VARIA

Nasi kerabu Mok Su pilihan ramai

Nasi kerabu Mok Su pilihan ramai

ORANG ramai berpusu-pusu mengunjungi warung itu yang menawarkan aneka sajian Pantai Timur.


KEENAKAN makanan di Warung Nasi Kerabu Mok Su di Kampung Abu Bakar Baginda, Sungai Merab Hulu, Kajang, Selangor yang terletak di pintu masuk pertama melalui Presint 14, Putrajaya memang sudah dikenali oleh penduduk setempat.

Kedai yang terletak berhadapan dengan Institut Penilaian Negara itu sangat popular dengan nasi kerabunya yang dimakan bersama dengan daging lembu, kambing dan ayam bakar.

Selain itu, warung sarapan pagi itu turut menjual aneka nasi berlauk ikan, gulai ayam, nasi dagang, nasi lemak, kerutuk itik dan ayam kampung serta laksam termasuklah kuih-muih tradisional yang lazimnya menjadi makanan kegemaran bagi masyarakat di Pantai Timur.

Menurut pemilik warung tersebut, Mohd. Hapiz Che Hassan, 30, menu utama iaitu nasi kerabu daging kambing bakar adalah resipi yang dipelajari daripada ibunya yang juga merupakan peniaga makanan di Kok Lanas, Kelantan.

Jelas anak keempat daripada enam adik-beradik itu lagi, harga untuk nasi kerabu kambing bakar ialah RM12 sepinggan, nasi kerabu daging RM7.50 dan nasi kerabu ayam RM7.

“Semasa saya berusia 10 tahun, emak berniaga nasi kerabu dan kuih akok di Kok Lanas. Selepas enam tahun berniaga, emak sakit dan memberi peluang kepada saya menyambung perniagaannya.

“Saya mula dengan menjual kuih akok di Bazar Ramadan Ketereh kemudian mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki dan kini menetap di Putrajaya,” katanya yang berasal dari Kampung Kubang Kiat, Ketereh, Kota Bharu.


Nasi kerabu daging kambing bakar yang istimewa.


Ditanya tentang keistimewaan nasi kerabunya, Mohd. Hapiz berkata, dia menggunakan rempah-rempah tersendiri yang merupakan turun-temurun keluarganya.

“Kebanyakan pelanggan gemarkan nasi kerabu di kedai ini kerana dagingnya diperap dengan ramuan istimewa yang dibakar sempurna,” katanya.

Mengenai menu kerutuk pula, Mohd. Hapiz berkata, ia merupakan sejenis gulai pekat yang juga menggunakan bahan-bahan dan rempah khas dari Kelantan.

Jelas Mohd. Hapiz, untuk berjaya seseorang perlu berusaha lebih gigih dan kuat menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berhijrah supaya dapat membantu menambahkan pendapatan keluarga.

“Saya kini sedang merancang untuk membuka cawangan Warung Nasi Kerabu Mok Su di setiap negeri pada tahun depan,” ujarnya yang kini mempunyai 10 orang pekerja di warung tersebut.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 31