HORIZON

Kembara beg galas di wilayah Yunnan

Kembara beg galas di wilayah Yunnan


SUNGAI Yangtze mengalir deras di tengah-tengah Tiger Leaping Gorge.


TIDAK pernah terlintas dalam fikiran penulis untuk mengembara ke China, apatah lagi secara backpacker atau beg galas dan hanya berdua bersama rakan penulis, Noor Aishah Hambali.

Tawaran murah tiket pesawat dan keindahan Kunming, China berjaya menggamit kami ke wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Laos, Myanmar serta Vietnam.

Kami memasang impian untuk menjejak keindahan alam semula jadi dan warisan dunia, sekali gus menjadikan Kunming, Lijiang, Tiger Leaping Gorge dan Shangri-la sebagai destinasi pilihan.

Hampir 10 bulan perancangan dilakukan bagi memastikan kami mampu menjayakan kembara itu. Kami mencuba kelainan dengan memilih mengembara pada musim sejuk.

Cuaca yang terlalu sejuk menyambut ketibaan kami di bumi Yunnan dan menjadi cabaran pertama. Pengalaman baharu itu menyebabkan kami teruja.

Lijiang yang terletak kira-kira 500 kilometer (km) dari Kunming menjadi destinasi pertama kami. Kami terpaksa menempuhi perjalanan selama sembilan jam dengan kereta api di China. Mujur kami membeli tiket kelas soft sleeper.

Hostel kami terletak di Lijiang Old Town, perkampungan tradisi berusia lebih 800 tahun yang diiktiraf sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 1997.

Muzik

Bayaran 80 yuan (RM51) dikenakan untuk memasukinya, namun berbaloi dengan jaminan keindahan dan kebersihan persekitaran.

Setiap sudut Lijiang Old Town begitu menarik dan mengujakan. Terdapat banyak terusan air yang sangat jernih dan bersih sehinggakan boleh dilihat kumpulan ikan koi berenang-renang di dalamnya.

Landskap teratur dengan pelbagai flora, menambahkan keindahan. Muzik seirama yang berkumandang dari hampir setiap kedai muzik tradisional membolehkan kami menghafal iramanya.

Binaan bangunannya juga masih mengekalkan keaslian tradisional China walaupun sudah berusia ratusan tahun. Terasa seperti berada di zaman dinasti.

Black Dragon Pool terletak kira-kira satu kilometer (km) dari Lijiang Old Town dan boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki. Sejarah menyaksikan tasik ini wujud sejak tahun 1737 iaitu semasa zaman Dinasti Qing.


BLUE Moon Valley terbentuk daripada pencairan ais dari Jade Dragon Snow Mountain.


Berlatarbelakangkan Jade Dragon Snow Mountain, tasik ini mempunyai tarikan tersendiri dengan panorama indah dan menempatkan beberapa astaka, antaranya The Moon Embracing Pavillion.

Jade Dragon Snow Mountain menjadi impian utama penulis untuk menjejakkan kaki di puncaknya yang sentiasa dilitupi salji.

Dari stesen kereta kabel, laluan kayu sejauh kira-kira 200 meter perlu ditelusuri. Oksigen tipis menyebabkan penulis mengalami penyakit altitud tinggi dan terpaksa bergantung pada botol oksigen.

Penulis terpaksa berhenti di pertengahan jalan kerana terlalu lemah dan hanya Noor Aishah yang berjaya menjejaki puncak setinggi 4,680 meter dari aras laut itu.

Kami juga sempat melawat Blue Moon Valley yang terletak tidak jauh dari Jade Dragon Snow Mountain yang terbentuk daripada proses pencairan air salji di gunung.

Airnya yang berwarna seakan-akan biru laut begitu jernih dan sejuk. Panorama sekitarnya juga unik dan mengagumkan.

Pada hari berikutnya, kami melawat kawasan pergunungan Tiger Leaping Gorge. Sungai Yangtze deras mengalir di tengah-tengah Tiger Leaping Gorge yang menghubungkan antara gunung Haba dan Yulong.

Terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Up, Middle, dan Lower, lembah ini menjadi tarikan pendaki. Selama dua hari diperlukan bagi menyempurnakan pendakian sejauh 22km dengan 28 lengkok yang mencabar.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan, suasana pergunungan yang damai, kehidupan minimalis dan cara hidup tradisional memberikan penulis ketenangan yang tidak tergambar oleh kata-kata.

Lebih menarik, banjaran lembah ini juga sebahagian daripada Dataran Tinggi Yunnan yang menganjur merentasi negara sehingga ke Banjaran Titiwangsa di negara kita.

Kami juga berkesempatan melawat Shangri-la. Keindahan panorama pergunungan menjadikan perjalanan ke Shangri-la tidak membosankan.

Shangri-la dianugerahi keindahan semula jadi yang mendamaikan sehingga digelar syurga dunia. Dahulunya dikenali sebagai Zhongdian dan wujud lebih 1,000 tahun, Shangri-la mempunyai keunikan tersendiri.

Kedudukannya yang bersempadan dengan Tibet menyebabkan pengaruh Tibet begitu kuat. Rata-rata penduduk di sini selesa berpakaian tradisional Tibet.

Penggunaan tulisan dan bahasa Tibet juga meluas. Musim sejuk sering menyaksikan Shangri-la dilitupi salji. Kami tidak berpeluang merasai pengalaman salji turun, namun sempat bermain salji yang bertaburan di merata kawasan.

Kami turut menikmati pengalaman berbasikal di Jinugu Valley. Berbasikal di sini sambil menyaksikan yak dan kuda meragut rumput kering memberikan keseronokan berbeza.

Suhu serendah 8 darjah Celsius dengan angin kuat memberikan cabaran hebat. Tarikan lain di Shangri-la adalah Songzanlin Monestary, Turtle Hill Golden Prayer Wheel, Shika Snow Mountain dan Taman Negara Pudacuo.


PENULIS bergambar dengan berlatarbelakangkan Jade Dragon Snow Mountain.


Selepas puas menjelajah Lijiang, kami kembali ke Kunming.

Ibu kota Yunnan terkenal dengan slogan Bandar Musim Bunga Abadi disebabkan cuaca baik dan bunganya yang mekar sepanjang tahun.

Batu kapur

Di sini, kami mengunjungi sebuah lagi tapak warisan UNESCO iaitu Shilin Stone Forest. Pemandangan batu kapur yang dipenuhi pokok-pokok mengingatkan penulis kepada Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak. Keluasan dan struktur persekitaran hutan batu ini hampir menyebabkan kami tersesat.

Kami juga sempat singgah di Dianchi Lake iaitu tasik terbesar di Yunnan dan keenam terbesar di China. Tasik berkeluasan 300km persegi yang berombak itu membuatkannya kelihatan seperti laut.

Kehadiran ribuan camar migrasi dari Siberia disebabkan pertukaran musim menjadikan tasik ini tumpuan pengunjung.

Kami mengambil peluang menaiki kerusi kabel atau chairlift dari Western Hill ke Dragon Gate.

Perjalanan selama 20 minit begitu mengasyikkan apabila menikmati pemandangan bandar Kunming dan Dianchi Lake dengan kaki berjuntaian di udara.

Cuihu Lake yang wujud sejak abad ke-17 turut menjadi destinasi kami. Lokasinya berdekatan Yunnan University menyebabkan kami tidak melepaskan peluang menceroboh masuk universiti yang berusia hampir seabad itu.

Yunnan University merupakan antara universiti terbesar di China. Suasana di dalam universiti dengan bangunan menarik, landskap yang tersusun dan pohon menguning menyebabkan kami berasa seperti berada di negara Barat pada musim luruh.

Waktu malam dimanfaatkan dengan menelusuri Jinbi Road dan Zhengyi Road. Di sebalik deretan pusat perniagaan yang sentiasa sibuk, tersergam Masjid Chongde.

Kami berkesempatan singgah ke dalam masjid setinggi lima tingkat itu. Sebuah lagi masjid yang kami kunjungi adalah Masjid Yongning di Jinbi Road.

Kami turut mencuba mi tarik yang dijual di bahagian luar masjid. Sehingga sekarang penulis masih terkenang keenakan rasa mi itu.

Selepas 10 hari di China, pelbagai keindahan semula jadi yang tidak tergambar telah kami alami. Kembara ini juga menjadikan penulis jatuh cinta dengan bumi China.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 15