RENCANA UTAMA

Polemik mangsa rogol di Afrika Selatan

Polemik mangsa rogol di Afrika Selatan


KES rogol Mabuza masih belum dapat dibicarakan di mahkamah kerana tertuduh telah menghilangkan diri, sebaik sahaja diberi jaminan oleh pihak polis.


MENGIMBAS semula detik menjadi mangsa rogol dua tahun lalu, Nthabiseng Mabuza, 35, yang juga seorang cef, merupakan satu-satunya penumpang di dalam sebuah bas mini yang dinaikinya untuk ke tempat kerja.

Nasib tidak menyebelahi Mabuza kerana dia diperkosa oleh pemandu bas mini tersebut. Pemandu yang merogolnya itu juga ditangkap di tempat kejadian sejurus Mabuza menjerit meminta pertolongan.

Seorang pejalan kaki yang kebetulan terdengar jeritan itu segera meminta bantuan pihak polis peronda. Walaupun perogol itu ditahan polis, namun dia dibebaskan dengan jaminan selepas beberapa bulan dalam tahanan polis.

Selepas dua tahun berlalu, kes itu masih belum dibicarakan di mahkamah kerana tertuduh telah menghilangkan diri.

Menggunakan nama samaran, Mabuza tidak mahu nama sebenarnya dikenali. Ekoran daripada kejadian itu, dia terkejut dan marah kepada pihak polis kerana melepaskan perogol itu.

Hal berkenaan membuatkan diri Mabuza hidup dalam ketakutan dan trauma jika perogol itu sedang merayau-rayau di jalanan.

Kes Mabuza adalah salah satu contoh kesukaran yang dihadapi oleh mangsa rogol dan bagaimana mereka dilayan oleh pihak polis di Afrika Selatan.

“Pada hari ketika saya sepatutnya memberi keterangan, perogol itu tidak hadir ke mahkamah malah dia juga tidak dapat dikesan oleh pihak polis.

“Sejak itu, tiada apa-apa tangkapan dan perbicaraan dibuat,” katanya yang juga ditemani oleh suaminya di kediaman mereka di Vosloorus, timur Johannesburg.

Usaha Mabuza untuk mengetahui apa yang sedang berlaku daripada pegawai penyiasat terbukti sia-sia, walaupun dia percaya terdapat bukti yang kukuh untuk sabitkan hukuman kepada perogol itu.

Sementara itu, Ketua Polis, Fikile Mbalula berikrar untuk membaiki semula sistem yang ada setelah mengakui terdapat kesalahan dalam pentadbiran dan sistem keadilan di balai polisnya.

“Kita perlu bertindak balas terhadap jutaan permasalahan rakyat di Afrika Selatan yang mengatakan bahawa pasukan polis kita tidak bertindak dengan sewajarnya bagi menangani kejadian kes-kes rogol,” ujarnya.

Beliau berkata jabatannya kini akan melakukan apa yang sepatutnya dilakukan supaya balai polis dapat berfungsi dan melakukan segala yang mereka pelajari untuk membantu mangsa serangan seksual.

Penyiasatan

Polis di Afrika Selatan dikecam oleh ramai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan wanita dan hak asasi manusia, ahli akademik, media dan beberapa penggubal undang-undang yang dilihat tidak sensitif terhadap mangsa serta lambat dalam melakukan penyiasatan.

Menurut beberapa kajian bebas, kadar sabitan daripada kes yang dilaporkan adalah rendah iaitu di bawah 10 peratus.

Laporan yang berjudul Rape Justice in South Africa, menunjukkan data dari tahun 2012 didapati hanya 8.6 peratus kes yang diadili di mahkamah dengan keputusan yang berakhir dengan suspek bersalah.

Dalam pada itu, menurut laporan yang dijalankan oleh Majlis Penyelidikan Perubatan Afrika Selatan, pihak pendakwaan menolak untuk mendakwa 47.7 peratus daripada kes yang dirujuk kepada mereka oleh pihak polis, disebabkan oleh kadar kejayaan yang rendah berdasarkan bukti yang ada.

Aktivis amal advokasi Sonke Gender Justice, Marike Keller, memberitahu, mereka membuat kesimpulan bahawa wujud perkara yang ‘tidak penting’ tentang laporan yang dibuat oleh mangsa akibat sikap polis yang diskriminasi.

“Terdapat banyak ketidakpuasan hati dengan cara polis mengendalikan kes-kes mereka, pihak polis banyak menyalahkan mangsa kerana sering bertanya soalan seperti apa yang dipakai mangsa itu adalah kesalahan mangsa sendiri,” katanya.

Menurut seorang lagi mangsa, Lu-Meri Kruger, 35, dia bersetuju bahawa polis sering bertanya soalan yang amat sukar dan berulang-ulang kali sehingga mangsa menjadi orang yang bersalah.

“Berjalan ke sebuah balai polis adalah perkara yang paling menyeramkan, gelap, dahsyat dan sukar kerana anda tidak tahu ke mana hendak pergi dan mengadu,” kata Kruger, yang dirogol ketika berusia 15 tahun oleh seorang lelaki yang masuk ke bilik mandinya ketika dia sedang mandi di sebuah rumah persinggahan di Cape Town.

Berdasarkan laporan Majlis Penyelidikan Perubatan lagi, polis Afrika Selatan bukan sahaja mengalami masalah latihan yang tidak mencukupi tentang cara menangani mangsa rogol, malah menghadapi juga tekanan kerja yang tinggi dan kekurangan pengangkutan.

Tugasan dan tekanan kerja yang tinggi itu menyebabkan wujudnya sikap yang kurang adil daripada pihak polis untuk bersimpati terhadap mangsa rogol ketika mereka membuat laporan.

Statistik jenayah rasmi juga menunjukkan bahawa 51,895 kes rogol telah dicatatkan antara April 2015 dan Mac 2016. Bagaimanapun aktivis menganggarkan hanya sebahagian kecil daripada kes rogol itu sahaja dilaporkan.

Banyak pihak NGO membantu wanita yang menjadi mangsa seperti ini, sehingga wujud satu khidmat talian bantuan di Johannesburg yang beroperasi 24 jam iaitu TEARS.

TEARS telah menerima lebih daripada 31,000 panggilan untuk tempoh 12 bulan yang berakhir pada bulan Februari lalu daripada kebanyakan menjadi mangsa rogol dan kes penderaan rumah tangga.

Begitupun, kebelakangan ini Afrika Selatan telah mewujudkan mahkamah khusus bagi kesalahan serangan seksual dan 57 buah tempat perbicaraan telah dibuka setakat ini, namun aktivis mengatakan lebih banyak mahkamah seperti itu patut dibuka. – AFP

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47