HIBURAN

Kapsul masa malar segar BSB

Kapsul masa malar segar BSB



Hampir tiga bulan menjadi artis residen di The AXIS, Planet Hollywood Resort & Spa, Las Vegas, kumpulan Backstreet Boys (BSB) seperti tidak mahu meninggalkan tempat tersebut.

Pentas yang pernah membariskan nama besar seperti Elton John, Cher, Celine Dion dan Britney Spears, ternyata memiliki magis tersendiri sehingga kumpulan yang pernah mencetus sensasi sekitar tahun 1990-an dahulu dengan rela hati ingin terus berkampung di situ.

Bermula dengan hanya sembilan persembahan kemudian berlarutan menjadi 40 slot sehingga Februari tahun hadapan, BSB telah berkira-kira untuk melanjutkan tempoh menjadi artis residen bagi dua tahun akan datang.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan yang popular dengan lagu Larger Than Life itu juga dalam proses membikin album kesembilan di Las Vegas yang dijangka menemui peminat dalam masa terdekat.

Menerusi satu temu bual eksklusif dengan kumpulan yang dianggotai oleh AJ Mclean, 39, Howie Dorough, 44, Brian Littrell, 42, Kevin Richardson, 45, dan Nick Carter, 37, bersama Paper Magazine, mereka sempat berbicara soal keserasian di atas pentas, kematangan diri dan perasaan selepas 24 tahun bergelar BSB.

Apakah perasaan BSB sepanjang bergelar artis residen di Las Vegas bagi musim panas ini?

Nick Carter: Kami sedang merasai satu pengalaman paling hebat sepanjang berada di sini, malah ada antara kami khususnya Kevin yang sudah berpindah ke Las Vegas. Kami juga memilih untuk merakam album baharu di sini dan apa yang boleh saya katakan, kota ini benar-benar menerima kehadiran kami dengan baik sekali.

Howie Dorough: Kami baru tiga bulan berada di sini tetapi sudah berfikir untuk terus berada di Vegas sepanjang tempoh dua tahun akan datang.

Brian Littrell: Saya harap lebih lama daripada itu kerana penonton yang datang untuk persembahan kami ialah peminat BSB sekitar 20 tahun lalu dan kini mereka hadir bersama anak-anak yang turut menyukai lagu-lagu kami.

Kevin Richardson: Ada satu peristiwa berlaku pada salah satu malam kami membuat persembahan. Seorang nenek berusia 84 tahun datang untuk sesi ramah mesra bersama BSB membawa anak perempuan dan cucunya. Itu sesuatu yang saya tidak jumpa selalu dan ia hanya berlaku di Vegas.

Kalian telah bersama sebagai satu kumpulan untuk tempoh 24 tahun. Apakah perkara yang kekal dan apa yang berubah antara kalian berlima?

Kevin: Bila kami berada di atas pentas dan penonton bersorak kegembiraan, situasinya saling tidak ubah sewaktu zaman BSB sedang hangat dalam industri muzik dahulu. Semangat dan suntikan adrenalin sewaktu membuat persembahan mencurah-curah dan kami seperti berada dalam satu kapsul masa yang statik. Namun apabila kami selesai menyanyi, suasana kembali menjadi kaku dan realiti datang menyedarkan yang kita semua tidak semuda dahulu.

Nick: Vegas telah merapatkan lagi hubungan kami berlima berbanding beberapa tahun lalu kerana kami tinggal berdekatan dan banyak menghabiskan masa di atas pentas. Banyak hal tentang Vegas yang menjadikan hidup sekarang berada dalam keadaan sangat bagus dan kami semua adalah orang yang bertuah diberi peluang tersebut.

Brian: Kami seperti pasangan yang sudah bertahun-tahun berkahwin dan tua bersama-sama.


BSB bakal mengeluarkan sebuah album baharu yang disifatkan lebih santai dan seksi.


Kevin: Saya juga dapat melihat kami semakin matang dengan percambahan usia. Sewaktu muda, kami sentiasa risau sama ada mampu memberikan yang terbaik kepada peminat. Kini, saya rasakan kami semua semakin yakin ketika membuat persembahan dan seperti ada aura malar segar yang mengalir dalam diri masing-masing.

Nick: Apa yang lebih penting, kami selesa dengan siapa diri kami dan bangga bergelar BSB.

Bilakah kali pertama kalian datang ke Vegas? Adakah bersama-sama?

Kevin: Kami pernah datang membuat persembahan di sini ketika konsert jelajah Amerika Syarikat BSB yang pertama pada tahun 1997.

AJ: Saya tidak pernah sampai ke Vegas sebelum menganggotai BSB. Hidup saya pada waktu itu hanya di Florida sahaja.

Howie: Saya rasa ada antara kami mengadakan parti bujang di sini.

Siapa yang boleh berkongsi kisah Ďapa yang berlaku di Vegas, kekal di Vegasí?

AJ: Ketika kami sedang mengadakan Konsert Milenium sekitar lewat tahun 1999 hingga awal 2000, ada satu pertandingan tinju yang berlangsung di sini. Saya sedang berada dalam kasino pada waktu itu dan salah seorang pekerja di sana menyangka saya adalah antara petinju yang bertanding, padahal saya tidak tahu apa-apa langsung tentang dunia tinju. Sehingga sekarang saya tidak tahu siapakah petinju yang dikatakan sebagai saya itu tapi saya yakin dia pasti seorang yang kacak.

Memandangkan sekarang hampir seluruh masa BSB di Vegas malah ada yang sudah berpindah ke sini, adakah kalian sudah berpeluang menerokai kota ini selain pusat hiburannya?

Nick: Saya teringin hendak mendaki Gunung Red Rock jika ada kesempatan.

Kevin: Sewaktu berkunjung ke Vegas semasa bujang, saya pernah ke Tasik Mead dan telah jatuh cinta dengan tempat itu. Sekarang, saya sudah menetap di sini dan mempunyai bot sendiri yang sering diguna untuk membawa keluarga bersiar-siar di sana. Kami membuat aktiviti seperti berkhemah dan ia satu pengalaman yang menakjubkan.

AJ: Saya suka pergi ke sebuah pusat hiburan yang dikenali sebagai The Cosmopolitan. Suasana riuh rendah dengan pengunjung yang tidak pernah surut, ia seperti satu terapi buat saya.

Kevin: Sama seperti AJ, saya gemar mengunjungi restoran Rose Rabbit Lie di The Cosmopolitan. Mereka menghidangkan makanan terbaik pernah saya rasa sepanjang di Vegas.

Brian: Saya suka menonton teater di sini. Baru-baru ini saya berpeluang menonton pementasan Donny & Marie yang merupakan tayangan nombor satu di Vegas sejak tiga tahun berturut-turut.

Howie: Kehidupan pada waktu malam di Vegas sangat menyeronokkan. Saya banyak menghabiskan masa di Hotel Caesars Palace dan berkesempatan berjumpa dengan ramai deejay kelab malam yang sangat berbakat.

Akhir sekali, apa yang boleh diharapkan oleh peminat menerusi album terbaharu BSB?

AJ: Pastinya kami tidak akan lari daripada identiti BSB yang asal cuma ia sedikit berbeza berbanding sewaktu zaman semua anggota masih muda serta bujang. Buat masa sekarang, kami baru sahaja menandatangani perjanjian album dengan syarikat label RCA dan bertungkus lumus memastikan ia satu hasil karya yang bagus. Album baharu BSB akan memperdengarkan muzik yang lebih santai dan seksi.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47