INFINITI

PICKnGO mudahkan pelanggan tempah teksi

PICKnGO mudahkan pelanggan tempah teksi

NANCY (tiga dari kanan) ketika merasmikan aplikasi PICKnGO di Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Aplikasi ini memudahkan saya untuk mencari penumpang. “Tidak dinafikan jumlah penumpang semakin bertambah berbanding sebelum ini,” jelas pemandu teksi Muhammad Nasir Khan, 46.

Dia merupakan salah seorang pemandu teksi di Lembah Klang yang menggunakan aplikasi PICKnGO sebagai salah satu cara untuk mendapatkan penumpang.

Jelasnya, dia tidak lagi perlu memandu ke sana sini untuk mencari penumpang.

“Saya hanya perlu melihat telefon pintar sekiranya ada penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan teksi.

“Sebelum ini, pemandu teksi banyak membazir minyak dan masa untuk mencari penumpang. Kini, kami hanya perlu menunggu tempahan daripada penumpang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Nasir berkata, pengenalan aplikasi tersebut amat kena pada masanya kerana para pesaing lain turut menggunakan kaedah sama dalam mendapatkan penumpang.

“Sebelum adanya aplikasi ini, pendapatan kami sangat terjejas kerana pesaing menggunakan aplikasi yang memudahkan pelanggan menempah perkhidmatan mereka.

“PICKnGo memberi lembaran baharu kepada pemandu teksi untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan,” jelasnya.

Tidak dapat dinafikan teksi pernah menjadi salah satu pengangkutan pilihan kebanyakan pengguna di Malaysia untuk menuju destinasi yang diingini.

Namun perkhidmatan teksi sedikit tenggelam apabila beberapa aplikasi dibangunkan yang membolehkan masyarakat menggunakan kenderaan mereka untuk mendapatkan penumpang.

Justeru, PICKnGO telah dibangunkan dengan kerjasama lima syarikat teksi tempatan iaitu New Supercab Sdn. Bhd., Uptownace (M) Sdn. Bhd., Damai Kota Cab Sdn. Bhd., Syarikat Pemandu dan Pemilik Teksi Bhd. dan Perniagaan Lima Sejati Sdn. Bhd bagi menyaingi perkhidmatan tersebut.

Langkah tersebut juga seiring dengan pengangkutan awam Malaysia yang menuju era digital.

Teknologi

Pengarah Eksekutif Pick N Go Sdn. Bhd. Valerie Chan berkata, kewujudan aplikasi PICKnGO membawa syarikat teksi bergerak ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi.

“Dalam persaingan yang semakin mencabar ini, pemandu teksi perlu menerima perubahan terutama dari segi teknologi.

“Selain memberi keuntungan dan manfaat kepada pemandu teksi, ia juga memudahkan pelanggan untuk menempah perkhidmatan ini,” jelasnya ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi PICKnGO di Sunway Velocity Mall di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri yang merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Dalam pada itu, Valerie berkata, pihaknya menyasarkan mahu menarik sehingga 10,000 pemandu teksi untuk menggunakan aplikasi tersebut dalam waktu terdekat.

Menurutnya, pemandu teksi perlu mengambil peluang ini kerana ia mampu meningkatkan taraf hidup mereka.

PICKnGo bukan sekadar satu aplikasi tempahan teksi tetapi ia menjadi satu simbol tentang komitmen pemandu-pemandu teksi untuk memberikan servis yang baik kepada pengguna.

“Setiap pemandu yang menggunakan aplikasi PICKnGO perlu berdaftar dan melalui pelbagai program latihan untuk meningkatkan standard perkhidmatan mereka.

“Kenderaan itu juga dilindungi insurans dan diperiksa dengan kerap,” katanya.

Maklumat peribadi


Pemandu teksi yang menggunakan aplikasi PICKnGO telah melalui program latihan untuk meningkatkan standard perkhidmatan.


PICKnGO turut dilengkapi butang keselamatan yang akan dihubungkan secara terus dengan pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku kecemasan.

Dalam masa sama, penumpang juga boleh mengetahui maklumat peribadi pemandu melalui aplikasi itu.

Selain wang tunai, pengguna aplikasi itu juga boleh membuat pembayaran perkhidmatan teksi dalam talian melalui kad debit atau kredit.

Sama seperti kemudahan perkhidmatan e-hailing yang lain, PICKnGO boleh dimuat turun di mana-mana telefon pintar secara percuma.

Pemandu teksi digalak mendaftar aplikasi mudah alih telefon pintar bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Ketika ini hanya terdapat 14,000 pemandu teksi yang berdaftar di bawah e-hailing.

Sementara itu, Nurul Huda Jamaluddin, 30, berkata, aplikasi PICKnGO adalah mesra pengguna.

Jelasnya, dia kini menjadi antara pengguna setia aplikasi itu jika ingin melakukan tempahan teksi.

“Sebelum ini, jika menaiki teksi kita tidak tahu anggaran bayaran tambang untuk ke sesuatu destinasi.

“Namun melalui aplikasi ini, ia akan menyatakan anggaran tambang yang perlu dibayar oleh pengguna sebelum membuat tempahan,” katanya.

Tambahnya, selain itu aplikasi itu juga turut dilengkapi dengan butang kecemasan dan ia memudahkannya untuk meminta pertolongan jika berlaku sesuatu.

Selain itu, katanya, menerusi perkhidmatan terbaharu tersebut dapat mengangkat kembali perkhidmatan teksi yang terpinggir sebelum ini.

Jelasnya, penggunaan teknologi menerusi telefon pintar membuatkan ramai pelanggan lebih selesa menggunakan kaedah tersebut terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 32