DUNIA

Demonstrasi bertukar ganas, polis Indonesia tahan 22 orang

Demonstrasi bertukar ganas, polis Indonesia tahan 22 orang


POLIS menggunakan meriam air untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan antikomunis yang berkumpul di luar pejabat Yayasan Bantuan Guaman Indonesia di Jakarta kelmarin. - REUTERS


JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia menahan 22 orang lewat kelmarin selepas penunjuk perasaan merusuh dan bertempur dengan polis semasa bantahan antikomunis di Jakarta.

Lima anggota polis cedera dalam pertempuran yang berlaku apabila sekumpulan 200 penunjuk perasaan berhimpun di luar Yayasan Bantuan Guaman di tengah Jakarta. Yayasan itu menganjurkan seminar mengenai tragedi pembunuhan 1965 pada hujung minggu lalu.

Sebilangan penunjuk perasaan membaling batu dan botol air minuman, manakala polis menembak meriam air dan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Rentetan kejadian itu, aktivis-aktivis kemanusiaan meminta supaya pihak berkuasa mengawal acara seumpamanya dan meminta orang ramai berpandangan jauh dalam menilai sejarah.

“Terdapat mangsa-mangsa dalam tragedi 1965 dan stigma melibatkan komunisme yang masih memerlukan kebenaran, keadilan dan penyembuhan,” kata suruhanjaya hak asasi wanita dalam satu kenyataan.

Penyingkiran komunis di Indonesia bermula selepas Jene­ral Suharto dan pihak tentera mengambil alih kuasa susulan kegagalan rampasan kuasa komunis.

Seramai sejuta orang atau lebih dipenjarakan kerana disyaki menjadi anggota komunis.

Pemerintahan di bawah Presiden Joko Widodo cuba membetulkan peristiwa penyingkiran komunis dalam tahun 1965 itu yang merupakan antara detik paling gelap dalam sejarah Indonesia.

Namun, isu tersebut terus tegang. Dianggarkan seramai 500,000 orang dibunuh dalam peristiwa itu. – REUTERS

Process time in ms: 31