STAILO

Angkat seni fesyen di rantau Asean

Angkat seni fesyen di rantau Asean

Khampee LAKSANOSURANG (dua dari kanan) dari Thailand ketengahkan rekaan pakaian menggunakan elemen batik selatan Thailand.


Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki komposisi penduduk terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Asimilasi tersebut sudah diamalkan sekian lama lagi sebelum Malaysia menikmati kemerdekaan sejak tahun 1957 lagi.

Bertitik tolak daripada situ, pelbagai unsur telah dicampur-aduk menerusi budaya yang berbeza termasuk aspek pakaian.

Berpegang teguh kepada keyakinan terhadap nilai berbilang kaum itu, pelajar jurusan rekaan fesyen dari Universiti Raffles Kuala Lumpur, Andrew Low teruja mengetengahkan unsur tersebut ke dalam koleksi pakaian sedia pakai rekaannya.

Rekaan koleksi itu dipertaruhkan ke pentas antarabangsa dalam acara AirAsia Runway Ready Designer Search 2017 (AARRDS2017) baru-baru ini di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.

“Koleksi Dialogue dicetuskan menerusi unsur versatiliti pakaian tradisional Malaysia.

“Saya menggabungkan elemen pakaian tradisional berbilang kaum seperti kain pelekat dan samping seterusnya menjadikan pakaian tradisional itu lebih praktikal untuk dipakai dalam apa jua acara.

“Pada masa sama, ia dapat memperkenalkan warisan tradisional kita kepada masyarakat moden,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!

Menariknya, set pakaian sedia pakai terdiri daripada baju dan seluar itu didatangkan dengan suntikan elemen halus setiap budaya di Malaysia dari segi corak, jahitan serta konsep.

Biarpun tampak minimalis, namun pesona koleksi Dialogue menerusi sentuhan halus pada persalinan itu dikatakan sebagai penghargaan kepada kebudayaan negara ini.

Formula

Andrew mengakui sukar untuk melariskan produk pakaian pada zaman kini, namun dia percaya formula menghasilkan rekaan yang berbeza di pasaran dapat memastikan kelangsungan survival pereka tempatan.

Menjadi salah seorang wakil dari Malaysia di samping Phynix Tan Pek Han dari Universiti Lim Kok Wing, Andrew mahu memberikan sainga sengit dalam acara pencarian pereka tahunan AirAsia itu.

AARRDS2017 merupakan acara yang menghimpunkan pereka fesyen baharu dari 10 buah negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos termasuk Malaysia untuk mempertandingkan rekaan pakaian mereka.

Lebih 20,000 penyertaan diterima dan mereka perlu melepasi peringkat penilaian di negara masing-masing bermula April lalu.

Hanya 20 orang dari setiap negara layak ke peringkat seterusnya. Mereka diadili juri berpengalaman antaranya Pengasas Minggu Fesyen Kuala Lumpur, Andrew Tan, Pengasas bersama FashionValet, Vivy Yusof, Editor Fesyen Majalah Marie Claire Indonesia, Anantama Putra dan Pereka Fesyen, Alia Bastamam.

Pemenang utama


Tan meneliti perincian koleksi pereka dari Vietnam.


Setelah proses tersebut diadili, dua orang finalis yang terpilih mewakili negara masing-masing berentap pada peringkat akhir di pentas temasya fesyen di Kuala Lumpur.

Pentas akhir AARRDS2017 yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur itu telah menobatkan Thran Thi Tu, 24, dari Vietnam sebagai pemenang utama acara pencarian pereka tahunan AirAsia itu.

Thi Tu membawa pulang hadiah termasuk slot untuk mempamerkan koleksi penuh beliau pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur Ready To Wear 2018, sesi mentor selama setahun daripada pasukan KLFWRTW dan tajaan koleksi kapsul oleh FashionValet di fashionvalet.com bernilai RM25,000.

Selain itu, sebanyak 150,000 mata ganjaran AirAsia BIG turut diberikan di samping penampilan dalam enam halaman fesyen majalah penerbangan AirAsia, Travel3sixty, penampilan istimewa dalam majalah Female Malaysia serta sepasang tiket penerbangan AirAsia.

Kongsi Thi Tu, muncul juara dalam acara tersebut tidak pernah sekalipun terlintas di fikirannya.

Pun begitu, Thi Tu selayaknya dinobat sebagai juara menyingkirkan 20 peserta lain kerana rekaan yang diketengahkan menggunakan kombinasi unsur asli Vietnam dengan cetusan ilham moden yang disulam perincian indah.

Mempertaruhkan pakaian daripada material fabrik sutera Vietnam, dia tidak sedikit pun khuatir menampilkan corak-corak seramik dalam paten pakaiannya.

Memberangsangkan

Sementara itu, Tan berpendapat, bekerjasama dengan AirAsia sebagai rakan kongsi KLFW selama tiga tahun ini memberikan manfaat yang sangat besar terhadap kedua-dua belah pihak terutama industri fesyen.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberikan kami akses kepada media dan bakat media sosial di rantau ini, malah mampu mengukuhkan hubungan pelbagai hala dengan pakar-pakar, institusi fesyen, pereka fesyen dan penggiat industri fesyen di negara Asean.

“Dengan kerjasama kukuh antara AirAsia dan KLFW, saya harap ia dapat membuka peluang bagi Kuala Lumpur untuk menjadi hab fesyen di ASEAN.

“Bahkan, penganjuran acara seperti ini seharusnya dilakukan setiap tahun kerana ia dapat memberi pendedahan yang menyeluruh kepada golongan pereka muda bukan sahaja dari segi rekaan tetapi karier mereka,“ katanya.

Vivy pula menyifatkan penglibatan golongan belia dalam industri fesyen kini adalah sangat memberangsangkan.

“Tahun ini sangat menakjubkan kerana kami telah bekerjasama dengan bakat-bakat tempatan dan pereka terbaik di rantau ASEAN.

“FashionValet teruja untuk menghasilkan koleksi rekaan pakaian Thi Tu dan berharap ini merupakan titik permulaan bagi menambah jenama ASEAN menerusi platform kami.

“Saya tidak sabar untuk melihat koleksi ini dipasarkan menerusi platform kami sekali gus membantu perjalanan kariernya sebagai bukan sahaja seorang pereka malah usahawan global,” jelasnya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31