GENK

Kuasai empat jenis seni bela diri

Kuasai empat jenis seni bela diri



PERTEMUAN dengan petinju profesional sukan seni tempur campuran (MMA) negara, Saiful Merican atau nama sebenarnya, Khairul Anuar Rusli, 29, yang dirancang pada Jumaat lalu berjalan lancar.

Sebaik melangkah masuk ke Gimnasium Muay Thai Merican miliknya yang terletak di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur, kelihatan sebuah gelanggang tinju tersergam di bahagian hadapan gimnasium tersebut.

Di bahagian belakangnya pula terdapat beberapa beg penumbuk bersaiz besar yang tergantung, manakala beberapa piala dan pingat kemenangannya tersusun kemas di atas sebuah meja.

“Ruang tengah ini memang sengaja dibiarkan kosong sebagai ruang latihan bersama rakan sepelatih bagi meningkatkan stamina dan teknik serangan.

“Walaupun gimnasium ini kelihatan tidak berapa luas tetapi ia boleh menampung kira-kira 30 pelatih pada satu-satu masa,” kata Saiful ketika memulakan bicaranya.

Mengimbas semula sejarah penglibatannya dalam sukan Muay Thai, Saiful memberitahu, segalanya bermula selepas dia menyaksikan satu pertandingan yang diadakan di kampungnya di Setiu, Terengganu ketika dia berusia 11 tahun.

“Selepas tertarik dengan Muay Thai, saya mula berlatih secara senyap-senyap bersama beberapa orang rakan sekampung dengan meniru pergerakan petinju profesional dari Thailand, Samart Payakaroon menerusi cakera padat video yang dibeli.

“Beberapa bulan selepas itu, saya memberanikan diri menyertai pertandingan tinju Muay Thai yang diadakan tidak jauh dari kampung,” katanya.

Jelas Saiful, reputasi Samart sebagai jaguh tinju Muay Thai dunia memberi suntikan semangat kepadanya selain turut menjadikan petinju Thailand itu sebagai idolanya.

Cerita Saiful lagi, bagi mendapatkan teknik yang betul, dia kemudiannya mengikuti latihan Muay Thai secara formal di sebuah kelab di Narathiwat, Thailand ketika berusia 12 tahun atas pelawaan daripada ahli keluarga seorang rakannya yang berasal dari negara jiran itu.

Poster

Katanya, sepanjang menjalani latihan tersebut selama enam bulan, dia terpaksa berulang-alik antara kampungnya ke Narathiwat kerana tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran di sekolah.

“Ketika berlatih di Narathiwat, saya hampir berputus asa kerana tidak tahan dengan bentuk latihan yang diberikan terutama apabila dipaksa berlari sejauh 20 kilometer setiap hari,” katanya.

Tambahnya, selepas kembali ke kampungnya, dia mula kerap menyertai pertandingan Muay Thai yang diadakan di sekitar negeri Terengganu serta Kelantan dan mampu meraih antara RM700 hingga RM800 bagi setiap perlawanan yang dimenanginya.


Saiful telah beberapa kali membuat penampilan di pentas MMA peringkat antarabangsa.


Namun jelas anak muda ini, selepas kira-kira lima tahun mempelajari Muay Thai, rahsianya terbongkar selepas sekeping poster memaparkan gambarnya sebagai salah seorang petinju dalam sebuah pertandingan peringkat tempatan sampai ke tangan kedua orang tuanya sehingga mengundang kemarahan ibunya.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk meninggalkan seketika sukan itu sewaktu berusia 19 tahun selepas seorang adik lelakinya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia mula bekerja di sekitar Kelantan dan Terengganu untuk membantu bapa menyara keluarga.

Selepas hampir dua tahun menyepi, dia kembali aktif dalam tinju Muay Thai selepas mendapat tawaran untuk menyertai Kelab Muay Thai M150 yang berpangkalan di Kelantan selain turut menyertai beberapa perlawanan peringkat tempatan.

“Pada tahun 2008, saya sekali lagi diuji apabila ayah pula menghembuskan nafas terakhirnya akibat sakit tua. Ayah sempat menasihati saya agar mencari pekerjaan yang lebih menjamin masa depan bagi menyara keluarga termasuk enam lagi adik yang masih bersekolah.

“Sepanjang kira-kira setahun, saya hilang fokus terhadap latihan kerana terkenangkan nasihat arwah ayah sehinggalah saya ditawarkan untuk menyertai pertandingan Muay Thai peringkat antarabangsa anjuran Persatuan Muay Thai Dunia yang diadakan di Yunnan, China pada tahun 2009.

“Saya mula mendapat semangat apabila memenangi perlawanan itu bagi kategori 57 kilogram selepas berjaya menewaskan petinju dari Mongolia,” katanya.

Bermula dari detik itu, nama Saiful mula menonjol dan menjadi sebutan penggemar sukan Muay Thai di negara ini.

Hasil kecekalan dan semangat juang yang tinggi, Saiful kemudiannya mengambil keputusan untuk membuka gimnasium miliknya sendiri pada tahun 2010 dengan menggunakan nama Gimnasium Muay Thai Merican bersempena nama isterinya, Dzianti Merican yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya.

Selepas berjaya meletakkan namanya selaku petinju Muay Thai yang disegani di negara ini, Saiful mula berjinak-jinak dengan sukan MMA yang semakin berkembang terutama di Amerika Utara dan Eropah.

Malah, pada tahun 2013, dia mula mengambil keputusan untuk bertanding dalam kejohanan MMA selepas pihak ONE Championship menawarkan peluang kepadanya untuk terlibat dalam sukan itu.

Mempelbagaikan kemahiran

Namun katanya, penyertaan pertamanya dalam kejohanan MMA menemui kekalahan kerana dia hanya menguasai kemahiran Muay Thai sahaja berbanding lawannya yang menguasai beberapa jenis seni mempertahankan diri.


Saiful (dua dari kanan) bersama tiga jurulatih Muay Thai yang menjadi tonggak penting kepada operasi gimnasium miliknya.


“Kesilapan saya ketika itu ialah saya menghabiskan banyak masa pada Muay Thai sahaja. Selepas itu, baru saya sedar bahawa dalam pertandingan MMA, anda tidak boleh bergantung pada satu seni mempertahankan diri sahaja.

“Sejak itu, saya mula menjalani latihan menguasai tiga lagi seni bela diri iatu jiu-jitsu Brazil selain kickboxing dan gusti untuk mempelbagaikan kemahiran dan teknik serangan,” katanya yang kemudian berjaya memenangi tiga perlawanan berikutnya dalam pertandingan MMA antara tahun 2013 hingga 2015 selepas menguasai keseluruhan empat jenis seni mempertahankan diri itu.

Ketika ditanya mengenai pengalaman pahit sepanjang menyertai sukan tinju Muay Thai dan MMA, Saiful yang menggunakan nama Saiful ‘The Vampire’ Merican pernah mengalami patah tulang pada bahagian buku lima tangan kiri sebanyak dua kali. Selain itu, dia turut putus sebahagian besar ligamen pada bahagian siku tangan kanan.

Kecederaan terbaharu pada tangan kiri dan siku itu dialaminya ketika menyertai pertandingan MMA yang diadakan di Macau, China pada 5 Ogos lalu ketika menentang petinju dari China, ‘The Rock’ Chen Lei.

“Pada 10 saat pertama perlawanan pusingan satu, tulang buku lima tangan kiri saya patah selepas saya melepaskan tumbukan terlalu kuat ke arah muka Chen Lei sehingga menyebabkan dahinya luka dan berdarah.

“Namun pada pusingan kedua, Chen Lei telah melanggar peraturan perlawanan apabila mengambil kesempatan dengan mengunci tangan kanan saya walaupun loceng penamat telah dibunyikan.

“Dia sepatutnya dikenakan penalti atau pengadil boleh menghentikan terus perlawanan dengan memberi kemenangan kepada saya, namun perkara itu tidak berlaku sehingga memaksa saya terus berlawan dengannya dan tewas pada pusingan ketiga selepas Chen Lei terus menyerang dan mencederakan tangan kanan saya,” katanya.

Pembedahan

Ekoran itu, dia terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam dengan memasukkan besi bagi menggantikan tulang bahagian buku limanya yang sudah patah.

Malah, doktor turut menasihatkan agar dia berehat sekurang-kurangnya dua bulan bagi membolehkan kecederaan pada siku tangan kanannya itu kembali pulih secara semula jadi.

Walaupun tewas, Saiful tetap mempunyai semangat juang yang tinggi dan berhasrat untuk kembali mencabar Chen Lei selepas dia pulih sepenuhnya.

Saiful menasihati golongan muda yang ingin mengikuti mana-mana latihan di gimnasium seni bela diri agar tidak terlalu gopoh untuk menyertai pertandingan MMA.

“Nasihat saya, jika anda ingin menyertai pertandingan MMA, berlatihlah bersungguh-sungguh dan kuasailah sebanyak mungkin seni mempertahankan diri dengan memilih jurulatih dan pusat latihan yang betul.

“Jika sudah bersedia, sertai kejohanan peringkat amatur terlebih dahulu untuk mengutip pengalaman sebelum menyertai pertandingan pada peringkat yang lebih besar yang menyediakan cabaran dan lawan yang lebih sengit,” katanya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31