VARIA

Logo Google Malaysia lakaran spontan Kai Wei

Logo Google Malaysia lakaran spontan Kai Wei


LUKISAN Doodle4Google oleh Kai Wei bakal menghiasi laman web Google Malaysia pada 16 September ini.


PADA 16 September ini, pengguna Google Malaysia bakal melihat perubahan logo Google pada laman webnya, www.google.com.my.

Logo itu merupakan ciptaan pemenang utama pertandingan Doodle4Google 2017 anjuran Google Malaysia. Pertandingan seperti itu juga pernah dianjurkan Google Malaysia pada tahun 2014 bersempena Hari Malaysia.

Kembali bagi tahun 2017 dengan membuka peluang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah mempamerkan kreativiti melalui doodle, pertandingan kali ini menyaksikan pelajar Sekolah Antarabangsa Nexus Putrajaya, Ch’ng Kai Wei, 15, dipilih sebagai pemenang utama.

Doodle adalah lakaran spontan dan santai tanpa perlu memikirkan sesuatu yang berat. Karya doodle biasanya tidak memiliki bentuk jelas dan benar tetapi kelihatan unik dan menarik.

Hasil karya Kai Wei yang bertemakan United, We Shine itu memaparkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.

Di samping itu, Kai Wei turut menampilkan pada doodlenya lukisan bunga kebangsaan iaitu bunga raya, raja buah-buahan tempatan iaitu durian serta bangunan tertinggi di Malaysia iaitu Menara Berkembar Petronas.

“Menerusi doodle yang dihasilkan, saya menunjukkan pemahaman saya tentang kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia. Saya percaya Malaysia begitu indah dan harmoni kerana terdapat kepelbagaian kaum ini.

“Tidak dilupakan, saya juga menggunakan warna-warna bendera Malaysia untuk melambangkan Hari Malaysia yang bakal disambut Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kai Wei berkata, dia amat meminati bidang lukisan sejak di sekolah rendah lagi.

Pertandingan Doodle4Google tahun ini dikategorikan kepada empat peringkat umur. Bagi kategori umur tujuh hingga sembilan tahun ia telah dimenangi oleh Wan Muhammad Fahyim Wan Mohd. Nazdi dari Sekolah Kebangsaan Kerteh, Terengganu. Kategori umur 10 hingga 12 tahun pula dimenangi Cheng Jun Kai dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kong Min Kuantan, Pahang.

Sementara itu, kategori 13 hingga 15 tahun dimenangi Kai Wei manakala kategori 16 hingga 17 tahun diraih Muhammad Khairul Aiman Mohamad Zaidi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47