RUANG

Hias rumah jadi ruang pameran

Hias rumah jadi ruang pameran

RONA lembut pada ruang tamu kediaman menjadikan teres dua tingkat milik Azizan kelihatan seperti ruang pameran


HEMBUSAN udara segar daripada pendingin hawa dan bau haruman bunga lavender daripada lilin aromaterapi yang terpasang pada ruang utama kediaman pasangan suami isteri Azizan Ibrahim, 40, dan Mohd. Ariff Othman, 46, menyambut kunjungan kru Jurnal ke teres dua tingkat mereka.

Walaupun dari luar, kediaman tersebut kelihatan sama sahaja seperti deretan rumah yang lain, namun siapa sangka teres dua tingkat berkeluasan 140 meter persegi berkenaan tampak sungguh eksklusif.

Mana tidaknya, larasan warna emas dan kuntuman bunga tiruan yang terhias indah di setiap penjuru kediaman membuatkan rumah tersebut kelihatan tidak ubah seperti sebuah ruang pameran menjual perabot-perabot Inggeris yang sungguh mewah.

Malah, penggunaan aksesori yang majoritinya berunsurkan cermin dan percikan rona kuning yang datang daripada gantungan lampu pada setiap penjuru menjadikan kediaman wanita yang lebih mesra dipanggil Kak Yan itu mempunyai kelas tersendiri.

Menurut ibu kepada lima orang cahaya mata berkenaan, kediaman yang dihuni sejak 12 tahun lalu itu mengetengahkan konsep Inggeris kontemporari.

“Sebenarnya, saya sendiri sukar untuk menerangkan konsep asal kediaman ini memandangkan kesemuanya disusun secara suka-suka mengikut cita rasa kami suami isteri.

Rona pastel

“Tambahan pula, saya memang merupakan individu yang gemar menghias kediaman. Lebih-lebih lagi apabila setiap penjuru di dalam kediaman ini dijadikan sudut pameran untuk meletakkan hasil gubahan bunga yang dijual.


RUANG belajar anak-anak mengetengahkan konsep hitam dan putih.


“Lama-kelamaan, tanpa saya sedari, rumah ini dipenuhi dengan perabot-perabot dan aksesori berkonsepkan ala Inggeris. Jadi, saya menambah sedikit sentuhan dan menjadikannya sebagai kontemporari Inggeris seperti yang dilihat hari ini,” jelasnya.

Menurut Kak Yan lagi, dia mengambil masa lebih dua tahun untuk mengubah kediaman tersebut seperti yang dilihat pada hari ini.

Ini kerana, kesemuanya dilakukan secara berperingkat.

Biarpun kos dekorasi dan pengubahsuaian kediaman tersebut menelan belanja lebih RM30,000, namun Kak Yan dan suaminya ternyata berpuas hati dengan hasil diperolehi.

Menurut wanita yang berasal dari Sandakan, Sabah itu lagi, dia dan suami sengaja menggunakan rona pastel untuk menghiasi segenap ruang penjuru bagi memudahkan proses dekorasi dan pengubahsuaian dilakukan.

“Bagi saya, warna pastel bukan sahaja mendamaikan, tetapi juga memudahkan kerja-kerja pengubahsuaian dan dekorasi dilakukan.

“Rumah ini bukan sahaja menjadi tempat berteduh kami sekeluarga, malah ia turut dijadikan sebagai ruang pameran hasil gubahan bunga yang saya jual menerusi akaun Instagram Yann Ariff Collections.

“Disebabkan gubahan-gubahan tersebut sering bertukar warna, jadi saya lebih selesa menggunakan rona pastel pada keseluruhan dinding. Ini bagi mengelakkan ruang tampak terlalu sarat dan jemu mata memandang,” jelasnya.


RONA biru digunakan untuk melengkapkan kamar si bujang.


Tambah wanita ini lagi, selain menggunakan rona-rona pastel pada keseluruhan kediaman, dia juga menggunakan aksesori-aksesori ringkas untuk menyerikan kediaman tersebut.

Ilusi cermin

Sebagai contoh, Kak Yan menggunakan balang-balang kaca lut sinar yang disusun di meja paras pinggang untuk menyuntik kelainan pada ruang tersebut.

Bagi menonjolkan kontra pada ruang kediaman itu pula, Kak Yan mengaplikasikan warna-warna ceria pada sarung kusyen di sofa-sofa kediaman tersebut.

Melihatkan keunikan perabot di dalam kediaman tersebut, pasti ramai yang tertanya-tanya dari mana wanita ini membeli kesemua kerusi dan meja yang terhias indah di segenap penjuru.

Jelasnya, hampir separuh daripada perabot di dalamnya ditempah dari sebuah kedai perabot di Lembah Klang, manakala sebahagian lagi dibeli di China secara dalam talian.

Selain bijak bermain dengan warna, wanita ini juga menggunakan ilusi cermin pada meja dan gantungan bingkai gambar di dinding.

Biarpun pemilik perniagaan perhiasan bunga dalam talian Yann Arifff Collections itu sibuk dengan tugasan harian, namun dia sentiasa memastikan keseluruhan ruang dan susun atur perabot sentiasa kemas bagi memastikan suami dan anak-anaknya selesa sepanjang berada di dalam rumah.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 31