HORIZON

Taman tema animasi pertama di Asia

Taman tema animasi pertama di Asia

MAPS mula dibuka kepada orang ramai pada 26 Jun lalu.


Kegembiraan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu sebaik tiba di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak.

Shareef Rayyan Sabri sangat teruja selepas melihat kelibat maskot BoBoiBoy di ruangan lobi taman tema animasi itu.

Sebagai peminat filem animasi, BoBoiBoy terbitan Animonsta Studios Sdn. Bhd., itu, dia sangat mengenali watak tersebut.

Shareef Rayyan kemudian dipimpin oleh bapanya masuk ke dalam taman tema seluas 21 hektar itu.

Alangkah gembiranya Shareef Rayyan apabila melihat maskot filem animasi The Smurfs sedang beraksi di atas pentas utama lokasi itu.

Itu adalah sebahagian daripada cerita-cerita menarik yang dialami pengunjung yang pernah berkunjung ke MAPS.

Seorang lagi pengunjung, Nurul Azlin Sokaraon, 33, yang datang bersama ahli keluarganya turut teruja dengan keunikan MAPS.

“Ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke sini. Pada pendapat saya, taman tema ini sangat menarik kerana para pengunjung berpeluang untuk bergambar dengan pelbagai watak animasi serta beramah mesra bersama mereka.

“Jika saya yang dewasa ini pun teruja, saya yakin kanak-kanak pasti lebih gembira. Tambahan pula, harga tiket untuk memasuki taman ini juga amat berpatutan dan berdasarkan kemudahan serta perkhidmatan yang diberikan,” kata wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

Tambah Nurul Azlin, para pengunjung juga dapat merasai suasana yang kondusif sambil bersantai bersama ahli keluarga kerana kebanyakan tarikan dan permainan di MAPS itu amat mesra pengguna khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

“Secara jujurnya saya amat berpuas hati dengan taman tema ini, staf yang bekerja juga sangat mesra dan baik. Malah, mereka turut membantu jika ada para pengunjung yang bertanyakan arah,” tutur ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Mula dibuka kepada umum pada 26 Jun lalu, MAPS yang dibina dengan kos RM520 juta itu memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat secara lebih dekat 40 tarikan yang unik dan sesuai buat semua peringkat umur.

Zon bertema


Pengunjung boleh mencabar adrenalin dengan mencuba permainan seperti Hyperspin.


Kesemua tarikan itu terletak dalam enam zon bertema iaitu Animation Square, Blast Off, Dream, Fantasy Forest, Lakeside dan Live Action yang diiktiraf sebagai taman animasi pertama di Asia.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran MAPS, Jeffrey Hanafiah, salah satu tema yang mendapat sambutan hebat daripada para pengunjung terutamanya kanak-kanak ialah Animation Square.

“Di sini, mereka berpeluang melawat The Home of BoBoiBoy, BoBoiBoy 4D Theatre, Adventure Space Face Fancy Dress dan Monkey Business Toy.

“Blast Off pula menampilkan tarikan yang berkisar tentang watak filem animasi The Smurfs. Zon ini juga menempatkan Restoran Starship dan ruang makan Starport,” katanya.

Tambah Jeffrey, bagi penggemar filem animasi The Croods, Mr. Peabody & Sherman’s Time Adventure, Megamind dan Casper’s pula, mereka berpeluang untuk singgah di zon Dream.

“Zon ini menempatkan Megamind Megadrop iaitu menara drop tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 52 meter.

“Selain itu, terdapat Fantasy Forest yang dibina khusus buat kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun.

“Mereka berpeluang merasai pengalaman melalui perjalanan mistik tamadun kuno di Cave of Wonders atau melihat susunan terbalik dalam Upside Down Pyramid.

“Di sini juga pengunjung ditawarkan pengembaraan ke alam semesta menerusi The Adventurers HQ Treehouse dan menyelam ke dasar laut di Coral Kingdom Indoor,” ujarnya.

Jelasnya lagi, antara tarikan utama di taman tema itu ialah para pengunjung berpeluang menonton secara langsung aksi-aksi berbahaya bertaraf dunia melibatkan kereta dan motosikal berkuasa tinggi di zon Live Action.

Promosi


Tayangan filem pendek animasi di BoBoiBoy 4D Theatre antara yang menjadi tumpuan para pengunjung.


“Persembahan ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Ia diadakan di Stunt Legends Arena yang boleh memuatkan sehingga 2,000 orang dalam satu-satu masa.

“Pengunjung juga boleh mencabar adrenalin dengan mencuba permainan seperti Space X-Plorers, Hyperspin dan Asteroid Attack di zon Lakeside,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey juga berkata, MAPS dengan kerjasama Tourism Perak dan Tourism Malaysia sedang giat mempromosikan tarikan terbaru ini di dalam dan luar negara.

“Sekarang ini kami telah pun mengadakan promosi di beberapa negara termasuk China, India, Singapura, Thailand dan Indonesia,” jelasnya.

Apapun, MAPS turut menawarkan kepada pengunjung untuk meraikan beberapa majlis istimewa seperti sambutan hari lahir, perkahwinan, hari keluarga, makan malam bertema serta kursus bina pasukan di premis tersebut.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Nairul Hafiz Mohd. Nor, 36, mengakui, MAPS mempunyai tarikan yang tersendiri sehingga mendorong dia dan ahli keluarganya untuk berkunjung lebih kerap ke taman tema itu.

“Saya berpeluang membeli pas tahunan bersama isteri dan anak-anak ketika promosi pembukaan MAPS baru-baru ini. Ia ternyata berbaloi kerana saya dapat masuk ke sini pada bila-bila masa.

“Menariknya, sebahagian besar taman tema MAPS adalah tertutup dan berhawa dingin bagi melindungi para pengunjung daripada cuaca panas, basah serta lembap di Malaysia,” katanya yang berasal dari Batu Gajah, Perak.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu juga memberitahu, pelbagai jenis barangan dan makanan bertemakan filem animasi popular boleh ditemui di kedai-kedai dalam taman tema berkenaan.

“Antaranya seperti Tok Aba Kopitiam, Pitstop Retail, The Smurf Village Retail, Starport Retail, Monkey Business Toys & Candy Store dan Dream Store,” ujarnya.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 32