TERKINI

Premis Darul Quran Ittifaqiyah hanya bangunan sementara

Premis Darul Quran Ittifaqiyah hanya bangunan sementara

14/09/2017 11:20pm


Bangunan Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini, yang terbakar dan mengorbankan 23 orang awal pagi tadi, hanya premis sementara.


KUALA LUMPUR - Bangunan Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini, yang terbakar dan mengorbankan 23 orang awal pagi tadi, hanya premis sementara bagi pusat tahfiz itu, kata pentadbirnya, Mohamad Affendi Hamzah.

Beliau berkata, bangunan itu diduduki sementara menunggu pengubahsuaian bangunan asal pusat tahfiz itu, yang terletak kira-kira satu kilometer dari premis terbakar itu, siap.

Katanya, mereka berpindah ke bangunan sementara itu pada Oktober tahun lepas dan merancang berpindah semula ke bangunan asal pada bulan depan.

"Mangsa kebakaran dan pelajar yang terselamat adalah kumpulan pertama yang menduduki bangunan ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohamad Affendi, yang berkhidmat di pusat pengajian berkenaan sejak dua tahun lepas, memberitahu, bahawa pusat pengajian itu telah beroperasi sejak 16 tahun lepas dan ini merupakan bencana pertama yang dihadapi mereka.

"Tuhan lebih sayangkan mereka," katanya merujuk kepada 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz berkenaan yang terkorban dalam insiden 5.15 pagi itu.

Mohamad Affendi berkata, pusat pengajian itu juga menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, mengikut perancangan, selepas semua kakitangan dan pelajar berpindah semula ke bangunan asal, premis berkenaan akan digunakan untuk pengajian kitab.

"Ini yang kita rancang bermula tahun depan di bangunan ini, di bangunan asal, kita akan khaskan hanya untuk pengajian tahfiz," katanya. - Bernama

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 47