HORIZON

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

RUMAH Bot Seri Mahawangsa boleh memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa.


KEPENATAN menempuh perjalanan sejauh 90 kilometer dari bandar raya Alor Setar ke Tasik Pedu di Kuala Nerang, Kedah dengan menaiki van seakan-akan tidak terasa.

Ini kerana sepanjang perjalanan itu penulis dihidangkan dengan panorama sawah padi yang terbentang luas di sekitar daerah Padang Terap.

Bibit rasa teruja mula menjelma dalam diri selepas melihat keindahan Tasik Pedu yang terbentang luas dengan airnya menghijau dari tingkap van.

Sebaik pintu van dibuka, pernafasan penulis berasa lebih nyaman dek kesegaran udara pagi di tasik buatan manusia itu.

Tasik Pedu terbentuk daripada pembinaan Empangan Pedu untuk kegunaan pengairan pertanian selain membekalkan air kepada penduduk di negeri Jelapang Padi, Kedah.

Perjalanan tidak terhenti di situ, penulis turut dibawa menaiki bot untuk menikmati keindahan sekitar tasik sebelum menuju ke Rumah Bot Seri Mahawangsa.

Itulah sebahagian daripada pengalaman menarik yang dilalui penulis bersama enam rakan media dari Kuala Lumpur sewaktu berkunjung ke Tasik Pedu baru-baru ini.

Kunjungan yang diatur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu bertujuan untuk memberi peluang kepada wakil media merasai pengalaman berada di atas Rumah Bot Seri Mahawangsa.

Seri Mahawangsa merupakan sebuah rumah bot berkeluasan 244 meter persegi yang terletak di tengah-tengah Tasik Pedu. Ia boleh menampung kapasiti sehingga 15 orang pada satu-satu masa.

Salah seorang peserta lawatan, Muhammad Afiezy Azaman, 24, memberitahu, dia sangat teruja dapat berada di atas Rumah Bot Seri Mahawangsa.

Wartawan Bernama News Channel itu berkata, beristirahat di atas rumah bot tersebut sambil menikmati keindahan sekeliling Tasik Pedu merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Ini merupakan kali pertama saya sampai ke Tasik Pedu. Ia juga pengalaman pertama saya berada di atas sebuah rumah bot.

“Rumah bot ini sangat selesa dan sesuai buat pengembara yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Mula dibuka kepada pelawat pada tahun 1996, Seri Mahawangsa merupakan satu-satunya tempat menginap yang ditawarkan di tasik seluas 52 kilometer persegi itu.

Pemiliknya, Amir Wahab memaklumkan, sejak dibuka, Rumah Bot Seri Mahawangsa tidak pernah sunyi dengan kunjungan pelawat.

Ujarnya, setiap minggu, pasti ada kumpulan atau keluarga yang akan menginap di situ selama beberapa hari dan melakukan pelbagai aktiviti menarik di sekitar tasik tersebut.

Pakej menarik

“Pelbagai kemudahan disediakan di rumah bot ini termasuk dua bilik tidur untuk bermalam yang mampu memuatkan 13 orang dewasa, peralatan memasak, tandas dan set karaoke.

“Para pelawat boleh menginap di rumah bot ini mengikut pakej yang disediakan dengan harga serendah RM150 seorang bagi percutian dua hari satu malam,” terangnya.

Menurut Amir, pelawat boleh melakukan beberapa aktiviti menarik di sekitar Tasik Pedu atau di kawasan hutan berhampiran.

Ujarnya, salah satu aktiviti popular ialah menyelusuri tasik menggunakan bot sebelum mendaki Gunung Fakir Terbang.

“Selepas berjaya ke puncak, penat lelah pasti hilang sebaik menyaksikan pemandangan alam semula jadi termasuk melihat kawasan bukit yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand.

“Sekiranya, bernasib baik, para pelawat berpeluang melihat gajah-gajah liar turun meneguk air di tepi tasik ini terutamanya pada Mei,” katanya.

Kawasan tasik itu juga menjadi habitat burung-burung liar yang sukar ditemui seperti enggang dan helang.

Bukan itu saja, Tasik Pedu juga terkenal dalam kalangan kaki pancing sebagai lubuk kepada ikan air tawar seperti baung, kaloi lampam dan sebarau.

Amir memberitahu, di sebelah Rumah Bot Seri Mahawangsa berlabuh, terdapat sebuah pulau yang menjadi tapak perkhemahan yang dikenali sebagai Survival Island.

Tapak perkhemahan itu mampu memuatkan sehingga 40 orang pada satu-satu masa yang dilengkapi kemudahan tandas dan tempat memasak.

“Tapak ini sesuai untuk program seperti kem bina semangat dan hari keluarga,” katanya yang turut bertanggungjawab menguruskan kawasan terbabit.

Selain menjadikan flora dan fauna sebagai daya tarikan, Rumah Bot Seri Mahawangsa turut menawarkan pengalaman gastronomi yang cukup menyelerakan.

Jelas Amir, pakej yang ditawarkan kepada pengunjung termasuk empat kali makan iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

“Kami akan menyajikan kepada pengunjung hidangan kampung berasaskan ikan dan ulam-ulaman yang terdapat di tasik ini.

“Antaranya sebarau bakar, baung masak lemak, sayur campur, sambal belacan dan ulam-ulaman seperti pucuk putat,” katanya yang dibantu dua orang pekerja di atas rumah bot itu.

Kongsi perasaan

Mengulas mengenai tujuannya membuka rumah bot itu, Amir memaklumkan, dia ingin berkongsi perasaan cinta terhadap alam sekitar di situ bersama orang ramai.

Katanya, dia memberanikan diri membina rumah bot itu dengan bermodalkan RM30,000 dari wang simpanannya serta pengalaman sebagai kakitangan di sebuah resort di situ.

“Tasik Pedu pernah mempunyai sebuah resort bertaraf dunia yang diusahakan oleh kerajaan negeri. Namun, ia gagal dan akhirnya ditutup.

“Sebagai anak tempatan, saya memberanikan diri untuk mewujudkan rumah bot ini bagi membolehkan masyarakat menikmati keindahan alam di sini,” ujar usahawan itu.

Menariknya, Rumah Bot Seri Mahawangsa turut menjadi tumpuan para pelancong asing dari Eropah, Jepun dan Korea Selatan.

Salah seorang pelancong, Marc Rossetti, 30, berkata, dia berkunjung ke Rumah Bot Seri Mahawangsa bagi merakam gambar flora dan fauna.

Jelas lelaki berasal dari Switzerland itu, kawasan tasik mempunyai panorama menarik terutamanya ketika waktu senja dan awal pagi.

“Saya mengetahui tentang tempat ini daripada seorang rakan. Dia memberitahu, kawasan ini sangat indah dan masih belum tercemar, sekali gus sesuai untuk penggemar seni fotografi seperti saya.

“Selama seminggu di sini, saya telah jatuh cinta dengan tasik ini. Pengusaha rumah bot ini banyak membantu saya untuk merakam imej menarik,” katanya.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47