PESONA

Medan pertemuan peminat animasi dan hobi tanah air

Medan pertemuan peminat animasi dan hobi tanah air


KOMUNITI daripada Hijab Cosplay Gallery turut memeriahkan Anifest 2017 yang diadakan di pusat beli-belah The Summit USJ, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.


TANGAN kanan Norfaizah Abdul Rahman, 36, kemas memegang pen marker. Tanpa teragak-agak guru lukisan dari Galeri Seni Muar, Johor itu mula menarikan mata penanya dengan melukis mata, diikuti hidung, mulut dan akhirnya membentuk imej seorang kanak-kanak lelaki.

Lukisan komik secara spontan yang disiapkan dalam tempoh kurang dari 10 saat itu kemudian ditanda tangan lalu dihulurkan kepada penulis.

“Watak kartun ini belum mempunyai nama. Berikan ia apa sahaja gelaran untuknya mengikut kreativiti masing-masing,” tuturnya kepada Kosmo! ketika ditemui di pameran animasi, komik dan hobi, Anifest 2017 anjuran Persatuan Animasi Malaysia di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Galeri Seni Muar yang ditubuhkan Norfaizah pada tahun 2013 bersama kakaknya, Sabariah Abdul Rahman, 38, bertujuan memupuk kecintaan masyarakat terhadap seni yang bersifat universal dan mampu bertutur dalam bahasa tersendiri.

“Galeri kami turut aktif menganjurkan bengkel seni lukis dan ilustrator. Ia merupakan suatu kemahiran yang boleh dipelajari asalkan seseorang itu berminat dan tekun melakukannya,” ujar Norfaizah.

Bergaya


ANIFEST 2017 kali ini bertemakan #kitapatriotik bagi menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara.


Lain pula ceritanya dengan Muhammad Hilmi Md. Asri dari Projek Komik Travelog yang berhasrat menjelajah ke seluruh negara untuk menggambarkan identiti ikonik setiap negeri menerusi medium grafik.

“Sejak projek ini dijalankan pada tahun 2015, kami telah menyiapkan lima buah komik antaranya beridentitikan Perak, Pulau Pinang, Pahang selain negara jiran Singapura,” katanya.

Anifest 2017 yang berlangsung dari 25 hingga 27 Ogos lalu turut diwarnai dengan kehadiran anak-anak muda yang tampil mengenakan cosplay. Seorang daripadanya ialah Nur Hidayah Wan Abdul Hadi, 20.

“Saya gemar memilih watak animasi yang tampak feminin dan comel seperti karakter Mabel daripada Gravity Falls, Ann Takamaki (Persona 5) dan Haruhi Suzumiya (The Melancholy of Haruhi Suzumiya).

“Ada yang dijahit sendiri dan yang dibeli secara atas talian. Ia satu perasaan yang tidak terungkap jika saya dapat bergaya mirip dengan karakter animasi kegemaran,” ujar gadis dari Bangi, Selangor itu.

Sementara itu, pengasas Malaysia Microneans Crawlers, Rahim Hamid, 43, berkata, Anifest 2017 dapat menjadi medan pertemuan mereka yang berkongsi minat dan hobi yang sama.

“Microneans Crawlers adalah komuniti yang merupakan pengumpul dan pemain kenderaan miniatur yang dipanggil mini crawler. Permainan itu dikawal sepenuhnya dengan alat kawalan jauh. Treknya diperbuat daripada plaster, pasir, batu dan sebagainya,” katanya.


Koleksi komik baharu dan lama turut dijual pada harga istimewa.


Pengarah Promosi Anifest 2017, Shamsaimun Ezil menjelaskan, penganjuran acara yang memasuki tahun ketiga itu bertujuan mempromosi naskhah dan karya animasi serta komik tanah air.

Tambahnya, menggunakan tema #kitapatriotik, ia diharapkan dapat mengangkat arena animasi Malaysia ke pasaran global sekali gus memperkasa industri kreatif negara serta merapatkan hubungan antara rakan-rakan industri dan komuniti terlibat.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 16