HORIZON

Belayar sambil melihat keindahan alam

Belayar sambil melihat keindahan alam



Sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, Melaka, wanita berusia 31 tahun itu sedar, segelintir pelajar kurang memahami setiap pembelajaran di dalam kelas.

Ditugaskan mengajar subjek Geografi tingkatan dua, Siti Zulaika Salleh terpaksa memikirkan kaedah terbaik untuk meningkatkan pemahaman para pelajarnya mengenai subjek itu.

Salah satu tajuk yang kurang difahami dengan baik oleh pelajar ialah hutan paya bakau dan aktiviti ekonomi di kawasan itu.

Selepas puas berfikir, guru berasal dari Bukit Katil itu mendapat idea untuk melakukan aktiviti di luar kelas bersama para pelajarnya.

Justeru, Siti Zulaika mengambil keputusan membawa mereka melawat hutan paya bakau di sekitar Sungai Linggi dengan menaiki perkhidmatan bot pelancong.

Kebetulan, sekolah itu hanya dipisahkan dengan jarak 30 kilometer dari jeti perkhidmatan Cruise Sungai Linggi yang terletak di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah.

“Sudah tiga kali saya bawa pelajar menaiki bot di Sungai Linggi. Mereka (pelajar) sangat teruja kerana dapat merasai pengalaman menaiki bot ini.

“Di sini, para pelajar dapat melihat sendiri hutan paya bakau dan fauna yang mendiami kawasan ini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Cruise Sungai Linggi menawarkan peluang kepada pelancong menyusuri Sungai Linggi sejauh 14 kilometer dari Jeti Kampung Paya Lebar ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Linggi dengan menggunakan bot khas.

Menurut Siti Zulaika, sepanjang pelayaran, guru dan para pelajar diberikan penerangan lengkap mengenai hutan paya bakau serta Sungai Linggi oleh jurupandu bot.

Jelasnya, para pelajar juga boleh bertanyakan soalan secara terus kepada jurupandu bot bagi meningkat pemahaman mereka.

Perkhidmatan bot pelancong yang beroperasi sejak tahun 2015 itu diuruskan sepenuhnya oleh pihak Koperasi Kampung Paya Lebar Berhad.


JIKA bernasib baik, pelancong berpeluang melihat kelibat buaya.


Pengerusinya, Yaaman Yusoff berkata, perkhidmatan bot pelancong itu diwujudkan selepas menyedari potensi ekopelancongan di sekitar Sungai Linggi.

Jelasnya, menerusi geran yang diberikan oleh pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), pihaknya telah membeli bot untuk dijadikan bot pelancong.

“Pada tahun 2014, kampung ini telah dipilih sebagai Desa Lestari. Daripada itu, kami terpanggil untuk mewujudkan perkhidmatan bot bagi membolehkan pelancong melihat keindahan di sini.

“Alhamdulillah, usaha kami ini mendapat sambutan masyarakat dan sokongan daripada pihak KKLW serta agensi pelancongan negeri Melaka,” katanya.

Jenis bot

Menurut Yaaman, buat masa ini, pihaknya mempunyai lapan buah bot yang telah diubah suai untuk keselesaan para pelancong.

Katanya, pihaknya menawarkan tiga jenis bot iaitu bersaiz besar yang mampu memuatkan seramai 40 orang, sederhana (20 orang) dan kecil (lapan orang).

“Setiap minggu dianggarkan hampir 200 pelancong menaiki perkhidmatan Cruise Sungai Linggi. Pelancong lebih ramai pada hari minggu dan cuti umum.

“Biasanya, para pelancong datang dalam kumpulan. Jadi, kami terpaksa menyediakan tiga jenis bot untuk disesuaikan dengan kehendak mereka.

“Kami juga menyediakan jaket keselamatan untuk kemudahan pelawat ketika berada di atas bot” katanya.

Sepanjang pelayaran selama hampir dua jam, para pelancong akan dihidangkan dengan kepelbagaian flora di Sungai Linggi seperti pokok bakau, pokok nipah dan pokok berembang.

Sungai yang menjadi sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka itu turut didiami oleh fauna seperti buaya, ular, kera, belacak serta ketam.

Para pelancong juga dapat melihat aktiviti para nelayan menjala ikan dan udang galah.


PELANCONG berpeluang menikmati keenakan lokan bakar di Taman Lokan.


Pelancong yang menaiki bot pada waktu malam berpeluang melihat keindahan cahaya kelip-kelip yang menerangi kawasan pesisir sungai.

Menurut Yaaman, pelancong turut dibawa ke empat destinasi persinggahan iaitu Taman Lokan, sabak arang, Kota Simpang dan Pusat RTC Kuala Linggi.

Sejarah

“Sabak arang menawarkan peluang kepada pelancong melihat proses pembuatan arang secara tradisional. Para pelancong dibawa RTC Kuala Linggi untuk mengunjungi jeti nelayan Kuala Linggi.

“Kepada peminat sejarah, Kota Simpang pastinya menjadi destinasi tumpuan. Ia menyimpan sisa-sisa konkrit bangunan Belanda sewaktu zaman penjajah di Melaka,” katanya.

Yaaman memaklumkan, salah satu destinasi paling menarik dan interaktif adalah melihat tempat penternakan lokan di Taman Lokan.

Katanya, taman itu memberi peluang kepada pelancong mempelajari teknik penternakan lokan. Pelancong juga diberi peluang mencari dan merasai keenakan lokan.

Perkara itu turut diakui oleh salah seorang pelancong, Sabani Abu, 46, yang teruja dapat merasai keenakan lokan bakar buat pertama kali dalam hidupnya.

Lelaki berasal dari Masjid Tanah itu memberitahu, peluang menaiki Cruise Sungai Linggi membolehkannya lihat proses penternakan dan mencari lokan.

“Pengalaman paling menarik tentang bot ini ialah saya dapat menikmati lokan bakar. Ia dibakar terus selepas proses mengutip. Jadi, rasanya sangat enak,” katanya.

Pengurus di kem Program Latihan Khidmat Negara Warisan, Masjid Tanah, Melaka itu menambah, dia berasa sangat berpuas hati dengan perkhidmatan Cruise Sungai Linggi.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 31