TERKINI

Tiga sindiket seludup dadah tumpas

Tiga sindiket seludup dadah tumpas

13/09/2017 2:43pm


Mohd. Mokhtar (tiga dari kiri) menunjukkan dadah jenis kokain yang dirampas dalam operasi di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Polis menumpas tiga sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dalam beberapa serbuan berasingan di Kedah, Kelantan dan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, polis turut menahan sembilan individu berusia 23 hingga 42 tahun yang mendalangi sindiket tersebut.

"Dalam operasi pertama pada Isnin lalu di Kedah, polis menahan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan sekitar Changlun dan merampas 87.4 kilogram (kg) ketulan mampat disyaki ganja bernilai RM262,000.

"Operasi kedua dilakukan di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pasir Puteh, Kelantan pagi semalam, polis menahan lima individu termasuk dua wanita tempatan serta merampas 66.34kg dadah disyaki syabu, 26 biji pil yaba dan 10 erimin5 bernilai RM5 juta," katanya ketika sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Menurut Mohd. Mokhtar, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Viva, wang tunai RM10,000 serta pelbagai barang kemas yang keseluruhannya berjumlah RM56,000.

"Operasi ketiga yang dilancarkan di dua kawasan Taman Puncak Desa, Kuala Lumpur berjaya menahan dua lelaki warga Nigeria berusia 36 dan 38 tahun serta merampas 263gram kokain dan 1.2kg ganja bernilai RM69,000.

"Tangkapan dan rampasan ini merupakan hasil kerjasama JSJN dan Drug Enforcement Administration dan maklumat risikan menunjukkan dadah jenis kokain ini dibawa masuk dari Brazil lalu diisi di dalam botol kaca menyerupai minyak wangi bagi mengaburi mata penguat kuasa," ujarnya.

Tambahnya, semua tangkapan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 32