RENCANA UTAMA

Cabaran dan kepuasan sinema Malaysia

Cabaran dan kepuasan sinema Malaysia



SETIAP tahun, apabila tibanya Festival Filem Malaysia yang memberi pengiktirafan kepada karyawan industri filem tempatan, pasti ada tema berbeza diangkat dalam penganjurannya.

Jika tahun lalu, Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) membawa tema Transformasi Sinema Kita, pada penganjuran FFM29 yang bakal berlangsung 23 September ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pula mengangkat tema Transformasi Citra Karya.

Melihat kepada perinciannya, tema tersebut dipilih untuk meraikan evolusi sinema Malaysia yang sudah pun berusia 84 tahun.

Selama tempoh itu juga rakyat Malaysia dapat melihat pelbagai transformasi yang dilalui dalam pembikinan filem dan teknologi digunakan sebagai wadah untuk membangunkan sesebuah karya.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29, Datuk Fauzi Ayob berkata, pemilihan tema Transformasi Citra Karya adalah untuk memberi pengiktirafan kepada sesebuah filem tempatan yang bukan sahaja berkualiti, namun menggambarkan identiti nasional.

“Transformasi merupakan evolusi atau perubahan dialami sinema kita yang sudah berusia 84 tahun. Citra karya pula merujuk kepada naskhah atau karya yang menggambarkan identiti negara.

“Hal ini bermakna, biar sejauh mana pun filem itu berjaya menembusi pasaran luar, namun ia tetap melambangkan naskhah yang berasal dari Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, artikel ini bukanlah untuk mengupas transformasi yang dilalui dalam pembikinan filem, tetapi membawa kepada evolusi yang berlaku dalam sinema Malaysia.

Bermula dari wayang pacak, wayang kulit, filem hitam putih kepada berwarna sehingga pelbagai kemudahan teknologi dapat dilihat telah disediakan oleh pengusaha wayang.

Bersetuju dengan perkara itu, tambah Fauzi sebanyak 150 panggung wayang yang berada di seluruh Malaysia sudah bergerak seiring dengan teknologi semasa.

“Panggung wayang merupakan wadah hiburan wajib sekarang. Sudah tentu kita dapat melihat perubahannya bergerak berteraskan teknologi semasa.

“Sekitar tahun 70-an dahulu, kutipan filem sedikit merosot, bagaimanapun seiring teknologi yang berkembang maju sekarang, kita dapat lihat deretan filem yang berjaya mencapai kutipan pecah panggung,” katanya.

Cabaran

Dalam pada itu, penerbit filem terkenal David Teo, pula mempunyai kisah menarik tentang cabaran yang dihadapi ketika pernah mengendalikan panggung wayang sendiri.


SEIRING dengan perubahan zaman, harga tiket wayang juga meningkat, sesuai teknologi dan kualitinya.


Ujar pemilik Metrowealth Cinema yang telah pun menamatkan operasinya sejak enam tahun lalu, keputusan itu terpaksa diambil ekoran kos pengubahsuaian yang terlalu tinggi.

“Saya pernah membuka tiga buah panggung wayang pada tahun 2005 di Kuching, Sarawak, Kajang, Selangor dan Alor Setar, Kedah.

“Bagaimanapun, saya terpaksa menjualnya kepada syarikat Lotus Five Star. Bukan kerana tidak laku, tetapi disebabkan kos pengubahsuaian yang memerlukan nilai jutaan ringgit,” katanya yang ingin memberi fokus kepada dunia penerbitan sahaja.

David yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) menambah, faktor kemudahan dan teknologi yang disediakan oleh pengusaha wayang sangat penting dalam menarik kedatangan penonton.

“Teknologi semakin canggih sekarang. Jika dahulu sebuah panggung memerlukan kos pengubahsuaian sebanyak RM500,000, namun kini ia mungkin mencapai harga RM2 juta dan ke atas.

“Apabila pengusaha tidak menjalankan pengubahsuaian, panggung yang disediakan mungkin ketinggalan dan ini memberi kesan kepada kedatangan penonton,” terangnya.

Sempat ditanya soal cabaran yang dihadapi oleh penggiat filem dan pengusaha wayang apabila kegiatan cetak rompak versi baharu semakin berleluasa kini, David kemudian menghela nafas panjang.

Ujarnya, tidak mustahil perusahaan pawagam pada masa akan datang bakal terjejas dan bukan lagi sebagai tempat tumpuan untuk menonton wayang.

“Dengan teknologi live (siaran langsung) di Facebook sekarang, memang sukar untuk mengelakkan kegiatan rakaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Perkara itu mampu menjejaskan masa depan pawagam kerana terlalu banyak hiburan yang disediakan melalui media sosial sahaja. Biarpun kualiti tidak secantik menonton di wayang, namun perkara itu bukan masalah kerana ia percuma.

“Justeru, untuk membendung masalah ini, kita perlu melihat kembali bagaimana mentaliti masyarakat dan sejauh mana kesedaran mereka terhadap isu yang jelas salah ini” katanya yang bakal terbit dengan filem baharu berjudul Kolestrol VS Cinta.

Kepuasan

Sementara itu pelbagai cerita menarik berkaitan evolusi sinema dikongsi oleh Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani tentang pengalaman beliau berkenaan sinema di Malaysia.


GSC atau Golden Screen Cinema merupakan antara pawagam popular pada masa kini.


Sebagai salah seorang yang begitu menggemari aktiviti menonton filem di pawagam, Juhari pernah menonton tiga buah filem dalam masa sehari dan sebanyak 200 buah filem dalam tempoh setahun.

“Minat saya untuk menonton filem tidak mengira genre dan bahasa bermula sejak sekolah rendah lagi. Namun, aktiviti itu menjadi semakin kerap apabila saya akan menonton sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu apabila berusia 14 tahun.

“Menonton filem di panggung wayang merupakan satu kepuasan buat saya kerana ia bukan sahaja satu hiburan yang murah dan eskapisme untuk anak remaja, malah turut dilengkapi dengan teknologi terkini,” katanya.

Diajak berkongsi pengalaman beliau menonton wayang pada zaman 70-an sehingga sekarang, Juhari kemudian tertawa besar. Bagi beliau terlalu banyak kenangan manis untuk dikenang dan dikongsi sehingga pernah menghasilkan artikel berkenaan semua filem yang pernah ditonton.

“Panggung wayang dahulu berbeza dengan sekarang, bayangkan dahulu kusyen di kerusinya sungguh buruk sehingga semua penonton digigit pepijat. Saya juga pernah menonton filem Hindustan dengan durasi selama tiga jam di dalam panggung yang hanya menyediakan kerusi kayu.

“Pelbagai perubahan telah saya lihat bukan sahaja kemudahan dalam sesebuah panggung wayang, malah saya juga antara penonton pertama yang menyaksikan transformasi filem dari hitam putih kepada berwarna berjudul Permintaan Terakhir pada tahun 1975,” katanya yang ketika itu menetap di Teluk Intan, Perak dan sanggup menaiki bas ekspres semata-mata untuk menonton filem keluaran baharu di bandar Ipoh.

Bercerita lanjut, Juhari juga pernah menyaksikan zaman kemerosotan penonton untuk ke panggung wayang disebabkan kewujudan pita video dan cakera padat cetak rompak.

Bagaimanapun, dengan adanya teknologi seperti sistem bunyi, skrin gergasi dan D-Box Motion Seat ia berjaya membawa kembali minat masyarakat untuk merasakan kepuasan sebenar ketika menonton filem.

“Walaupun pernah berdepan dengan cabaran seperti cetak rompak dan kini kegiatan rakaman secara haram di media sosial, namun minat saya untuk menonton wayang di pawagam tidak akan pernah padam,” tutupnya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47