RENCANA UTAMA

Trend pelajar ulang kaji pelajaran di kafe

Trend pelajar ulang kaji pelajaran di kafe


PARA pelajar berasa selesa mengulang kaji pelajaran di restoran makanan segera dan kafe bersama rakan. – Gambar hiasan


‘Seperti cendawan tumbuh selepas hujan’. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan pertambahan bilangan restoran makanan segera dan kafe di negara ini.

Restoran dan kafe seperti McDonald’s, Starbucks, Coffee Bean serta Gloria Jean’s boleh didapati di mana-mana sahaja dalam negara ini.

Suatu ketika dahulu, restoran dan kafe seumpama itu cukup asing dalam kalangan masyarakat. Jika ada pun hanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Biasanya, restoran makanan segera dan kafe menjadi tumpuan masyarakat menikmati makanan Barat atau kopi bersama keluarga serta rakan-rakan.

Begitupun, terdapat segelintir remaja yang menjadikan restoran makanan segera dan kafe sebagai lokasi untuk mengulang kaji pelajaran.

Fenomena tersebut boleh dilihat di restoran makan segera atau kafe yang terletak berhampiran institusi pengajian tinggi (IPT) atau sekolah.

Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, kemudahan wi-fi merupakan faktor utama pelajar memilih restoran makanan segera dan kafe sebagai tempat mengulang kaji pelajaran.

Jelasnya, pelajar pada hari ini amat memerlukan kemudahan wi-fi dalam pembelajaran sama ada mencari dan menghantar maklumat mahupun menyiapkan tugasan.

“Pelajar dahulu mengulang kaji pelajaran di perpustakaan atau bilik belajar yang telah disediakan oleh pihak IPT atau sekolah.

Internet percuma

“Namun kini, restoran makanan segera dan kafe menjadi pilihan. Ini kerana tempat-tempat ini menyediakan kemudahan internet secara percuma,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Nahrizul Adib, suasana sekitar yang selesa juga merupakan salah satu faktor pelajar IPT memilih restoran makanan segera dan kafe tempat mengulang kaji pelajaran.

Jelasnya, tempat-tempat tersebut biasanya dilengkapi dengan pendingin hawa, meja dan sofa yang empuk, sekali gus memberi keselesaan kepada pelajar.

“Pelajar hari ini lebih mencari keselesaan untuk mengulang kaji pelajaran selain boleh menikmati makanan atau menghirup secawan kopi panas.

“Saya bukan hendak cakap mengulang kaji dalam IPT tidak selesa, namun ia agak sesak, terutamanya ketika musim peperiksaan,” jelasnya yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan, UM.

Baru-baru ini, seorang pelajar di Singapura berkongsi ketidakpuasan hati apabila dia diminta mengemas dan memberi tempat duduk kepada pelanggan lain ketika belajar di sebuah kafe Starbucks.

Pelajar itu telah memuat naik pendapat ke laman Facebook rasmi Starbucks Singapura supaya pelajar sepertinya tidak lagi dihalau untuk memberi tempat kepada pelanggan lain.

Malangnya, pelajar itu telah diserang oleh netizen kerana bagi mereka kafe adalah tempat menikmati makanan serta minuman dan bukannya untuk belajar.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Strategi Digital Starbucks Malaysia dan Brunei, Salleharon Ahmad berkata, pihaknya tidak mengalami sebarang masalah sekiranya pelajar ingin mengulang kaji di kafe Starbucks.

Jelasnya, pihaknya menganggap bahawa pelajar tersebut merupakan sebahagian daripada pelanggan yang berhak menggunakan kemudahan yang disediakan di sesebuah kafe.

“Terdapat lebih 240 kafe Starbucks di seluruh negara. Jumlah outlet yang banyak ini membolehkan para pelanggan menikmati minuman dan sajian dengan selesa.

“Jika sesebuah outlet penuh, pelanggan boleh berkunjung ke outlet lain yang berhampiran.

“Tidak seperti di Singapura, jumlah outlet di sana agak terhad berbanding jumlah permintaan. Itu yang menyebabkan ruang tempat duduknya sentiasa penuh,” katanya.

Salleharon turut memuji sikap pelajar IPT di negara ini kerana mempunyai kesedaran sivik yang tinggi apabila berada di dalam kafe.

Katanya, kesedaran ini penting bagi memastikan pelanggan lain tidak terkesan dengan kewujudan mereka.

Process time in ms: 62