DUNIA

Negeri Florida hadapi Taufan Irma

Negeri Florida hadapi Taufan Irma


ORANG RAMAI berlindung daripada Taufan Irma di Arena Germain, Florida kelmarin.- REUTERS


MIAMI – Taufan Irma mendapat semula kekuatan ketika ia mula membadai Flo­rida semalam, mengancam hampir keseluruhan negeri di tenggara Amerika Syarikat (AS) itu selepas mencetuskan kemusnahan besar di rantau Caribbean.

Irma yang membawa angin selaju 210 kilometer sejam, meningkat kepada taufan Kategori Empat ketika menghampiri kepulauan dikenali sebagai Florida Keys, kata Pusat Taufan Kebangsaan.

Berpuluh-puluh ribu warga Florida berlindung di pusat-pusat perlindungan sementara menunggu taufan gergasi itu melanda.

Lebih 6.3 juta atau hampir satu pertiga penduduk Florida telah diarahkan berpindah.

Penduduk yang masih tinggal di kediaman mereka sudah terlambat untuk me­larikan diri daripada bencana Irma, taufan yang dijang­ka paling buruk melanda negeri Florida.

“Sekiranya anda diarahkan untuk berpindah di mana-mana sahaja di Florida, anda perlu beredar sekarang. Bukan malam ini. Bukan sejam lagi tetapi sekarang,” kata Gabenor Florida, Rick Scott beberapa jam sebelum angin kencang mula membadai Florida Keys.

Syarikat pembekal elektrik, Florida Power and Light berkata, lebih 170,000 kediaman dan premis perniagaan di negeri itu terputus bekalan elektrik ketika Taufan Irma berada 115 kilometer dari Key West.

Pusat ribut itu dijangka membadai kawasan Lower Florida Keys sebelum bergerak di sepanjang pantai barat negeri itu di mana ia mengakibatkan paras laut meningkat setinggi 4.5 meter, cukup untuk menenggelamkan sebuah rumah.

Di Taman Negeri Collier Utara yang menjadi pusat perlindungan taufan di luar bandar Naples, penghuninya berdoa agar mereka dan orang tersayang terselamat daripada Taufan Irma.

“Apa yang kami mahu adalah untuk kekal selamat. Kami sedar kami terpaksa bermula semula selepas taufan ini,” kata seorang wanita, Viviana Sierra.

Sekurang-kurangnya 25 orang terkorban sejak Irma melanda rantau Caribbean awal minggu lalu. – AFP

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31