DUNIA

Harga petrol di Korea Utara mahal akibat sekatan PBB

Harga petrol di Korea Utara mahal akibat sekatan PBB


AP - Gambar fail bertarikh 8 Mei 2016 menunjukkan seorang askar Korea Utara mengawal bekalan tong berisi petroleum dekat tebing sebatang sungai di bandar sempadan Sinuiju.


PYONGYANG – Harga petrol dan diesel di Korea Utara melambung tinggi selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan baharu yang mengehadkan bekalan bahan api kepada Pyongyang, demikian menurut analisis data oleh agensi berita Reuters semalam.

Sekatan PBB itu ekoran kedegilan Korea Utara melakukan ujian nuklear keenam dan yang paling kuat baru-baru ini.

Harga petrol yang dijual pembekal persendirian di Pyongyang dan dua bandar sempadan Korea Utara, Sinuiju serta Hyesan melonjak kepada AS$2.51 (RM10.51) sekilogram (kira-kira 1.3 liter) pada 13 September lalu, naik 45.1 peratus berbanding AS$1.73 (RM7.25) sekilogram pada 5 September lalu, kata Reuters berdasarkan analisis data terkumpul oleh laman web Daily NK.

Laman Daily NK dikendalikan kumpulan pembelot Korea Utara yang mengumpulkan senarai harga menerusi panggilan telefon kepada peniaga-peniaga di negara komunis itu.

Harga diesel pula meningkat sebanyak 61.5 peratus daripada AS$1.30 (RM5.45) sekilogram kepada AS$2.10 (RM8.80) sekilogram untuk tempoh sama.

Seorang pembelot berkenaan, Lee Sang-yong yang kerap berhubung dengan sumber di Korea Utara dan memantau data pasaran berpandukan maklumat mereka berkata, lonjakan harga itu antara lain disebabkan oleh kekurangan bekalan berikutan tindakan Pyongyang menyimpan bahan api tersebut susulan sekatan PBB.

Majlis Keselamatan PBB sebulat suara meluluskan resolusi sekatan baharu pada 11 September lalu yang melarang eksport gas asli cecair dan mampat ke Korea Uta­ra serta mengehadkan bekalan petrol serta diesel kepada dua juta tong setahun.

Korea Utara memperoleh sebahagian besar bekalan petrol dan diesel dari China, manakala sebahagian lagi dibekalkan oleh Rusia. Pyongyang mengimport kira-kira 4.5 juta tong produk petroleum ditapis dan dua juta tong minyak mentah pada setiap tahun. – Reuters

Process time in ms: 31