PESONA

Kehadiran adiwira ceriakan pesakit kanak-kanak

Kehadiran adiwira ceriakan pesakit kanak-kanak


Fathi (lima dari kanan) dan Farizal (empat dari kanan) bersama wakil FIC dan kakitangan Jabatan Pediatrik PPUKM bergambar kenangan semasa program Superheroes Day Charity Drive baru-baru ini.


SELEPAS makan tengah hari dan mengambil ubat-ubatan seperti yang telah dipreskripsikan oleh doktor, Megat Shah Irfan Mohammad Suratmin, 9, hanya berbaring berbantalkan patung beruang coklat di atas katil wad.

Di sebelah kiri katil pula kelihatan bapanya sedang duduk membaca akhbar.

Lantas, apabila ruang wad tiba-tiba meriah dengan kunjungan wakil Felda Investment Corporation (FIC) yang hadir dengan sumbangan berupa permainan dan alat tulis itu, ia nyata membawa keceriaan kepada dirinya dan hampir 150 orang pesakit di Wad Pediatrik Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur (PPUKM).

Wad pediatrik tersebut meliputi bahagian wad talasemia, onkologi dan hematologi, pembedahan serta perubatan.

Kakitangan FIC yang hadir turut mengambil kesempatan berinteraksi dengan kanak-kanak di wad itu dengan berpakaian adiwira Spiderman dan Captain America.

“Saya sangat seronok dan teruja apabila dikunjungi watak adiwira kegemaran saya, Spiderman secara dekat.

“Walaupun hakikatnya dia hanyalah seorang lelaki biasa yang menyarung kostum adiwira, namun saya tetap tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersamanya dan Captain America,” kata Megat Shah Irfan ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah pesakit cilik yang kini tabah menjalani rawatan leukimia itu, sumbangan alat tulis dan komik yang diterimanya akan digunakan sebaiknya bagi mengisi masa sepanjang berada di hospital.

Lumrah pesakit-pesakit kanak-kanak, walaupun pergerakan kebanyakan mereka agak terbatas ekoran penyakit yang dihidapi, namun itu bukanlah alasan untuk mereka tidak diberikan pengalaman bermain yang selesa.

Tanggungjawab sosial


KANAK-KANAK turut diceriakan dengan kehadiran adiwira Spiderman dan Captain America.


Memahami keperluan menyediakan permainan dan kemudahan terbaik kepada pesakit kanak-kanak ini, FIC terpanggil untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporatnya, Superheroes Day Charity Drive dengan menyumbangkan barang keperluan dan permainan untuk pesakit kanak-kanak.

Sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Presiden, Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan FIC, Fathi Ahmad Shah kepada wakil Ketua Jabatan Pediatrik, Dr. Farizal Nordin.

Pada kunjungan tersebut, FIC telah menyumbangkan tikar permainan untuk diletakkan di dalam bilik permainan kanak-kanak wad pediatrik dan klinik pediatrik bagi menggantikan tikar lama yang telah rosak. Turut disumbangkan barangan permainan baharu dan terpakai.

Para pesakit pula menerima pelbagai barangan lain termasuklah alat tulis, baucar hotel, minyak terapi, komik Upin dan Ipin serta cakera padat.

Fathi berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat meluangkan masa bersama pesakit-pesakit kanak-kanak itu dan menggembirakan mereka.

“Kami percaya mereka terpaksa melalui penjagaan dan rawatan intensif setiap hari.

“Semoga sumbangan tidak seberapa ini dapat menambah keceriaan serta mengurangkan beban yang dihadapi mereka,” ujar Fathi.

Pemberian sumbangan tersebut turut melibatkan FIC Hospitality Management, Felda Wellness Corporation, Felda Trading Sdn. Bhd. dan Les Copaque Production.

Ketua Jururawat Klinik Pediatrik, Azizah Ramlan memberitahu, pihaknya sangat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan.

“Naluri kanak-kanak pastinya gemar bermain. Kita tidak mampu mengawalnya, sebaliknya hanya boleh membimbing.

“Dengan adanya sumbangan tikar permainan yang lebih tebal dan bersifat menyerap hentakan ini, pesakit kanak-kanak akan dapat bermain dengan lebih selesa serta selamat sewaktu menunggu giliran mendapatkan pemeriksaan susulan,” katanya yang berpengalaman menguruskan klinik pediatrik selama hampir 10 tahun.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31