RENCANA UTAMA

Dilema pengguna basikal di Kuala Lumpur

Dilema pengguna basikal di Kuala Lumpur


Penunggang basikal terpaksa berhadapan dengan risiko kemalangan disebabkan terpaksa berkongsi laluan dengan kenderaan lain. – Gambar hiasan


Di jalan-jalan utama, memang agak jarang untuk kita melihat orang berbasikal, terutamanya pada hari bekerja, namun berbeza keadaannya di Kampung Pandan dan Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Di dua kawasan kediaman yang terletak tidak jauh dari pusat bandar ini, ramai yang berbasikal termasuk pelajar sekolah, anak muda, kaum ibu dan warga emas, terutamanya pada waktu pagi.

Mereka berbasikal untuk urusan masing-masing meskipun terpaksa berdepan dengan keadaan jalan raya yang sibuk. Apabila jalan sesak, adakalanya mereka menggunakan laluan yang lebih jauh.

Situasi sukar itu bukan suatu yang asing lagi bagi pengguna basikal di Kuala Lumpur. Meskipun terdedah kepada risiko kemalangan, mereka harus berani menerima sebarang kemungkinan ketika berkongsi jalan raya bersama kenderaan yang lebih besar dan laju.

Konflik berterusan yang dihadapi pengguna basikal di Kuala Lumpur adalah disebabkan kurangnya lorong khas untuk penunggang basikal.

Seorang penunggang basikal, Wong Hau Young yang menggunakan kenderaan itu sebagai pengangkutan sejak tiga tahun lalu melihat isu tersebut seperti tiada kesudahan, malah semakin rumit.

“Boleh dikatakan kebanyakan jalan yang ada di sekitar Kuala Lumpur tidak mesra pengguna basikal seperti saya.

“Sebelum ini, walaupun tidak ada lorong basikal disediakan tetapi masih ada ruang yang sesuai untuk berbasikal. Kini, banyak jalan yang amat bahaya bagi pengguna basikal,” katanya yang berusia lingkungan 30-an kepada Bernama baru-baru ini.

Memecut

Hau Young berkata, antara jalan yang tidak lagi sesuai dilalui pengguna basikal adalah di Jalan Jelatek ke Ampang. Kerja-kerja pelebaran jalan yang sedang dilakukan telah mengubah bentuk laluan trafik dan boleh mengundang bahaya kepada kelompok ini.

“Keadaan ini menyebabkan pengguna basikal bimbang keselamatan mereka dan terpaksa berfikir beribu-ribu kali untuk menggunakan pengangkutan itu. Keadaan ini akan mengurangkan jumlah pengguna basikal di Kuala Lumpur,” katanya.

Kecenderungan sesetengah pemandu kereta untuk memecut di jalan yang dibesarkan turut meresahkan penunggang basikal.

Menurut Hau Young, ada beberapa rakannya di sekitar Keramat dan Wangsa Maju menggunakan basikal sebagai pengangkutan sebelum wujudnya Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke).

Namun katanya, selepas adanya lebuh raya tersebut, mereka tidak lagi menggunakan basikal disebabkan faktor keselamatan dan keadaan jalan yang tidak lagi sesuai untuk mereka.

Hau Young yang menjalankan perniagaan sebagai pembekal barangan sukan menggunakan basikal setiap hari terutama untuk menghantar pesanan pelanggan.

Basikal yang digunakannya hanyalah basikal biasa yang dipanggilnya ‘basikal karat’ yang dibeli pada harga RM368.

Dia akan mengayuh basikal sekitar pukul 9 pagi dari rumahnya di Desa Pandan ke Pejabat Pos di Taman Shamelin Perkasa, Cheras sebelum menyelesaikan urusan kerja lain di pusat bandar.

“Walaupun nampak perlahan dengan kelajuan lebih kurang 20 kilometer sejam, tak mustahil kami yang boleh sampai dulu daripada mereka yang menggunakan kereta,” katanya sambil tersenyum.

Dalam pada itu, menurut Hau Yong, bukan semua pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan beroda empat tidak bertimbang rasa kepada pengguna basikal.

“Ada pemandu yang baik hati apabila memberi ruang untuk dilalui pengguna basikal dengan memperlahankan keretanya.

“Contohnya di Kampung Pandan dan Desa Pandan, pemandu-pemandu di sana sudah biasa dengan penunggang basikal. Mereka lebih bertimbang rasa,” katanya.

Beliau juga berharap Malaysia akan mencontohi negara lain di dunia yang mempopularkan basikal sebagai salah satu bentuk pengangkutan berkesan bukan sahaja dari aspek kesihatan tetapi juga sebagai usaha mengurangkan pencemaran.


Terdapat juga kaum wanita yang menggunakan basikal untuk menjalankan rutin harian mereka. – Gambar hiasan


Konflik

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Norhazliza Abd. Halim baru-baru ini turut berpeluang menunggang basikal bersama kumpulan Bike With Elena di beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur.

Selain merasai pengalaman berbasikal di kawasan bandar, ia juga secara tidak langsung memberi peluang kepadanya untuk menyelami masalah yang dilalui pengguna basikal setiap hari.

Kata Norhazliza, berdasarkan pemerhatiannya di laluan tertentu, memang wujud konflik antara pengguna kereta, motosikal, basikal serta pejalan kaki.

Katanya, sesetengah jalan yang dibina tidak bersesuaian untuk pengguna basikal dan pejalan kaki kerana kereta dan motosikal akan bergerak laju dan ini boleh menjejaskan keselamatan pengguna basikal.

“Apabila terdapat konflik, penunggang basikal terpaksa mencari jalan alternatif kerana tidak ada jalan khusus untuk mereka. Mereka dilihat seperti tidak ada kepentingan,” katanya.

Menurutnya, hal-hal ini harus diambil serius sekiranya mahu membudayakan kembali penggunaan basikal sebagai pengangkutan seperti yang dipraktikkan di banyak bandar seperti Seattle, Amerika Syarikat dan Amsterdam, Belanda) selain negara seperti China dan Sweden.

Tambahnya, penyediaan basikal sewa selain tempat parkir yang sesuai antara perkara yang boleh dipertingkat untuk menggalakkan penggunaan basikal. – Bernama

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47