TERKINI

Pengasuh disyaki dera bayi 8 bulan ditahan

Pengasuh disyaki dera bayi 8 bulan ditahan

19/09/2017 7:45pm


Gambar hiasan. Ahmad Dzaffir (gambar kecil).


KAJANG - Seorang pengasuh wanita ditahan kerana disyaki mendera seorang bayi berusia lapan bulan dalam satu kejadian yang berlaku di Taman Bukit Mutiara di sini, Ahad lalu.

Wanita berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di rumah suspek pada pukul 8 malam susulan laporan yang dibuat ibu mangsa selepas mengesyaki anaknya didera oleh pengasuh berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, ibu kanak-kanak itu menghantar mangsa ke rumah pengasuh tersebut seketika sebelum pergi ke tempat kerja bagi mendapatkan cuti kecemasan kerana mahu membawa mangsa ke klinik.

“Sebaik dia kembali semula ke rumah pengasuh itu, dia mendengar anaknya menangis dengan kuat dan segera menghubungi pengasuh tetapi dia yang tidak menyedari kehadiran ibu kanak-kanak itu sekadar memaklumkan anaknya sedang tidur dan berada dalam keadaan baik,

“Ibu mangsa kemudian masuk ke rumah dan membawa mangsa ke kereta sebelum mendapati ada kesan merah di pipi kanan anaknya seperti kesan ditampar lalu segera menghubungi suspek bagi mendapatkan penjelasan tetapi telefon bimbitnya telah dimatikan,” katanya melalui satu kenyataan semalam.

Suspek kini ditahan reman empat hari sehingga Jumaat ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama

Process time in ms: 1110