SUKAN

‘Memori Almarhum dan 100Plus’

‘Memori Almarhum dan 100Plus’


IMBAS. Almarhum Sultan Abdul Halim bersama pemain Kedah meraikan kejayaan merangkul Piala FA bagi edisi 2007/08 setelah menewaskan Selangor 3-2 pada aksi final di Shah Alam Jun 2008.


KEMANGKATAN Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memberi kesan mendalam dan menyentuh emosi bekas jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menyifatkan Almarhum sebagai faktor penting dalam kejayaan skuad Helang Merah muncul juara trebel pada musim 2007 dan 2008.

Azraai mengakui beliau akan merindui jenaka Almarhum yang sentiasa mengusiknya sewaktu beliau masih menjadi jurulatih Kedah ketika itu.

Antara kenangan manis Azraai adalah Almarhum berseloroh mahu menghidangkan minuman isotonik, 100Plus gara-gara kedatangan mengejut ke Wisma Darul Aman, Alor Setar kira-kira 10 tahun lalu.

“Semua rakyat Kedah tahu Almarhum adalah Sultan berjiwa rakyat dan merendah diri. Bagi saya, Almarhum adalah seorang yang sentiasa terkenal dengan karakter berjenaka.

“Ada kisah yang ramai tidak tahu memori saya dengan Almarhum. Saya masih ingat kedatangan kami untuk mengadap Almarhum selepas kejayaan kedua kami memenangi trebel pada 2008, saya bersama staf kejurulatihan ketika itu pergi ke Wisma Negeri (Darul Aman).

“Mungkin kedatangan kami agak mengejut dan Almarhum terburu-buru untuk menyediakan minuman kepada kami dan saya masih ingat dialog Almarhum ketika itu.

“Awat (kenapa) tak habaq (beritahu) nak mai (datang)? Saya tak bersedia apa-apa untuk hangpa (Azraai dan staf kejurulatihan)’.

“Sekejap, hangpa semua orang (sukan) bola, mesti suka minum 100Plus? Bolehlah kan?

“Berderai ketawa dalam bilik ketika itu termasuk Almarhum dan kami membalas ‘100Plus pun boleh Tuanku’. Itulah Almarhum, berjiwa rakyat dan merendah diri. Almarhum sentiasa ambil berat bola sepak Kedah. Jadi sudah pasti kemangkatan baginda memberikan kesan mendalam kepada emosi saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Almarhum Tuanku Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada pukul 2.30 petang kelmarin.

Jenazah baginda selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar pada pukul 5.45 petang semalam.

Dalam perkembangan sama, bekas jurulatih T-Team dan Kelantan itu mengakui kehila­ngan Almarhum cukup dirasai pemain Kedah terutama skuad yang memenangi double trebel pada musim 2007 dan 2008.

“Kami sentiasa mengingati setiap kata-kata semangat serta nasihat yang diberikan oleh Almarhum.

“Ini kerana Almarhum adalah insan penting dalam kejayaan Kedah ketika kami memenangi gelaran trebel dua kali berturut-turut. Baginda tidak pernah terlepas untuk turun setiap kali Kedah layak ke pentas final.

“Apa yang saya pasti kema­ngkatan Almarhum memberikan kesan mendalam kepada kami bukan sahaja kepada rakyat tetapi bola sepak Kedah,” katanya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31