VARIA

Memori kampung halaman Jian Goh

Memori kampung halaman Jian Goh

Jian Goh menggunakan pendekatan santai seperti anekdot lucu dan watak haiwan untuk memaparkan kisah hidupnya.


TEMPAT jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Bidalan itu menunjukkan betapa mendalamnya ingatan kita terhadap sesuatu tempat apatah lagi jika ia menyimpan kenangan manis yang pasti sukar dilupai.

Mesej serupa turut terungkap dalam novel grafik berjudul Once Upon a Miao 2 nukilan Jian Goh Kheng Swee, 32. Ia merupakan sekuel kedua yang dilancarkan baru-baru ini selepas Once Upon a Miao menemui khalayak tahun lalu.

Dalam hal ini, pemuda yang lebih dikenali dengan nama pena Jian Goh itu menggarap kisah zaman kanak-kanaknya sehingga meniti dewasa dengan mengambil latar belakang tempat kelahirannya, Kuching, Sarawak.

“Kampung halaman atau tempat asal dibesarkan mempunyai ruang yang istimewa di dalam hati kebanyakan orang. Saya percaya ramai antara kita apabila berbual mengenai kampung halaman, kita akan teruja berkongsi mengenai perkara-perkara menarik tentang tempat itu.

“Acap kali apa yang dibicarakan mengenai tempat asal kita adalah sesuatu yang positif dan baik-baik sahaja. Dari situ saya mendapat ilham menerbitkan naskhah ini,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Banyak menyentuh momen melucukan alam persekolahan, karya Jian Goh begitu sarat dengan elemen persahabatan, kasih sayang, budaya, sehinggalah kisah mistik Antu Gergasi dan Pasun menambah warna-warni ceritera hidupnya.

Lebih unik, Jian Goh menggunakan watak kucing bernama Miao bagi mewakili dirinya selain mengetengahkan haiwan seperti monyet, buaya dan ayam untuk melambangkan rakan-rakan baiknya.

“Karakter haiwan ini saya reka khusus untuk mereka yang memainkan peranan penting dalam hidup saya. Saya juga menggunakan lambang zodiak bagi mewakili watak ahli keluarga,” jelasnya.


Novel grafik berwarna ini mengambil masa setahun untuk disiapkan.


Kejuruteraan

Bercerita mengenai latar belakangnya, Jian Goh berkata, dia berhijrah ke Semenanjung untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Telekomunikasi di Universiti Multimedia, Melaka pada tahun 2003.

Dek kerana kecintaan mendalam terhadap dunia komik, Jian Goh meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan pada tahun 2012 selepas berkhidmat selama empat tahun untuk menjadi pelukis komik sepenuh masa.

Mengimbas detik permulaan watak Miao dicipta, Jian Goh berkata, semasa di universiti, salah satu kursus yang diambilnya mewajibkan pelajar mempunyai blog sendiri. Pensyarah memberi kebebasan kepada pelajar dalam menentukan konsep dan hala tuju blog masing-masing.

“Saya tidak begitu mahir meluahkan apa yang dirasai menggunakan medium penulisan dan lebih selesa berekspresi melalui medium lukisan. Ketika itu, saya melukis menggunakan perisian Macromedia yang kemudiannya dimuat naik di blog tersebut.

“Disebabkan saya menyukai kucing, saya mencipta watak Miao dan menggunakannya untuk menyatakan pandangan tentang sesuatu isu atau perkara yang berlaku di sekeliling saya.

“Jika diikutkan, sudah 10 tahun saya melukis Miao. Ia menjadi kegiatan serius sehingga saya pernah menerima anugerah tempat pertama Nuffnang bagi kategori reka bentuk blog asal terbaik,” imbaunya.

Rencana Utama!»

Lokomotif stim 6015 identiti berharga Sabah

LOKOMoTIF 6015 merupakan kereta api stim tunggal di Sabah yang berusia lebih separuh abad dan masih boleh digunakan.

Varia!»

Mencari pewaris peniup serunai

Mohd. Amir menunjukkan serunai yang dimainkan selepas selesai melakukan persembahan di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Process time in ms: 47