INFINITI

Jam tawaf dilengkapi petunjuk arah kiblat, azan

Jam tawaf dilengkapi petunjuk arah kiblat, azan



PETANG itu Mariana Zakaria, 27, ada temu janji dengan rakan sekolahnya yang sudah lama tidak bertemu. Terlalu banyak cerita yang ingin diborakkan mereka.

Mereka berjanji untuk bertemu di sebuah kopitiam pada pukul 2 petang. Namun, walaupun jam sudah menginjak ke pukul 3 petang, batang hidung Ain Shahiwa masih belum kelihatan.

"Maaf lambat, jam saya mati (tidak berfungsi)," jujur Ain sambil menarik tangan Mariana untuk melihat waktu ketika itu.

Mukanya sedikit pelik. Dia mengamati jam berwarna perak itu sebelum merenung ke wajah Mariana.

"Kenapa jam awak pukul 9 malam," soalnya sambil mengerutkan dahi.

Mariana tertawa kecil, dia terus melihat gelagat rakannya itu yang sedikit gopoh.

"Ini jam tawaf," ujarnya berseloroh.

Rupa-rupanya Ain pelik dengan waktu jam berkenaan. Dia pernah mendengar mengenai jam tawaf namun, belum pernah melihatnya dari dekat.

Jam tawaf itu dibeli Mariana daripada Jam Tawaf Al-Isra. Kini, sudah dua tahun dia memakai jam tawaf.

"Pada awalnya, saya agak kekok dengan jam ini, tetapi selepas seminggu saya sudah dapat membiasakannya.

"Kini, saya jadi pelik pula apabila melihat jam jenis biasa," ujarnya tertawa kecil.


JAM Tawaf Al-Isra turut boleh didapati melalui portal beli-belah dalam talian seperti Lazada.


Menariknya jam berkenaan, ia disuntik dengan inovasi dan rekaan baharu bagi memenuhi kehendak dan keperluan pengguna masa kini.

Seperti yang diketahui, jam tawaf bukan produk baharu yang ada di negara ini kerana ia sudah wujud sejak zaman dahulu lagi. Cuma, rekaannya tidaklah semoden hari ini.

Apa yang membezakan jam tersebut dengan jam-jam ada di dalam pasaran ialah jarum jam ke kiri berbanding dengan jam biasa yang mengarah ke kanan.

Ia dinamakan sebagai jam tawaf kerana berpusing mengikut arah umat Islam melakukan tawaf dengan mengelilingi kaabah semasa ibadah haji atau umrah.

Pengetahuan ringkas mengenai arah tawaf, bumi, bulan, bintang, matahari serta seluruh Galaksi Bima Sakti beredar pada satu arah iaitu pada arah tawaf.

Keunikan


JAM pasangan seperti ini sesuai dijadikan hantaran atau diberikan kepada pasangan suami isteri semasa ulang tahun perkahwinan.


Konsep tawaf tidak terhad kepada objek-objek di angkasa lepas, sebaliknya ia turut melibatkan ciptaan Allah SWT yang hanya sekecil zarah seperti peredaran darah di dalam badan manusia yang turut mengikut pusingan tawaf.

Menurut Pengasas Alisra Sdn. Bhd. yang menghasilkan Jam Tawaf Al-Isra, Nurhasbullah Ariffin, 26, keunikan jam tersebut bukan sahaja terletak pada pergerakan jarumnya yang mengikut pusingan tawaf tetapi juga mempunyai tunjuk arah kiblat serta peringatan waktu solat kepada pemakainya.

"Kelebihan itu menjadikannya sebagai jam tawaf pertama di negara ini dengan fungsi tersebut," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selain kelebihan berkenaan, Jam Tawaf Al-Isra juga menggunakan enjin Quartz buatan Jepun yang lebih tahan.

"Enjin jam itu bertujuan memastikan jam tawaf berfungsi dengan baik. Ia menggunakan enjin jenis bateri.

"Insya-Allah pada masa akan datang, kami ingin menghasilkan enjin jam yang menggunakan denyutan nadi," tuturnya.

Tambah Nurhasbullah, dengan menggunakan enjin jam dari Jepun, kerosakan yang dialami boleh diminimumkan. Malah, pembelian jam tersebut diberi jaminan hingga setahun.

Jelas bekas penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) itu lagi, pembaharuan lain yang diterapkan pada jam berkenaan ialah rekaannya yang dinamik, bergaya dan elegen.

Katanya, pihaknya menawarkan 10 rekaan terkini dengan harga serendah RM100 hingga RM300.

Rekaan terkini


SYARIKAT Alisra Sdn. Bhd. membuka gerai kecil-kecilan untuk mendidik orang ramai tentang kebaikan jam tawaf.


"Setiap rekaan jam mendapat sentuhan saya termasuklah tali, tulisan jam, warna dan rekaannya. Semua koleksi itu diilhamkan menerusi jenama-jenama tersohor dunia seperti Rolex, Omega dan TAG Heuer.

"Alhamdulillah semua rekaan mendapat sambutan terutamanya jam jenis sukan (sporty). Ramai yang menggemari bentuk yang tahan lasak," ujarnya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Selain itu, rekaan kedua yang mendapat tempat di hati peminat jam tawaf adalah jenis pasangan. Ia boleh diberikan kepada ibu, bapa, suami, isteri, pasangan kekasih atau adik-beradik.

Tercetusnya inovasi menghasilkan jam tawaf, Nurhasbullah memaklumkan, sebelum ini dia pernah bekerja menjual jam yang tiada jenama kepada orang ramai.

"Semasa bekerja, saya perhatikan penjual-penjual ini ramai yang menjual pada harga yang mahal dan adakalanya tidak masuk akal.

"Jadi, saya mula terfikir untuk mengeluarkan jam sendiri yang lebih berkualiti dan pada harga berpatutan.

"Saya ingin menghasilkan jam yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai. Dengan itu terhasil Jam Tawaf Al-Isra ini," ceritanya panjang lebar.

Usahanya itu membuahkan hasil. Awal tahun lalu, Nurhasbullah mula menjalankan beberapa kajian tentang jam tangan tawaf. Tidak mengambil masa yang lama, dalam tempoh tiga bulan, jam yang ditempah dari China tiba di tangan.

Pada awalnya, Jam Tawaf Al-Isra hanya dijual kepada kenalan terdekat. Selain itu, syarikatnya ada membuka gerai kecil-kecilan untuk menarik minat orang ramai dan mendidik pembeli tentang kebaikan jam berkenaan.

Hanya pada April 2017, jam berkenaan dilancarkan secara rasmi. Kini, hampir 5,000 unit jam sudah terjual.

Jika dahulu jam tersebut dijual menggunakan platform online menerusi website www.jamtawaf.my dan Facebook syarikat, sekarang jam tersebut turut boleh didapati menerusi gedung beli-belah dalam talian seperti Lazada dan Shoppe.

Ditanya mengenai pelan jangka panjang, Nurhasbullah optimis meluaskan lagi pasaran produknya, dia kini dalam usaha melantik lebih ramai wakil jualan terdiri daripada ejen dan dropship dengan modal serendah RM1,000.

"Setiap wakil jualan akan diberi latihan dan bimbingan menerusi online.

Pasaran


JAM tawaf jenis sukan ini paling mendapat perminataan ramai kerana tahan lasak.


"Malah, saya juga sedia bertemu empat mata bagi berkongsi ilmu dan pengalaman perniagaan dengan ejen," katanya yang menyasarkan 300 wakil jualan menjelang tahun hadapan.

Selain pasaran tempatan, Nurhasbullah berkata, Jam Tawaf Al-Isra juga bakal menembusi pasaran luar negara terutama Brunei, Singapura dan Asia Barat.

Menyasarkan jualan 50,000 unit dengan kutipan RM4 juta pada tahun hadapan, Nurhasbullah turut berhasrat membuka kilang serta kedai jam sendiri bagi mengembangkan lagi pasaran jenamanya.

"Memandangkan jam ini menjalani proses pembuatan di luar negara, maka prosesnya mengambil masa agak lama, sedangkan permintaannya selalu ada.

"Malah saya turut berdepan cabaran kehabisan stok dan pelanggan perlu menunggu dalam tempoh tertentu untuk mendapatkannya.

"Dengan adanya kilang sendiri, insya-Allah ia dapat mengatasi masalah tersebut," katanya.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47