KESIHATAN

Wanita muntah lebih 45 kali sehari

Wanita muntah lebih 45 kali sehari


IMBASAN kandungan perlu dilakukan bagi mengetahui kesihatan bayi.


WAJAH Victoria Hopkin, 33, kelihatan pucat dan keletihan sebaik kakinya melangkah keluar dari tandas.

Sejak pagi tadi, dia telah berulang-alik ke tandas sebanyak 42 kali.

Semua itu terpaksa dihadapinya sejak dia disahkan hamil anak ketiga.

Jika wanita-wanita lain hanya mengalami simptom kehamilan normal seperti keletihan dan muntah-muntah biasa pada trimester pertama, namun perkara sebaliknya pula berlaku terhadap Hopkin.

Ini kerana kehamilan tersebut menyebabkan dia terpaksa menjadikan tandas sebagai teman karibnya.

Selain mengalami pening kepala yang luar biasa, Hopkin juga akan memuntahkan segala makanan yang terdapat di dalam perutnya.

Lebih malang apabila wanita ini terpaksa bergegas ke tandas lebih 50 kali setiap hari.

Susulan daripada tahap kesihatannya itu, doktor mengesahkan Hopkin menghidap penyakit Hiperemesis Gravidrum (HG).

Bawa maut

HG merupakan sejenis penyakit yang berlaku terhadap wanita hamil dan menyebabkan muntah-muntah serta kelesuan berpanjangan.

Walaupun penyakit tersebut tidak kronik, namun HG memerlukan rawatan lanjut di hospital kerana ia boleh mengakibatkan dehidrasi yang membahayakan ibu dan anak, selain membawa maut.

Menurut Hopkin, simptom tersebut dialaminya sejak dia disahkan hamil kira-kira enam bulan lalu.

“Ini merupakan kali pertama saya mengalami situasi muntah-muntah yang berpanjangan. Saya mula menghidap HG ketika kandungan berusia tujuh minggu.

“Disebabkan tidak tahan dengan situasi ini, saya pernah terfikir untuk menggugurkan kandungan.

“Keadaan yang dialami saya ini sama dengan apa yang dihidapi oleh Kate Middleton, iaitu isteri kepada pewaris kedua takhta England, Putera William,” jelasnya.

Tahap kesihatan yang teruk sepanjang mengandungkan bayi lelakinya enam bulan lalu itu menyebabkan dia terpaksa menutup perniagaan yang dijalankannya.

“HG bukanlah satu keadaan yang menyebabkan wanita mengandung mengalami simptom muntah-muntah pada waktu pagi sahaja.

“Sebaliknya, ia berlaku sepanjang hari sehingga menyebabkan aktiviti harian terganggu,” jelasnya.

Bimbang tahap kesihatannya itu bakal menjejaskan bayi dalam kandungan, dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Pinderfields, England untuk rawatan lanjut.

Doktor kemudian menahannya di wad akibat masalah dehidrasi yang teruk.

Badan Hopkins dimasukkan enam liter cecair melalui tiub vena selain diberi suntikan ubat antipenyakit.

Jelas Hopkin lagi, sepanjang enam bulan mengandungkan anak ketiganya itu juga, dia telah dimasukkan ke hospital lebih lima kali akibat masalah dehidrasi.


HOPKIN (kanan) menderita penyakit hyperemesis gravidarum ketika hamil anak ketiga.


Kecacatan

“Sebaik usia kandungan memasuki enam bulan, doktor memberikan saya sejenis tablet kemoterapi iaitu Ondansetron yang biasanya digunakan untuk penyakit kanser.

“Walaupun tablet ini gagal menghilangkan mual-mual dan muntah-muntah dialami, namun sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kesakitan.

“Malah, sejak mengamalkan tablet tersebut, kekerapan saya untuk muntah setiap hari adalah sebanyak 10 kali berbanding lebih 45 kali sebelum ini,” jelasnya.

Jelah Hopkins lagi, dia berharap agar penyakit yang dialaminya itu segera hilang sebaik dia melahirkan anaknya awal tahun hadapan.

Berdasarkan kenyataan daripada pakar perbidanan dan sakit puan hospital berkenaan, HG merupakan penyakit kehamilan yang biasa dialami oleh tujuh daripada 10 wanita hamil di dunia.

Lazimnya, mereka akan mengalami simptom loya atau muntah yang teruk. Lebih malang apabila individu tersebut menghidap kedua-dua simptom.

Bagi kebanyakan wanita, simptom HG akan bertambah baik atau hilang sepenuhnya sekitar minggu ke-14 kehamilan.

Biarpun begitu, dalam sesetengah kes, simptom muntah dan loya yang teruk boleh berlanjutan sehingga bayi selamat dilahirkan.

Kesan daripada muntah yang berpanjangan boleh menyebabkan bayi berisiko mengalami kecacatan akibat kekurangan cecair amniotik yang berfungsi untuk melindungi bayi dalam kandungan.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31