VARIA

Globalisasi pertanian bandar

Globalisasi pertanian bandar

JEPUN telah membangunkan teknologi untuk pertanian bandar berikutan ruang dan kapasiti tanah yang terhad di negara itu.


PERTANIAN memainkan peranan utama dalam perkembangan tamadun manusia, malah majoriti penduduk di dunia juga melaksanakan kerja-kerja berkaitan pertanian dengan pelbagai tujuan.

Pembangunan teknik pertanian secara tidak langsung telah meningkatkan daya pengeluaran pertanian bermula daripada pertanian berskala kecil sehingga besar-besaran.

Pertanian bandar adalah keupayaan penduduk bandar untuk menanam tanaman dan memelihara binatang ternakan membolehkan mereka meninggalkan gaya hidup di kawasan bandar.

Gaya hidup ini bukanlah asing di negara-negara maju di Eropah dan Asia seperti Jepun dan Taiwan. Di Jepun, sektor pertaniannya telah lama beralih kepada teknologi pertanian bandar disebabkan kawasan tanah yang terhad.

Mengaplikasikan sistem moden dan canggih, ia turut mempunyai kilang tanaman dengan mengguna pakai kaedah penanaman vertikal.

Di Tokyo, Mirai Corporation mampu menghasilkan 10,000 salad sehari untuk pasaran domestik dan juga eksport.

Sementara itu, kepadatan penduduk dan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan kebanyakan penduduk miskin di bandar Cebu, Filipina turut melaksanakan pertanian bandar berhampiran penempatan mereka.

Bagaimanapun, penduduknya hanya bergantung pada kepakaran dan kemahiran sendiri kerana tidak berkemampuan untuk mengaplikasikan teknologi sedia ada yang sangat mahal.

Disebabkan itu, mereka menggunakan apa sahaja barangan terpakai untuk menjayakannya demi menjana pendapatan dan meneruskan kelangsungan hidup.

Tidak hairanlah, hasil pertanian tidak begitu meluas dan terhad untuk pasaran tempatan sahaja. Biarpun begitu, kaedah yang dijalankan agak praktikal kerana menggunakan kawasan lapang yang terhad tetapi dapat memberi hasil yang tinggi.

Di sesetengah negara, industri pertanian di kawasan bandar yang dilaksanakan mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan.

Misalnya di Taiwan, peruntukan undang-undang mewajibkan penduduk sekitar perlu membangunkan tanah lapang terbiar dengan aktiviti pertanian.

Kesedaran tentang keselamatan dan kebersihan makanan juga mendorong sebuah restoran di Manhattan, New York, Amerika Syarikat membina kebun sayur di atas bumbung restorannya.

Hasil daripada kebun tersebut bagi kegunaan restoran. Para pekerja yang mengusahakan kebun tersebut mempraktikkan amalan pertanian secara organik.

Biarpun industri kawasan pertanian di negara maju lebih 10 tahun ke hadapan, namun aktiviti pertanian bandar turut berkembang di negara membangun seperti di Malaysia.


DI SESETENGAH negara seperti di Taiwan, perlaksanaan konsep pertanian bandar mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan.


Sambutan

Tidak ramai mengetahui, program pertanian bandar yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian di negara ini mendapat sambutan sangat memberangsangkan.

Berdasarkan statistik Jabatan dari tahun 2014 hingga Jun lalu, program itu telah disertai seramai 173,611 peserta.

Hasil pertanian bandar di negara ini tertumpu kepada keperluan isi rumah, namun bagi sesetengah kebun bandar seperti di Shah Alam, Selangor; Batu Pahat, Johor; Labuan dan beberapa bandar lain hasil pertanian sudah dijual di pasaran serta keuntungan yang diperoleh digunakan untuk membeli input pertanian.

Kebun bandar di Seksyen 20, Shah Alam misalnya, mempraktikkan kaedah penanaman menggunakan bahan terpakai. Bagaimanapun, disebabkan kawasan tanah lapang terhad, penanaman secara bertingkat, fertigasi dan berkelompok telah diperkenalkan.

Jabatan Pertanian memastikan kejayaan program ini dari semasa ke semasa dengan beberapa pendekatan seperti memberi khidmat nasihat secara berterusan, mengadakan pameran dan demonstrasi di kawasan-kawasan bandar, kursus kepada penduduk bandar secara berkala, pemantauan oleh pegawai pertanian secara berterusan serta membuat promosi di media cetak dan elektronik.

Bermula dengan Rancangan Buku Hijau sebelum ditukar kepada Kempen Bumi Hijau, kini program itu telah dijenamakan semula dengan Program Pertanian Bandar, membuktikan Jabatan Pertanian melalui Bahagian Pertanian Bandar sangat komited bagi menjadikan pertanian bandar suatu realiti.

Semoga pertanian bandar akan dijadikan contoh oleh masyarakat di luar sana sebagai pertanian bandar di negara maju.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 62