium, New Zealand dan Hungary.

Hanya pada Disember 2016, ia mula digunakan di Malaysia iaitu di ICU Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM), Kuantan, Pahang secara percubaan pilot kerana negara ini mempunyai demografik yang berbeza dan memerlukan kajian terperinci.

Penyelidikan berkenaan turut mendapat kerjasama Universiti Sains Malaysia dan Univerisiti Malaysia Pahang.

Bercerita tentang bagaimana aplikasi itu berfungsi, Normy Norfiza menerangkan jururawat atau doktor perlu memasukkan data seperti nama, umur, berat, tinggi, jantina dan status diabetik pesakit ke dalam ruangan yang telah disediakan dalam aplikasi tersebut.

Fungsi

Kemudian data seperti kandungan gula dalam darah, insulin dan nutrien yang diambil lebih awal turut perlu di dimasukkan ke dalam ruangan yang disediakan.

“Selepas kesemua data tersebut dimasukkan, doktor atau jururawat boleh menekan butan OK pada bahagian bawah aplikasi berkenaan dan tidak sampai tiga saat, opsyen rawatan yang perlu diberikan kepada pesakit akan diperoleh.

“Antara opsyen yang diberikan adalah berapakah kandungan insulin yang perlu diberikan kepada pesakit sekiranya bacaan glukosa dalam darah mereka rendah dan begitu juga sebaliknya.

“Selain itu, opsyen lain yang disediakan adalah dalam jarak berapa jam doktor atau jururawat perlu melakukan pemeriksaan gula dalam darah. Sekiranya keadaan pesakit agak stabil, mungkin dua atau tiga jam lagi baru doktor boleh lakukan pemeriksaan semula,” terang wanita itu.


MENGAWAL kandungan gula dalam darah dengan rapi mampu mengurangkan kadar kematian pesakit sehingga 45 peratus.


Sementara itu, Ketua Penyelidik PPUAIM, Datuk Dr. Mohd. Basri Mat Nor berkata, sebelum ini glukos dalam darah pesakit di ICU diambil secara manual mengikut protokol yang disediakan KKM.

“Contohnya, jika seseorang pesakit itu perlu ditambah atau dikurangkan insulin, kami akan melihat kepada keperluan dan status keadaan pesakit. Berdasarkan status berkenaan, baru kami membuat keputusan tentang opsyen rawatan yang perlu diberikan kepada pesakit.

“Misalnya, berapa kandungan insulin yang perlu diberikan kepada pesakit sekiranya bacaan glukos dalam darah mereka berada pada tahap yang tidak memuaskan iaitu dalam bacaan empat ke bawah. Bacaan glukos dalam darah yang baik adalah antara empat hingga 10.

“Berbanding dengan aplikasi STAR ini, data keperluan diri serta status kesihatan pesakit yang telah dimasukkan lebih awal dapat memberikan opsyen rawatan lebih tepat terutamanya apabila satu aplikasi dikhususkan untuk seorang pesakit sahaja,” ujarnya.

Positif

Mohd. Basri turut menambah, walaupun aplikasi berkenaan diperkenalkan di hospital UIAM pada Disember tahun lalu, mereka telah menjalankan beberapa kajian terhadap pesakit dan semuanya memberi maklum balas positif.

Setakat ini, lebih daripada 50 orang pesakit ICU yang memerlukan pemeriksaan glukos dalam darah menggunakan aplikasi STAR.

Mohd. Basri memberitahu, aplikasi berkenaan amat berkesan kerana pertamanya ia memberi fokus kepada setiap pesakit. Ini kerana, keadaan setiap pesakit itu berbeza-beza, maka rawatan yang perlu diberikan juga berbeza mengikut keperluan masing-masing.

“Kedua, STAR juga selamat digunakan. Setiap data yang dimasukkan disimpan dalam satu sistem dipanggil Cloud yang membolehkan pemeriksaan semula dijalankan. Jika ada antara jururawat atau mana-mana doktor yang terlepas daripada mengikut keperluan rawatan yang diberikan, ia boleh disemak semula.

“Selain itu, ia mudah digunakan oleh para jururawat. Aplikasi ini mudah difahami. Sebelum ingin memulakan STAR, mereka telah dilatih dan diberikan penerangan serta tablet untuk membuat ulang kaji,” jelasnya.

Process time in ms: 47