RENCANA UTAMA

Kelangsungan hidup tapir Baird di Nicaragua

Kelangsungan hidup tapir Baird di Nicaragua


Setiap hari tapir ini akan diberi makan daun dan buah-buahan.


SETIAP hari, tiga belas ekor tapir yang ditempatkan di Zoo Ticuantepe di timur Nicaragua akan diberikan makan buah-buahan dan daun sebaik tiba waktu makannya.

Tapir yang ditempatkan di zoo itu bebas daripada sebarang ancaman bahaya berbanding spesies yang berada di luar kawasan tersebut.

Haiwan mamalia yang berwarna coklat itu kini ditempatkan di zoo berkenaan kerana menjadi salah satu spesies haiwan terancam di negara di Amerika Tengah itu.

Sebanyak sembilan kilogram daun, buah dan makanan kuda diberikan kepada haiwan itu pada setiap hari.

“Di sini, mereka mempunyai makanan yang mencukupi. Diet pemakanan haiwan ini juga dipantau,” kata pakar hidupan liar, Eduardo Sacasa.

Pencerobohan manusia dan perubahan iklim telah memusnahkan habitat tapir jenis Baird (Tapirus bairdii) itu.

Tapir ini merupakan salah satu daripada lima spesies tapir yang hidup di dunia dan kebanyakannya ditemui di negara-negara Amerika Tengah.

Dianggarkan tidak lebih daripada 800 ekor haiwan itu hidup di Nicaragua.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) berkata, tapir jenis itu berisiko diancam kepupusan.

Jelas kesatuan itu, penerokaan hutan, pencerobohan tanah haram dan pemburuan haram menjadi ancaman kepada haiwan tersebut.

Di Zoo Ticuantepe, pelbagai usaha dilakukan bagi membiak semula haiwan itu.

Namun, usaha untuk membunting haiwan itu tidak mudah dan mengambil masa yang panjang.


Sacasa (kiri) kini giat menjalankan usaha pemuliharaan tapir di Nicaragua.


Dibebaskan

Tapir betina hanya melahirkan seekor anak pada satu-satu masa.

Daripada tiga tapir betina yang ada di situ, hanya dua ekor berjaya hamil termasuk tapir yang diberi nama Rosuta berusia 12 tahun dan Pueblana (sembilan tahun).

Sementara itu, Sacasa berkata, tiga tahun lalu, beberapa ekor tapir dicadangkan untuk dibebaskan di hutan, namun ia telah dibatalkan pada saat-saat akhir apabila tahap keselamatan haiwan tersebut tidak terjamin.

Tilha merupakan salah seekor tapir jantan yang dicadangkan untuk dilepaskan di satu rizab yang sukar diakses di pantai Caribbean Nicaragua dengan menggunakan helikopter tentera.

Di habitat baharu itu, Tilha akan disertai oleh seekor tapir betina yang dipilih oleh pasukan pemuliharaan sebagai pasangannya.

Sacasa yang belajar memahami kelakuan tapir sejak dua dekad lalu dengan pakar dari Universiti Michigan, Christoper Jordan menjelaskan, mereka berjaya mengesan semula haiwan tersebut setelah dibebaskan.

Haiwan itu akan diletakkan kolar satelit bagi memudahkan ia dikesan. Pada masa yang sama, lebih 150 kamera diletakkan di hutan bagi memantau pergerakan mereka.

Menurut Organisasi Pemeliharaan Alam Sekitar, terdapat kira-kira 3,000 tapir Baird di seluruh negara di Amerika Tengah.

Jumlah itu dijangka berkurang sebanyak 80 peratus pada tahun-tahun akan datang jika tiada langkah-langkah pemuliharaan haiwan tersebut dilaksanakan.

Haiwan yang menggunakan muncung untuk makan itu mempunyai berat sekitar 200 kilogram (kg) hingga 300kg dan jangkat hayatnya antara 15 hingga 40 tahun.

Menurut IUCN, kelangsungan hidup haiwan itu bergantung kepada persekitaran mereka yang perlu diubah kerana lebih 70 peratus hutan di Amerika Tengah lenyap dalam tempoh 40 tahun ini.

Seorang Ahli Geografi, Jaime Incer menasihatkan kerajaan Nicaragua supaya mengatasi isu-isu berkaitan alam sekitar yang sebahagian besarnya telah hilang.

“Trend ini menjadi semakin buruk kerana setiap tahun negara kehilangan antara 50,000 hingga 60,000 hektar hutan,” katanya. – AFP

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 31