TERKINI

Peragut tumpas diberkas orang awam di Bandar Tun Hussein Onn

Peragut tumpas diberkas orang awam di Bandar Tun Hussein Onn

13/09/2017 8:56pm




KAJANG - Kegiatan dua sahabat menyamun seorang lelaki mengundang padah apabila salah seorang daripada mereka berjaya ditahan dengan bantuan orang awam dalam kejadian di Jalan Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, dalam kejadian pada pukul 3.45 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun yang sedang memandu keretanya dengan menurunkan cermin telah dihampiri oleh kedua suspek dari arah belakang.

“Sebaik menghampiri kereta mangsa, salah seorang suspek telah mengambil telefon bimbit milik lelaki itu yang diletakkan di tempat letak telefon sebelum melarikan diri.

“Mangsa telah bertindak mengekori kedua suspek tersebut sebelum berlaku pelanggaran yang mengakibatkan keduanya terjatuh di atas jalan raya,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, kedua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna merah itu cuba melarikan diri sebaik dihampiri mangsa lalu berlaku pergelutan.

“Beberapa orang awam yang melihat kejadian tersebut telah bertindak membantu mangsa yang cedera di bahagian muka, tangan serta kaki akibat ditumbuk dan berjaya menahan salah seorang daripada suspek manakala seorang lagi berjaya memboloskan diri.

“Suspek yang berusia 30 tahun itu telah diserahkan kepada pihak polis bersama telefon bimbit yang disamun dan saringan awal ujian air kencing mendapati suspek positif dadah,” tambah beliau.

Jelas Ahmad Dzaffir, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan suspek yang melarikan diri dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 46