RENCANA UTAMA

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.


SELEPAS terpilih sebagai penyelaras bagi projek Go Green anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) kira-kira dua tahun lalu, perasaan Kamarul Arifin Maizan, 25, ketika itu bercampur baur.

Walaupun teruja dapat bertugas di Pulau Mabul, sebuah pulau peranginan di Semporna, Sabah yang sangat terkenal sebagai lokasi aktiviti menyelam dan selam skuba, dia turut berasa bimbang tidak dapat menyesuaikan diri di tempat orang.

Bagaimanapun, Kamarul Arifin berasa lega apabila tugasnya untuk melaksanakan program Go Green di Uncle Chang’s Dive Lodge itu mendapat kerjasama yang baik daripada kakitangan resort berkenaan.

Lebih membanggakannya, usahanya yang bermula pada Januari 2016 itu berjaya menjadikan Uncle Chang’s Dive Lodge sebagai satu-satunya resort hijau di Pulau Mabul.

Projek Go Green di resort tersebut merupakan gabungan pelbagai kepakaran daripada Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Fakulti Rekabentuk dan Senibina serta Fakulti Perhutanan UPM.

Ia bagi memperkenalkan keusahawanan lestari dan hijau melalui kaedah yang inovatif dengan menukar sampah kepada pendapatan.

Selain itu, ia juga merupakan program pemindahan ilmu oleh UPM terhadap pihak industri. Projek tersebut juga adalah kesinambungan terhadap kajian lepas yang dijalankan melalui Geran Penyelidikan Jangka Panjang menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Matlamat utama

Menghurai lebih lanjut mengenainya, ketua program berkenaan, Prof. Madya Dr. Sridar Ramachandran berkata, matlamat utama program pemindahan ilmu itu adalah bagi membolehkan pihak industri memanfaatkan sumber-sumber alternatif sedia ada dengan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.

Selain itu, ia juga bagi mendidik pengusaha pelancongan tempatan khususnya di Semporna mengenai kepentingan pengurusan sampah dan sisa pepejal yang mampan melalui kaedah permakultur dan kitar semula.

“Berdasarkan kajian lepas, kami dapati kebanyakan masyarakat di Semporna terutama di kawasan pesisir pantai termasuk di Pulau Mabul bergantung kepada laut untuk menghanyutkan kumbahan mentah dan sampah.

“Malah, penduduk di Pulau Mabul sendiri terpaksa mendapatkan bekalan air bersih dari tanah besar khususnya pekan Semporna dengan mengangkut menggunakan bot untuk kegunaan harian mereka.

“Perkara tersebut sudah pasti melibatkan kos yang tinggi khususnya bagi pengusaha resort. Ini kerana mereka memerlukan air bersih pada jumlah yang lebih besar bagi tujuan operasi seharian,” katanya.

Malah katanya, sikap sebahagian besar penduduk terutama di Pulau Mabul yang melupuskan sampah dengan menghanyutkannya ke laut semakin memburukkan keadaan sehingga menjadikan persekitaran pulau berkenaan kotor dan dipenuhi sampah sarap.

Keadaan itu katanya, telah memberi kesan kepada sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

Tambahan pula, jelasnya, ia semakin dikunjungi pelancong luar khususnya China bagi melakukan aktiviti selam skuba dan menyelam di perairan sekitarnya.

“Justeru itu, UPM dan Uncle Chang’s Dive Lodge telah menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan program Go Green ini.

Kesedaran


Pelatih UPM, Nursyuhadah Azfizah M. Sarip (kiri) memberi tunjuk ajar kepada murid SK Pulau Mabul mengenai cara menghasilkan baja kompos.


“Ia bukan sahaja bagi mengubah landskap resort berkenaan menjadi sebuah resort hijau, tetapi bagi meningkatkan kesedaran penduduk di sekitar Pulau Mabul terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar,” katanya.

Jelas Sridar lagi, bagi menjayakan program berkenaan, sebanyak 10 inisiatif hijau telah digariskan bagi membolehkan objektif pelaksanaannya tercapai.

Antaranya, pengumpulan air hujan, pengumpulan air pendingin hawa, kebun dapur, calet hijau, pengasingan sisa organik, pengasingan sisa bukan organik, mewujudkan pusat kitar semula, inisiatif upcycle atau meningkatkan keupayaan kegunaan sesuatu barangan terpakai, kempen kesedaran bersama pihak sekolah dan program alam sekitar.

Menurut beliau, pada peringkat awal, pihaknya melaksanakan kaedah penerapan elemen hijau dengan menggalakkan penanaman pokok di sekitar resort tersebut.

Malah, kakitangan resort itu juga diajar dengan kaedah pengumpulan air pendingin hawa untuk kegunaan harian selain mewujudkan pusat pengumpulan bahan kitar semula dan menghasilkan baja kompos menggunakan sisa organik.

Pada fasa kedua pelaksanaannya pula, tenaga pakar dari UPM telah berkongsi ilmu dengan mewujudkan taman mini di sekitar resort bagi meningkatkan kawasan hijau selain melaksanakan projek semaian benih pokok.

Fasa ketiga pula melibatkan projek kelestarian dengan menggunakan bahan kitar semula terutamanya botol plastik pelbagai saiz untuk dijadikan pasu bunga bagi tujuan mengindahkan kawasan sekitar.

“Pada tahun kedua pelaksanaan program ini, kami mula melaksanakan tugas-tugas mendidik penduduk kampung dan murid Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan kitar semula selain kaedah penjagaan alam sekitar yang lebih berkesan.

Kurang kos

“Mereka juga diajar teknik-teknik menggunakan bahan kitar semula bagi mewujudkan kawasan hijau di kawasan sekolah dan kediaman.

“Selain itu, kami turut menganjurkan aktiviti pembersihan persekitaran pulau menerusi acara gotong-royong yang disertai pihak luar bagi meningkatkan imej Pulau Mabul sebagai lokasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.

Pemilik Uncle Chang’s Dive Lodge, Ang Kian Chong @ Dzaqoff Ang atau lebih mesra dipanggil Uncle Chang turut mengakui bahawa inisiatif hijau tersebut membantunya mengurangkan kos operasi dan menjadikan persekitaran resortnya lebih mesra alam.

“Sebelum ini, kami terpaksa mendapatkan bekalan air bersih dari tanah besar dan membawa bahan-bahan buangan ke Semporna menggunakan bot atau tongkang untuk dilupuskan.

“Selepas melaksanakan program Go Green, kami telah berjaya mengurangkan kos operasi dengan memaksimumkan sumber alam sekitar sedia ada.

“Kakitangan kami turut membantu UPM dalam mendidik penduduk dan murid sekolah mengenai kaedah penjagaan alam sekitar bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih di pulau ini,” katanya.

Jelas Uncle Chang, pihaknya turut menyediakan peruntukan sebanyak RM96,000 bagi meneruskan projek Go Green itu untuk tempoh dua tahun lagi selain mewujudkan Unit Go Green yang terdiri daripada kakitangannya bagi memastikan pelaksanaan inisiatif hijau yang berterusan.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, beliau berpuas hati apabila perlaksanaan projek tersebut telah menampakkan perubahan yang positif apabila persekitaran resort tersebut lebih hijau dan mesra alam.

“Kami berharap agar usaha ini akan menjadi contoh kepada operator resort lain di Pulau Mabul dan di seluruh negara,” katanya.

Process time in ms: 47