STAILO

Permintaan tinggi profesion pendandan rambut

Permintaan tinggi profesion pendandan rambut



Masih segar dalam ingatan Ahmad Bukhari Che Sabri, 34, saat pertama kali memberikan perkhidmatan menggunting rambut kepada pelanggan di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira tiga tahun lalu.

Ketika itu, dia yang hanya bekerja secara sambilan sedikit pun tidak terfikir mahu menjadikan bidang fesyen rambut sebagai karier dalam hidupnya.

Lama-kelamaan, timbul rasa minat dalam dirinya untuk serius menjadi tukang gunting rambut atau barber.

“Suatu masa dahulu, masyarakat tidak menganggap bidang fesyen seperti tukang gunting rambut sebagai kerjaya yang menjamin masa depan.

“Disebabkan itu, tidak banyak kedai gunting rambut yang dibuka oleh golongan bumiputera sebaliknya ia dimonopoli oleh kaum lain.

“Namun, sejak akhir-akhir ini, profesion itu menjadi pilihan kebanyakan belia khususnya golongan lelaki,” jelasnya yang kini turut menjadi tenaga pengajar di akademi gunting rambut, Walter Academy di Kajang, Selangor.

Kongsinya, kesedaran itu timbul ekoran penularan trend potongan rambut di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan lelaki berkaitan sentimen fesyen.

Bagi memenuhi permintaan tinggi dalam fesyen dandanan rambut, kedai gunting rambut atau kini lebih popular dengan istilah barbershop tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Bagaimanapun, bilangan kedai gunting rambut yang semakin bertambah itu tidak semestinya menjamin kualiti dari segi kepuasan pelanggan dan perkembangan industri dandanan rambut di Malaysia.

Bahkan, sebilangan penggunting rambut itu juga belum tentu arif mengenai gaya hidup yang boleh dicetus menerusi trend rambut.

Ahmad Bukhari berkata, profesion sebagai penggunting rambut bukan suatu tugas mudah yang boleh dilakukan oleh sebarangan orang.

Ini kerana ia memerlukan set kreativiti seperti pereka dalam bidang fesyen lain.

“Ini bukan suatu kerja yang sekadar untuk mendapatkan duit bagi meneruskan kelangsungan hidup semata-mata.

“Namun, ia lebih kepada suatu pekerjaan profesional yang wajar diiktiraf oleh masyarakat setempat, sama seperti profesion yang menggalakkan trend gaya hidup yang lain.

“Justeru, untuk mendapatkan penghormatan di mata masyarakat, pengusaha kedai gunting rambut perlu menaik taraf perkhidmatan mereka seiring dengan taraf kerjaya profesional lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Barbershop menjadi tumpuan pelanggan kerana dekorasi yang kemas dan bergaya.


Melibatkan diri dalam bidang barber selama hampir tiga tahun, Ahmad Bukhari seakan-akan sudah masak dengan asam garam industri berkenaan.

Inisiatif

Dia yakin, industri itu mampu berkembang dengan baik hasil penganjuran program, kempen dan bengkel secara konsisten sama ada melalui bantuan organisasi kerajaan mahupun swasta.

Baru-baru ini, Ahmad Bukhari menyertai satu program khusus dalam bidang mendandan dan menggunting rambut iaitu Hair In Trend 2017 (HIT) anjuran Majlis Amanah Raya (Mara) di Maju Junction, Kuala Lumpur.

Dia mendapat tahu tentang penganjuran program itu menerusi rakan-rakan dalam komuniti tersebut dan grup laman sosial.

Pada pendapat Ahmad Bukhari, seminar itu dapat membantu membangunkan usahawan bumiputera, sekali gus merealisasikan usaha ke arah menggalakkan kerjaya dalam bidang itu.

“Ia merupakan satu inisiatif yang wajar dipuji kerana secara tidak langsung berupaya mengembangkan industri fesyen tanah air” jelasnya.

Bagi memenuhi matlamat itu, satu Seminar Revolusi Usahawan Barber 2017 yang melibatkan penyertaan sebanyak lebih 400 orang dengan kolaborasi antara Mara, Malaysian Bumiputera Barber Associaton (MBBA) dan Hairdressing Skills Development Assosiation (HSDA) diadakan baru-baru ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Zulfikri Osman, penganjuran program itu adalah bagi memperkasakan tenaga mahir dalam bidang fesyen terutamanya dari luar bandar yang bakal berdaya saing secara komersial.

Latihan

Katanya, program itu menjadi titik tolak kepada usahawan mendandan dan menggunting rambut melonjakkan statistik bumiputera dalam bidang tersebut.

“HIT Barber merupakan program pemilihan peserta yang akan membawa mereka untuk mengikuti latihan bersama pakar-pakar dalam industri bermula pada Ogos hingga November ini.

“Selanjutnya, ia akan melayakkan mereka untuk merebut peluang keemasan menjadi tukang gunting rambut bertaraf profesional di bawah bimbingan Mara,” ujarnya.


Perkhidmatan menggunting rambut merupakan satu bidang keusahawanan yang berpotensi besar.


Zulfikri menambah, program yang dibuka permohonannya pada Jun sehingga Julai lalu itu mendapat sambutan hangat terutamanya dalam kalangan remaja berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh Mara.

Di samping itu, penganjuran program tersebut juga bertujuan untuk memberikan ilmu kepada tukang gunting rambut bagi mengukuhkan lagi kefahaman mengenai trend penggayaan rambut terkini.

Menurut sumber dari MHDA, terdapat sebanyak 40,000 orang pendandan rambut yang berdaftar di Malaysia dan 20 peratus daripada jumlah itu adalah bumiputera.

Statistik itu jelas menunjukkan bahawa industri barber lebih dikuasai oleh golongan bukan bumiputera di kawasan bandar manakala usahawan barber bumiputera hanya beroperasi di luar bandar.

Perniagaan mereka kebanyakannya berkonsepkan kedai gunting rambut tradisional yang memberi servis pantas dan murah kerana gaya potongan ringkas serta tidak mengikut trend terkini.

Hal demikian menyebabkan golongan muda kurang berminat untuk menceburi bidang perniagaan itu.

Zulfikri menambah, antara gaya potongan yang popular kini ialah psycho, pompadour, quaff, slick back, English classic dan hipster.

“Menerusi program seperti ini, ia dapat memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai trend dalam industri fesyen rambut serta peluang yang boleh direbut.

“Selain itu, ia juga dapat memperluaskan hubungan antara satu sama lain bagi mengukuhkan kerjasama antara usahawan barber bumiputera.

“Diharap program ini mampu memberikan impak positif kepada golongan muda yang memilih bidang fesyen seperti barber, sekali gus melahirkan usahawan belia berdaya saing,” tambahnya.

Sementara itu, Hilmie Hashim berkata, industri tukang gunting rambut masih kurang berkembang dalam kalangan bumiputera walaupun mereka mempunyai kemahiran itu.

“Kurangnya sokongan seperti modal, fasiliti dan latihan insentif daripada pihak tertentu menyebabkan industri ini dimonopoli oleh kaum lain.

“Semoga penganjuran program seperti ini akan memberi impak yang besar terhadap industri fesyen tanah air.

“Ia bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada kerjaya tukang gunting rambut tetapi mereka boleh memperoleh manfaat sepenuhnya untuk menjadi profesional,” katanya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31