RENCANA UTAMA

Mengenang 103 tahun letusan White Island

Mengenang 103 tahun letusan White Island


GAMBAR fail menunjukkan salah satu kawah gunung berapi White Island.


KUCING itu merayau-rayau sambil mengiau kelaparan. Langkahan kakinya cukup lemah manakala wajahnya pula kelihatan sayu serta tidak bermaya.

Begitulah keadaan kucing dengan nama Peter the Great itu semasa ditemui oleh pasukan penyelamat. Haiwan tersebut merupakan satu-satunya nyawa yang terselamat dalam tragedi letusan White Island pada 10 September 1914.

Dalam kejadian itu, 10 orang pelombong sulfur The Auckland Sulphur Company maut selepas dinding kawah gunung berapi White Island di Bay of Plenty yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Whakatane, New Zealand meletus.

Dilaporkan, empat ekor kucing lain milik syarikat perlombongan itu turut mati dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 2.30 pagi itu. Mayat kesemua mangsa tidak pernah dijumpai dan dipercayai ditimbus oleh lahar gunung berapi, selain dihanyutkan ke laut.

Menurut laporan New Zealand Herald, kejadian letusan gunung berapi itu tercetus selepas sebahagian besar dinding kawah gunung berapi runtuh sekali gus memuntahkan lava panas ke tanah rata.

“Ia bukan sahaja meragut nyawa pekerja lombong malah turut memusnahkan kuarters yang menempatkan tempat tinggal sementara pekerja, dermaga dan mesin melombong.

“Hanya selepas kira-kira seminggu baru kejadian itu disedari apabila beberapa pekerja dari tanah besar Whakatane perasan ketiadaan orang semasa menghantar bekalan ke pulau tersebut,” kata laporan itu.

Cerita salah seorang penyelamat, Albert Mokomoko, kerja-kerja menyelamat sukar dijalankan kerana keadaan sekeliling yang sangat panas.

“Kami cuba mencari mangsa dengan mengalih batu dan lumpur di tapak kuarters tetapi tidak menjumpai apa-apa. Barang yang ditemui hanyalah but pekerja. Ketika itu jugalah kami menemui Peter The Great merayau sendirian dalam keadaan tidak berdaya dan segera menyelamatkannya,” kata Mokomoko seperti dipetik New Zealand Geographic.


SEBAHAGIAN pelombong sulfur bergambar di hadapan kuarters mereka di White Island pada tahun 1928.


Lokasi berbahaya

Empat minggu selepas kejadian, serpihan yang disaluti sulfur termasuk perabot, tempat tidur dan bangkai bot ditemui terdampar di pesisiran pantai Tauranga, kira-kira 91 kilometer ke timur laut White Island.

Pulau gunung berapi itu sememangnya lokasi berbahaya dan mencabar untuk bekerja. Pada Mei 1914, tiga bulan sebelum kejadian berkenaan, sebuah retort besar yang digunakan untuk mengekstrak sulfur telah pecah dan membunuh seorang pekerja. Kemalangan itu disebabkan oleh kakisan berpunca daripada asid yang dibebaskan bijih belerang semasa pemprosesan dan loji itu terpaksa ditutup sementara pengubahsuaian dibuat.

Turut dikenali dengan nama Te Puia o Whakaari yang bermaksud Gunung Berapi Dramatik dalam kalangan masyarakat Maori, ia menjadi lokasi perlombongan sulfur bagi pembuatan asid sulfurik, serbuk belerang dan baja superfosfat sekitar tahun 1860-an.

Aktiviti perlombongan di situ pernah terganggu oleh letusan gunung berapi Tarawera pada tahun 1886 sebelum tragedi gunung berapi White Island pada 1914.

Di sebalik kejadian malang itu, aktiviti perlombongan terus dijalankan hingga tahun 1923. Ia bagaimanapun mula perlahan sebelum dihentikan sepenuhnya pada tahun 1930-an berikutan kandungan mineral yang rendah, selain dilihat tidak lagi menguntungkan.

Sebagai rekod, sebanyak 11,000 tan sulfur diperoleh daripada aktiviti perlombongan di White Island sejak mula beroperasi pada 1861.

Pada tahun 1936, pulau itu dibeli oleh George R. Buttle. Beberapa koleksi spesimen sulfur asli di Muzium Auckland disumbangkan oleh Buttle pada tahun 1947. Pada tahun 1953, pulau itu diisytiharkan sebagai rizab pemandangan peribadi dan masih dimiliki oleh keluarga Buttle.


BEBERAPA mesin melombong sulfur yang ditinggalkan di White Island selepas aktiviti perlombongan dihentikan sekitar tahun 1930-an.


Aktiviti pelancongan

Memandangkan aktiviti gunung berapi White Island tidak menentu selain rekod Bay of Plenty sebagai kawasan gunung berapi paling aktif di New Zealand, pakar gunung berapi di GNS Science yang berpangkalan di Wairakei tidak pernah berhenti mengawasi aktivitinya.

Salah seorang saintis, Brad Scott berkata, aktiviti White Island buat masa ini berada di tahap 1 yang menunjukkan terdapat aktiviti berterusan namun tiada tanda-tanda letusan.

“Ia berada di tahap 1 sejak kali terakhir meletus pada Ogos 2013 dan bulan sama tahun sebelumnya,” kata Scott.

Hari ini, selepas 103 tahun sejak kejadian malang itu, White Islands ditutup daripada sebarang aktiviti perlombongan. Ia sebaliknya kini meraih reputasi sebagai antara destinasi pelancongan menarik di New Zealand.

Scott memberitahu, pelbagai syarikat pelancongan menawarkan pakej persiaran menerusi bot atau helikopter untuk melihat White Island dengan lebih dekat.

“Sebarang peningkatan aktiviti gunung berapi ke tahap 2 atau 3 yang boleh mencetuskan letusan kecil boleh menjejaskan aktiviti pelancongan.

“Kami sentiasa berwaspada kerana ia tidak boleh dijangka. Perubahan aktiviti kepada letusan mampu berlaku dalam masa beberapa saat sahaja tanpa sebarang amaran,” katanya.

Sehingga kini, White Island berjaya menarik antara 10,000 hingga 15,000 pelancong tempatan dan luar negara setahun. Ia juga menjadi ‘rumah’ bagi koloni burung gannet yang populasinya terus berkembang.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47