TERKINI

16 kawasan di Selangor berisiko fenemona air pasang besar bermula esok

16 kawasan di Selangor berisiko fenemona air pasang besar bermula esok

19/09/2017 7:02pm


Beberapa kawasan di Selangor bakal berdepan fenomena air pasang besar esok. - Gambar fail


SHAH ALAM - Ribuan penduduk di 16 buah kawasan melibatkan lima buah daerah di Selangor diletakkan dalam tahap berjaga-jaga bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama 13 hari bermula esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya berkata, ini melibatkan daerah Klang meliputi kawasan di Pengkalan Tok Muda, Batu 4 Jalan Kapar, Bund Sementa, Pelabuhan Klang, Jalan Pandamaran Banting dan Taman Selat Damai.

Katanya, bagi daerah Sabak Bernam (Tebuk Mendeling, Sungai Ayer Tawar dan Sungai Panjang), Kuala Selangor (Tanjung Karang, Kampung Kuantan, Pantai Remis, Pekan Sungai Buloh), Sepang (Pesisir Pantai Bagan Lalang) dan Kuala Langat (Pantai Kelanang dan Pesisir Pantai Tanjung Sepat).

Fenomena itu akan berlaku pada 20 hingga 22 September, 6 hingga 9 Oktober, 4 hingga 7 November dan 4 hingga 5 Disember.

"Paras tertinggi air laut berdasarkan jadual air pasang surut laut yang dijangka akan dicatatkan sepanjang fenemona itu berlaku adalah 5.5 meter pada 5 November dan terendah adalah 0.4 meter (4 Disember) ini.

"Kawasan berisiko ini juga berpotensi untuk mengalami banjir sekiranya berlaku hujan yang lebat dan angin kencang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, tiada pemindahan awal terhadap penduduk di kawasan berisiko tinggi ini namun kesemua agensi keselamatan diminta bersiap siaga dan membuat rondaan serta memberikan tindak balas segera sekiranya terdapat sebarang kejadian tidak diingini. - K! ONLINE

Process time in ms: 46