DUNIA

Aung San Suu Kyi berdolak-dalik

Aung San Suu Kyi berdolak-dalik

SUU KYI berucap kepada rakyat Myanmar di ibu kota, Naypyidaw semalam. - AFP


NAYPYITAW – Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi mengutuk semua bentuk pelanggaran hak asasi manusia semalam dan mengatakan bahawa mereka yang bertanggungjawab melakukan pencabulan di Negeri Rakhine akan dibawa ke muka pengadilan.

Beliau juga meluahkan rasa amat sedih dengan penderitaan semua orang yang terperangkap dalam konflik tersebut.

Dalam ucapan pertama beliau kepada rakyat sejak serangan oleh pemberontak Islam Ro­hingya pada 25 Ogos lalu, Suu Kyi berkata, Myanmar tidak takut siasatan antarabangsa dan komited ke arah penyelesaian mapan konflik itu.

Serangan oleh pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Penyelamat Rohingya Arakan itu mendorong tentera Myanmar melancarkan operasi pembersihan yang memaksa lebih 410,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

“Kami mengutuk semua pencabulan hak asasi manusia dan keganasan. Kami komited untuk memulihkan semula keamanan, kestabilan dan undang-undang di Rakhine,” kata Suu Kyi dalam ucapan di ibu kota Myanmar, Naypyitaw.

Tentera Myanmar masih berkuasa penuh dalam isu keselamatan, manakala Suu Kyi pula enggan mengulas lanjut tentang operasi ketenteraan di Rakhine.

Beliau hanya berkata, tiada pertempuran bersenjata dan operasi pembersihan di negeri itu sejak 5 September lalu.

“Kerajaan pimpinan saya sudah melakukan segala usaha untuk memulihkan keamanan dan kestabilan serta memupuk keharmonian antara orang Islam dan komuniti Buddha di Ra­khine,” jelas Suu Kyi.

Tambah pemimpin berusia 72 tahun itu, Myanmar juga bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk menerima semula pela­rian Islam itu tetapi ia tertakluk kepada proses “pengesahan”.

Setakat ini, masih tidak jelas berapa ramai daripada anggaran 410,000 pelarian Rohingya di Bangladesh yang layak untuk pulang ke Myanmar.

Ucapan selama 30 minit yang disiarkan di kaca televisyen itu turut menyaksikan Suu Kyi tidak menggunakan istilah Rohingya untuk merujuk kepada etnik minoriti Islam yang menetap di Negeri Rakhine.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan operasi tentera di Rakhine sebagai pembersihan etnik.

Kelmarin, Amerika Syarikat mendesak supaya kerajaan Myanmar menamatkan operasi tentera dan membenarkan penghantaran bantuan ke ne­geri di barat Myanmar itu.

Dalam pada itu, beberapa pemerhati politik berkata, pihak tentera mungkin sengaja cuba menggugat kerajaan pimpinan Suu Kyi untuk meraih sokongan sebelum pilihan raya umum diadakan pada tahun 2020.

Komander angkatan tentera, Min Aung Hlaing muncul sebagai pemimpin popular semasa krisis itu.

Beliau dianggap sebagai pembela kedaulatan wilayah Myanmar dan agama Buddha. – REUTERS

Process time in ms: 31