RENCANA UTAMA

16 tahun selepas runtuhnya Pusat Dagangan Dunia

16 tahun selepas runtuhnya Pusat Dagangan Dunia


Kedua-dua menara bangunan WTC dirempuh oleh pengganas menggunakan dua pesawat yang dirampas.


KAWASAN tapak Ground Zero di Lower Manhattan, New York pada pagi Isnin lalu penuh dengan kehadiran ribuan masyarakat dunia.

Tangisan beberapa orang awam memecahkan kesuraman pagi itu.

Sambil duduk berteleku di hadapan sebuah kolam memorial gangsa yang terukir nama 2,977 mangsa, potret sanak saudara dan rakan taulan yang terkorban dalam tragedi 11 September 2001 dipeluk dengan erat.

Sementara itu, beberapa orang pemuda-pemudi yang lalu-lalang di kawasan itu tidak terkecuali daripada memberi penghormatan dengan meletakkan kuntuman ros merah di atas sebuah kolam.

Isnin lalu, genap 16 tahun tragedi serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang mengorbankan ribuan nyawa.

Rempuhan pesawat Boeing 767 American Airlines Flight 11 di Menara Utara WTC pada pukul 8.46 pagi waktu tempatan dan pesawat United Airlines Flight 175 di Menara Selatan WTC pada pukul 9.03 pagi itu didalangi oleh sekumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda.

Tragedi tersebut lantas dijadikan sebagai siri serangan yang terburuk dalam sejarah dunia apabila pesawat pengganas berjaya merempuh WTC sehingga menyebabkan kedua-dua bangunan berkembar yang menjadi kebanggaan masyarakat negara tersebut runtuh.

Serangan tersebut membunuh seramai 2,977 individu yang meliputi 2,753 orang di New York, 184 di Pentagon dan 40 orang yang menaiki pesawat penerbangan manakala 6,000 cedera.

Walaupun tiada lagi serpihan bangunan runtuh dan juga ribuan mayat bergelimpangan di atas jalan, namun tragedi tersebut tetap akan diingati oleh seluruh penduduk dunia.

Malah, tragedi yang berlaku di negara yang terkenal dengan jolokan Uncle Sam itu juga kini tersimpan kemas dalam lipatan sejarah dunia.

Salah seorang waris mangsa, James Taormina, 42, yang datang dari East Rutherford, New Jersey, tidak ketinggalan untuk turut serta dalam majlis memperingati mangsa-mangsa tragedi pada pagi itu.

Pearl Harbour

Menurut Taormina, itu merupakan kali pertama dia datang ke kawasan tersebut untuk memberi penghormatan kepada adiknya, Dennis, yang bertugas sebagai Pengurus Kewangan di syarikat Marsh & McLennan di menara tersebut.


TAPAK tragedi satu ketika dahulu dipenuhi dengan runtuhan bangunan.


“Saya rasa seperti baru semalam Dennis meninggalkan kami sekeluarga.

“Masih segar di ingatan saya 16 tahun lalu. Pada pagi tragedi tersebut berlaku, saya mendapat panggilan telefon daripada ibu yang mengatakan bahawa bangunan yang menempatkan pejabat Dennis bekerja dirempuh oleh dua buah pesawat.

“Pada waktu itu, saya berharap agar tiada apa-apa perkara buruk yang berlaku kepada Dennis. Bagaimanapun, apabila melihat berita mengenai tragedi tersebut di dada akhbar keesokan harinya, harapan saya untuk melihat Dennis bernafas musnah.

“Lebih memilukan apabila kami sekeluarga diberitahu Dennis merupakan salah seorang antara 2,977 orang mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut,” jelasnya.

Sejak tragedi itu, Taormina dan keluarganya tidak pernah menjejakkan kaki ke bandar besar itu.

Akui lelaki itu, mereka sekeluarga berasa sangat trauma dengan nahas yang meragut nyawa adiknya itu.

Biarpun begitu, berbeza pada tahun ini, Taormina mengambil keputusan untuk memunculkan diri di Ground Zero sebagai tanda penghormatan buat mendiang adiknya itu.

Dalam tragedi tersebut, kehadiran pesawat yang terhempas di balik bangunan WTC itu menyebabkan ribuan nyawa terkorban dalam keadaan yang mengerikan apabila kedua-dua bangunan berkembar yang menjadi simbolik kepada kekayaan dan keyakinan New York runtuh.

Ia adalah serangan terburuk ke atas negara sejak tragedi yang berlaku di Pearl Harbor pada 7 Disember 1941.

Bukan sahaja orang awam, malah seramai 300 orang anggota pasukan penyelamat meliputi pegawai polis, bomba dan pekerja di bahagian kecemasan turut terkorban dalam tragedi tersebut apabila mereka dihempap oleh serpihan runtuhan ketika melakukan kerja-kerja menyelamat.

Serangan daripada kumpulan pengganas Al-Qaeda pada 11 September 2001 iaitu sera­ngan asing pertama ke atas Amerika Syarikat dalam tempoh hampir dua abad telah memecahkan rasa selamat sehingga menjerumuskan Barat kepada peperangan hingga ke hari ini.

Masalah kesihatan

Setelah 16 tahun tragedi menggemparkan dunia itu berlaku di New York, siapa sangka bandar raya kini mampu bangkit semula dari kejatuhan tersebut dan dilihat lebih berdaya tahan, kaya dan bertambah maju.


LEBIH 7,000 nyawa berjaya diselamatkan dalam runtuhan bangunan berkembar tersebut.


Buktinya, pusat bandar Manhattan yang rancak dibangunkan semula sejak tahun 2008 itu kini menjadi satu daripada sebahagian kawasan yang berkembang pesat di New York apabila ia dipenuhi hotel mewah, butik dan restoran.

Kawasan WTC pula kini telah dibangunkan yang menempatkan Muzium dan Memorial Kebangsaan 11 September selain stesen tren termahal di dunia dengan kos pembinaan sebanyak AS$3.2 bilion (RM11.09 bilion) dan pusat seni persembahan.

Malah, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio mendakwa bahawa kawasan tersebut kini menjadi simbol kekuatan masyarakat dunia hingga ia kini menjadi antara tumpuan pelancong asing.

Biarpun kawasan tersebut kini membangun dengan pesat, namun tragedi yang berlaku 16 tahun yang lalu itu meninggalkan kesan buruk kepada sebahagian individu di bandar raya berkenaan.

Mana tidaknya, dianggarkan hampir 75,000 individu dikatakan hidup berdepan dengan masalah kesihatan. Kebanyakan mereka merupakan pekerja pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa mangsa runtuhan.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan New York pada tahun 2012 mendapati, majoriti daripada mereka mengalami masalah mental, asma dan gangguan pernafasan serta diancam dengan kanser.

Hasil daripada kajian itu juga mendapati ahli bomba yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa tragedi berisiko sebanyak 19 peratus lebih tinggi untuk mendapat kanser prostat dan tiroid.

Bagaimanapun, punca-punca penyakit tersebut masih belum dapat dikenalpasti.

Dalam tempoh 16 tahun lalu, New York telah berusaha mencari keseimbangan antara memperingati mangsa dengan melakukan yang terbaik iaitu melalui penjanaan, pembinaan semula dan te­rus memandang ke hadapan.

Process time in ms: 47