TERKINI

Polis guna dron rakam gambar lokasi kejadian kebakaran tahfiz

Polis guna dron rakam gambar lokasi kejadian kebakaran tahfiz

19/09/2017 3:05pm


Dron yang diterbangkan oleh polis bagi menyiasat lokasi kebakaran pusat tahfiz dari udara pagi ini.


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan Pesawat Udara Tanpa Juruterbang (UAV) bagi membantu tugasan forensik di lokasi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati Pasukan Forensik PDRM yang terdiri daripada lima orang pegawai dan empat orang anggota tiba di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kira-kira pukul 10.40 pagi.

Sejurus tiba dilokasi, pasukan tersebut memasuki bangunan pusat tahfiz berkenaan bagi meneruskan siasatan dan mengambil sampel-sampel yang diperlukan.

Tinjauan juga mendapati pasukan UAV menaikkan pesawat dron untuk mendapatkan gambaran menyeluruh pusat tahfiz tersebut pada pukul 11 pagi.

Menurut salah seorang anggota UAV, pihaknya hanya membantu pasukan forensik yang terlibat bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan.

“Pasukan UAV diarahkan untuk membantu pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Justeru, kita diminta untuk mengambil gambar daripada pelbagai sudut yang diperlukan menggunakan pesawat drone,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Pasukan forensik kemudiannya beredar daripada pusat tahfiz berkenaan pada pukul 2.10 petang dengan membawa beberapa beg untuk melengkapkan siasatan. - K! ONLINE

Process time in ms: 47